Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah di sana terdapat kelebihan serta galakan membaca Surah Kahfi pada hari Jumaat? Apa hikmah di sebaliknya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terdapat hadith yang menyatakan pengkhususan membaca surah al-Kahfi secara keseluruhan pada hari jumaat serta kelebihannya. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ سُوْرَةَ الكَهْفِ فِي يَوْمِ الجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ مَا بَيْنَ الجُمُعَتَيْنِ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat Allah akan meneranginya dengan cahaya sepanjang masa di antara dua Jumaat.”

Riwayat al-Hakim (3392), dan al-Baihaqi (5996)

Dalam riwayat lain, disebutkan bahawa Nabi SAW bersabda:

 مَنْ َقَرَأَ سُوْرَةَ الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمْعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ فِيْمَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْبَيْتِ الْعَتِيْقِ

Maksudnya “Sesiapa membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dia dan Baitul ‘atiq.”

Riwayat al-Darimi (3273). Hadith ini dinilai sahih dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib (736)

Imam al-Syafie berkata : Dan aku suka bacaan Surah al-Kahfi pada malam Jumaat serta pada siang hari Jumaat berdasarkan riwayat yang menganjurkannya. (Lihat al-Umm, 1/239).

Membaca surah al-Kahfi pada hari dan juga malam jumaat adalah sunat sebagaimana yang disebutkan oleh imam al-Munawi dalam menukilkan pandangan imam al-Syafi’e. Imam al-Munawi menyebutkan,”Hal ini menunjukkan bahawa sunat untuk membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, begitu juga pada malamnya, sebagaimana telah ditunjukkan oleh al-Imam al-Syafi’e.” (Lihat al-Faidh al-Qadir, 6/198)

Kami katakan, berdasarkan kepada kenyataan di atas, tidak mengapa untuk membaca dua kali Surah al-Kahfi pada malam dan pada hari Jumaat.

Antara kelebihan lain bagi sesiapa yang membaca surah al-Kahfi adalah dilindungi daripada fitnah Dajjal sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Darda’, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghafaz sepuluh ayat daripada awal surah al-kahfi, dia akan dipelihara daripada Dajjal.”

Riwayat Muslim (809), Abu Dawud (4323), dan Ahmad (27540)

Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam syarahnya, “Dikhususkan awal surah ini kerana terdapat keajaiban dan tanda-tanda, maka sesiapa yang mentadabbur ayatnya maka dia tidak akan terkena fitnah dajjal”. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/93)

Justeru, keutamaan membaca Surah al-Kahfi adalah sesuatu yang thabit (kukuh) berdasarkan hadis-hadis sahih, dan ia boleh dibaca pada bila-bila masa, tetapi sunatnya lebih ditekankan pada hari Jumaat, berdasarkan amalan sebahagian sahabat R.Anhum.

Amalan ini juga merupakan perbuatan para salaf umat ini, dan jumhur ulama – termasuk ulama dari kalangan mazhab Hanafi, Syafi‘i, dan Hanbali Rahimahumullah – menyukai dan menyarankan membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat.

Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

من قَرَأَ الْكَهْف كَمَا أنزلت كَانَت لَهُ نورا يَوْم الْقِيَامَة من مقَامه إِلَى مَكَّة وَمن قَرَأَ عشر آيَات من آخرهَا ثمَّ خرج الدَّجَّال لم يَضُرَّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi sebagaimana ia diturunkan, maka ia akan menjadi cahaya baginya pada Hari Kiamat – dari tempat berdirinya hingga ke Makkah. Dan sesiapa yang membaca sepuluh ayat terakhirnya, lalu muncul Dajjal, maka Dajjal itu tidak akan mampu memudaratkannya.”

Disebut oleh al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah, dan beliau berkata: Sahih mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim. (Lihat La Tansa fi Yaum al-Jumu’ah, hlm. 13)

Amalan ini merupakan peluang besar untuk meraih cahaya dan perlindungan, lebih-lebih lagi dalam suasana fitnah akhir zaman. Maka janganlah kita tinggalkan Surah al-Kahfi setiap hari Jumaat, walaupun dengan membacanya secara berperingkat.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”