Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah kepercayaan yang mengatakan tidak elok berkahwin pada bulan Syawal itu benar?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Ibn Manzur menyatakan dalam Lisan al-‘Arab bahawa: “Syawal ialah nama bulan yang masyhur, iaitu bulan selepas Ramadan dan bulan pertama daripada bulan-bulan haji. Dinamakan Syawal kerana pada waktu itu susu unta akan berkurang dan berundur (menandakan kesukaran), dan begitulah keadaan unta ketika panas yang terik dan buah-buahan juga mula berkurangan… Orang Arab pada zaman Jahiliah menganggap sial dan pantang berkahwin pada bulan Syawal. Mereka percaya wanita yang dikahwini pada bulan itu akan menolak suaminya sebagaimana unta betina yang bunting akan mengangkat ekornya (yakni menolak unta jantan) selepas mengawan dan mengandung.” (Lihat Lisan al-Arab, 11/277)

Namun, Nabi Muhammad SAW menolak kepercayaan khurafat ini dan membatalkannya secara perbuatan. Aisyah R.Anha berkata:

تَزَوَّجَنِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شَوَّالٍ، وَبَنَى بِي فِي شَوَّالٍ، فَأَيُّ نِسَاءِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ أَحْظَى عِنْدَهُ مِنِّي؟ “، قَالَ: “وَكَانَتْ عَائِشَةُ تَسْتَحِبُّ أَنْ تُدْخِلَ نِسَاءَهَا فِي شَوَّالٍ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah menikahi aku pada bulan Syawal, dan baginda menyetubuhi aku juga pada bulan Syawal. Maka siapakah dalam kalangan isteri-isteri Rasulullah SAW yang lebih mendapat tempat di sisi baginda berbanding aku?” Katanya lagi: “Dan Aisyah gemar supaya para wanita (yang dikahwinkan) dimasukkan (yakni dinikahkan atau disatukan dengan suami) pada bulan Syawal.”

Riwayat Muslim (1423), al-Tirmizi (1099), al-Nasa’i (6/70), Ibn Majah (1990) dan Ahmad dalam al-Musnad (6/54) Al-Tirmizi berkata bahawa Hadis ini hasan sahih.

Kepercayaan karut masyarakat Arab Jahiliah bahawa wanita yang dikahwini pada bulan Syawal akan menjauhi suaminya seperti unta betina yang sedang bunting adalah satu bentuk tatayyur (kepercayaan sial) yang bertentangan dengan Islam.

Ibn Kathir berkata: “Perbuatan Nabi SAW yang membina rumah tangga dengan Aisyah R.Anha pada bulan Syawal adalah penolakan terhadap kepercayaan sesetengah orang yang menyangka bahawa tidak elok berkahwin antara dua hari raya (Syawal dan Zulhijjah) kerana bimbang akan berlaku perpisahan antara pasangan. Dan kepercayaan seperti ini tidak mempunyai asas sama sekali.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/253)

Imam al-Nawawi menyatakan: Maka, beranggapan sial terhadap perkahwinan pada bulan Syawal adalah sesuatu yang batil. Hal ini kerana tatayyur (anggapan sial secara umum) termasuk dalam kategori “tiyarah” yang telah dilarang oleh Nabi SAW. Baginda bersabda: “Tiada jangkitan dan tiada tiyarah (kepercayaan sial)” (Riwayat Muslim) (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/218–219)

Diriwayatkan darupada Abdullah bin Mas’ud, Baginda SAW juga bersabda:

الطِّيَرَةُ شِركٌ، الطِّيَرَةُ شِركٌ، الطِّيَرَةُ شِركٌ، وما منا إلا، ولكنَّ اللهَ يُذهِبُه بالتَّوَكُّلِ

Maksudnya: “Tiyarah (anggapan sial) adalah syirik. Tiyarah adalah syirik. Tiyarah adalah syirik. Dan tidaklah seorang pun daripada kita melainkan ia (perasaan itu) kadang-kadang terlintas, namun Allah menghapuskannya dengan tawakal kepada-Nya.”

Riwayat Ahmad dalam al-Musnad (1/440), Abu Dawud (3910), al-Tirmizi (1614), Ibn Majah (3538) Al-Hakim dalam al-Mustadrak (1/17–18). Imam al-Tirmizi berkata bahawa Hadis hasan sahih. Al-Hakim menyatakan: Hadith ini sahih sanadnya, para perawinya thiqah dan tidak diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dan disepakati oleh al-Zahabi.

Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim ketika mensyarahkan hadith Aisyah R.Anha berkata: “Hadith ini menunjukkan galakan dan sunatnya berkahwin, mengahwinkan dan masuk bergaul bersama isteri pada bulan Syawal. Ulama mazhab kami telah menyatakan akan istihbab-nya, dan mereka berhujah dengan hadith ini. Tujuan ‘Aisyah R.Anha menyebutkan perkara ini ialah untuk membantah kepercayaan jahiliah, serta sangkaan sebahagian orang awam pada zaman ini yang beranggapan makruh berkahwin dan masuk menggauli bersama isteri pada bulan Syawal. Ini adalah batil dan tidak mempunyai asal dalam syarak, bahkan ia merupakan tinggalan kepercayaan jahiliah. Dahulu mereka beranggapan sial disebabkan nama ‘Syawal’ itu sendiri yang berasal daripada makna pengangkatan atau pengurangan…” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/209)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa kepercayaan bahawa tidak elok berkahwin pada bulan Syawal adalah satu khurafat yang ditolak oleh Islam. Nabi SAW sendiri berkahwin dengan Aisyah RA dalam bulan Syawal sebagai menafikan dan membatalkan kepercayaan karut tersebut. Bahkan, Anggapan sial seperti itu termasuk dalam tiyarah yang ditegah oleh Nabi SAW dan dianggap sebagai bentuk syirik kecil.

Justeru, tidak ada sebarang larangan dalam Islam untuk berkahwin atau memulakan perkahwinan dalam bulan Syawal. Oleh itu, berkahwin pada bulan Syawal bukan sahaja dibenarkan, malah termasuk dalam sunnah Nabi SAW dan para sahabat Baginda.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa kepada Allah, semoga Allah sentiasa menunjukkan kita ke jalan yang benar dan diredhai-Nya:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اِجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”