Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Selalu kita dengar bilal akan berikan pesanan untuk berselawat kepada Nabi SAW sebelum khutbah dibacakan. Adakah memang terdapat tuntutan untuk memperbanyakkan selawat pada hari Jumaat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pada hari Jumaat, usai khatib baru memanjat tangga mimbar dan memberikan salam, bilal kebiasaannya akan menyampaikan pesanan kepada sekalian jemaah seraya membacakan firman Allah SWT:

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّ ۚ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ صَلُّوا۟ عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

(Surah al-Ahzab: 56)

Ayat ini menunjukkan tentang kelebihan berselawat ke atas Nabi SAW sehingga Allah dan para malaikat-Nya turut berselawat ke atas Rasulullah SAW. Di samping itu juga, Allah SWT memerintahkan orang yang beriman agar mereka turut berselawat ke atas Baginda SAW. Ini kerana, setiap selawat yang diucapkan akan memberi manfaat kepada dirinya juga kerana Allah SWT berselawat ke atasnya dengan sepuluh kali selawat.

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW pada hari Jumaat memang dituntut, dan ini sebagaimana yang sabit dalam hadith Aus bin Aus R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، فَأَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِيهِ، فَإِنَّ صَلَاتَكُمْ مَعْرُوضَةٌ عَلَيَّ

Maksudnya: “Sesungguhnya antara hari yang paling baik adalah Hari Jumaat. Maka perbanyakkanlah selawat ke atasku. Sesungguhnya selawat kamu akan dibentangkan kepadaku.”

Riwayat Abu Dawud (1531), al-Nasa’i (1374), Ibn Majah (1085) dan Ahmad (16162)

Syeikh ‘Ubaidullah Ahmad al-Qahtani ketika mensyarahkan hadith di atas berkata, selawat ke atas Nabi SAW merupakan satu keuntungan yang mudah diperoleh dengan amalan yang paling ringan, namun orang yang berselawat ke atas Nabi akan memperoleh ganjaran yang besar dan agung. Terdapat sangat banyak hadith yang menyebut tentang kelebihan berselawat. Perlu diperhatikan bahawa perintah untuk memperbanyakkan selawat datang secara umum tanpa had bilangan tertentu – bukan seratus, bukan ratusan – tetapi berselawatlah sebanyak yang kita mampu. Dan hendaklah setiap orang yang berselawat mengingati bahawa Allah akan berselawat ke atasnya sebanyak sepuluh kali bagi setiap satu selawat yang dilakukannya. Tanpa syak lagi, ia adalah satu kemuliaan yang besar dan kebaikan yang melimpah ruah.

Maka jika kita berselawat sebanyak seribu kali, sebagai contoh, Allah akan berselawat ke atasmu sebanyak sepuluh ribu kali. Dan jika kita menambah lagi, maka ganjaran juga akan ditambah. (Lihat La Tansa fi Yaum al-Jumu‘ah – ‘Asyr Waqafat Tazkiriyyah, hlm. 16)

Selawat ke atas Nabi SAW antara amalan yang terbaik, ditambahkan lagi dengan kelebihan hari Jumaat, sehingga dikhususkan untuk memperbanyakkan selawat pada hari tersebut dengan digandakan amalan sehingga 70 kali ganda berbanding waktu lain. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 3/453)

Imam al-Nawawi menyebutkan: “Disunatkan bagi orang yang hadir sebelum khutbah untuk menyibukkan diri dengan berzikir kepada Allah Ta‘ala, membaca al-Quran, mengerjakan solat sunat, dan memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW pada siang dan malamnya. Dalil bagi perkara ini adalah jelas. Imam al-Syafi‘i berkata dalam kitab al-Umm, dan para ulama mazhab beliau turut menyatakan: ‘Disunatkan membaca Surah al-Kahfi pada hari dan malam Jumaat, dan disunatkan memperbanyakkan doa pada hari Jumaat secara ijma‘ (sepakat ulama)’.” (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/548)

Kesimpulan

Memahami perbincangan ringkas yang kami bawakan, selawat ke atas Rasulullah SAW itu secara umumnya memang dituntut ke atas umat Islam, dan pengkhususannya pada hari Jumaat adalah sabit dalam nas-nas syara‘ kerana banyaknya kelebihan pada penghulu segala hari itu sehingga digandakan ganjaran berkali ganda berbanding hari-hari yang lain.

Semoga pencerahan ini dapat menambahkan lagi semangat kita untuk terus memperbanyakkan amalan zikir dalam kehidupan seharian. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أكْثِرْ أَمْوَالَنَا، وَأَوْلَادَنَا، وَبَارِكْ لَنَا فِيمَا أعْطَيْتَنَا، وَأطِلْ حَيَاتَنَا عَلَى طَاعَتِكَ، وَأحْسِنْ أَعْمَالَنَا، وَاغْفِرْ لَنَا

Maksudnya: “Ya Allah, perbanyaklah harta dan anak kami serta berkatilah kurniaan yang Engkau berikan pada kami. Panjangkanlah umur kami dalam ketaatan pada-Mu dan baikkanlah amal kami serta ampunilah dosa-dosa kami.”

Wallahu a‘lam