Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum menangguhkan tugasan pada waktu bekerja untuk dijadikan kerja lebih masa selepas tamat waktu kerja? Saya bekerja di sebuah syarikat dan mendapati sebahagian rakan sekerja sengaja menangguhkan sebahagian kerja mereka ke waktu kerja lebih masa tanpa sebarang sebab demi mendapatkan bayaran tambahan. Maka, apakah pandangan syarak berkenaan perbuatan ini? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam menggalakkan dan menyanjung tinggi umatnya yang bekerja supaya tidak perlu meminta-minta kepada orang lain. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ طلَبَ الدُّنْيَا حلاَلاً اِسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ وَسَعْيًا عَلَى اَهْلهِ وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ بَعَثَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ. وَمَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلاَلاً مُكَاثِرًا مُفَاخِرًا مُرَائِيًا لَقِىَ اللهَ تَعَالَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَهُوَ عَلَيْهِ غَضْبَانٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang mencari dunia dengan cara yang halal untuk menjauhkan diri dari meminta-minta, dan sebagai satu usaha untuk keluarganya dan untuk bersikap baik dengan tetangganya, maka dia akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat dalam keadaan mukanya bagaikan bulan purnama. Dan sesiapa yang mencari dunia secara halal, namun dengan niat untuk menimbunkan harta, berbangga dan bersikap sombong, maka dia akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat dalam keadaan Allah murka kepadanya.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890), Ahmad (2/436), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (7/16) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465).

Antara iktibar yang dapat diambil daripada hadith ini ialah, bekerja merupakan satu perkara yang dituntut. Hadith di atas juga jelas menunjukkan bahawa setiap orang perlu berusaha dan bekerja bagi meneruskan kesinambungan hidup.

Di samping itu, seseorang yang berusaha dan bekerja dengan cara yang halal, meskipun dipandang hina oleh manusia, itu adalah lebih baik dan mulia daripada meminta-minta dan menjadi beban bagi orang lain. (Lihat Bahjatu al-Nazirin, 1/598)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, hubungan antara pekerja dan majikan ditakrifkan secara syarak sebagai hubungan sewaan (ijarah), sama ada pekerjaan itu dalam sektor awam (kerajaan) atau sektor swasta. Ini kerana pekerja melaksanakan tugasan tertentu dan kerja-kerja yang ditetapkan untuk pihak yang satu lagi dalam tempoh masa yang ditentukan, dengan balasan upah yang telah dipersetujui antara kedua-duanya. Inilah hakikat sebenar ijarah, iaitu: akad atas suatu manfaat tertentu yang dimaksudkan, yang boleh diberikan dan dibenarkan, dengan balasan (upah) yang diketahui. (Lihat al-Bahr al-Raiq, 7/297, Mughni al-Muhtaj, 3/438 dan Kassyaf al-Qina’, 3/642)

Apa yang mengatur hubungan antara kedua-dua pihak itu ialah akad yang dimeterai antara mereka serta undang-undang pekerjaan. Maka, setiap pihak hendaklah berpegang teguh kepada kandungan akad tersebut dan mematuhi segala syarat yang termaktub di dalamnya, berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.”

(Surah al-Maidah:1)

Diriwayatkan juga daripada:  Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ

Maksudnya: “Umat Islam wajib mematuhi persyaratan yang telah mereka sepakati.”

Riwayat Abu Daud (3594), al-Tirmizi (1352), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (11761), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (30) dan al-Daraqutni (96).

Syeikh al-‘Azim Abadi ketika mensyarahkan hadis ini, berkata: “Iaitu mereka tetap (dengan perjanjian yang telah dilakukan) dan tidak berpatah balik.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 10/26)

Selain itu kaedah fiqh juga ada menyebutkan:

مَقَاطِعُ الْحُقُوقِ عِنْدَ الشُّرُوطِ

Maksudnya: “Pemutus-pemutus hak itu bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan.” (Lihat al-Fatawa al-Kubra, 3/90)

Oleh yang demikian, melaksanakan tugasan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada seseorang kakitangan atau pekerja berdasarkan akad yang dimeterai antara dirinya dan pihak majikan adalah suatu kewajipan dari sudut syarak. Melengah-lengahkan pelaksanaan tugas serta menangguhkannya tanpa alasan yang dibenarkan adalah haram menurut syarak, kerana ia mengandungi unsur khianat terhadap amanah yang telah diberikan kepadanya. Khianat terhadap amanah merupakan salah satu dosa besar dan termasuk dalam sifat-sifat orang munafik. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan dalam fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah.

Begitu juga, menangguhkan kerja dan melambatkannya dengan tujuan untuk memperdaya demi memperoleh bayaran gaji tambahan adalah termasuk dalam perbuatan memakan harta secara batil. Ini kerana pekerja atau kakitangan tersebut telah mensia-siakan waktu kerja rasmi tanpa menyelesaikan tugasan yang dipertanggungjawabkan kepadanya tanpa sebarang uzur. Larangan terhadap perbuatan memakan harta secara batil telah disebut dalam firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Syeikh al-Sa‘di ketika membahaskan mengenai ayat ini, menyebutkan bahawa Allah melarang para hamba-Nya yang beriman daripada memakan harta-harta di antara mereka dengan cara yang batil. Hal ini merangkumi harta yang dirampas, dicuri dan dengan cara perjudian. Malah boleh jadi termasuk juga dalam hal ini memakan harta sendiri dengan sombong dan berlebih-lebihan, kerana hal itu adalah termasuk dalam perkara yang batil dan bukannya daripada perkara yang hak. Setelah itu, Allah membolehkan bagi mereka memakan harta dengan cara perniagaan dan pendapatan yang tidak terdapat padanya penghalang-penghalang, dan memenuhi syarat-syaratnya seperti saling meredhai dan sebagainya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 1/175).

Bahkan mengambil harta awam tanpa hak adalah satu bentuk ghulul (penyelewengan/khianat terhadap amanah) yang telah dilarang oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

وَمَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَن يَغُلَّ ۚ وَمَن يَغْلُلْ يَأْتِ بِمَا غَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۚ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan tiadalah patut bagi seseorang Nabi itu (disangkakan) berkhianat (menggelapkan harta rampasan perang), dan sesiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), ia akan bawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu; kemudian tiap-tiap seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak akan dikurangkan sedikitpun (balasannya). ”

(Surah Ali Imran:161)

Imam al-Nawawi berkata dalam Syarh Sahih Muslim (12/217):  “Asal makna ghulul ialah khianat secara mutlak. Umat Islam telah bersepakat (ijmak) tentang beratnya larangan terhadap perbuatan ghulul, dan bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Mereka juga bersepakat bahawa sesiapa yang melakukan ghulul, maka dia wajib memulangkan semula apa yang telah diambilnya secara khianat itu.”

Justeru, tindakan menangguhkan tugasan yang sepatutnya dilaksanakan dalam waktu bekerja dengan niat untuk menukarkannya kepada kerja lebih masa demi mendapatkan bayaran tambahan tanpa alasan yang dibenarkan adalah suatu bentuk penyalahgunaan amanah dan pengkhianatan terhadap kontrak kerja yang telah dipersetujui. Ia juga melanggar prinsip tanggungjawab dan integriti yang digariskan dalam Islam, bahkan turut tergolong dalam bentuk pemakanan harta secara batil dan perbuatan ghulul yang dikecam keras oleh syariat.

Islam mengiktiraf kontrak pekerjaan sebagai suatu akad sah yang perlu dipenuhi dengan penuh kejujuran dan amanah, justeru sebarang pelanggaran terhadap tanggungjawab kerja yang telah diamanahkan tanpa sebab yang syar‘i bukan sahaja membawa kepada dosa, malah merosakkan etika kerja serta menjatuhkan nilai keadilan dalam sistem pengupahan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ.

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahua‘lam