Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum solat selepas azan pertama pada solat Jumaat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”
(Surah al-Jumu’ah: 9)
Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/198)
Sebelum menjawab persoalan ini, kami kemukakan sebuah hadith daripada Abu Sa‘id al-Khudri dan Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ اغْتَسَلَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، وَاسْتَاكَ، وَمَسَّ مِنْ طِيبٍ إِنْ كَانَ عِنْدَهُ، وَلَبِسَ مِنْ أَحْسَنِ ثِيَابِهِ، ثُمَّ خَرَجَ حَتَّى يَأْتِيَ الْمَسْجِدَ، فَلَمْ يَتَخَطَّ رِقَابَ النَّاسِ، ثُمَّ رَكَعَ مَا شَاءَ أَنْ يَرْكَعَ، ثُمَّ أَنْصَتَ إِذَا خَرَجَ الْإِمَامُ، فَلَمْ يَتَكَلَّمْ حَتَّى يَفْرُغَ مِنْ صَلَاتِهِ، كَانَتْ كَفَّارَةً لِمَا بَيْنَهَا وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ الَّتِي قَبْلَهَا
Maksudnya: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersiwak, memakai wangian jika ada, mengenakan pakaian terbaiknya, kemudian keluar menuju masjid tanpa melangkahi tengkuk orang lain, lalu menunaikan solat sebanyak mana yang dia kehendaki, dan diam ketika imam keluar (untuk khutbah), tidak bercakap sehingga selesai solat Jumaat – maka hal itu menjadi penghapus dosa antara dua Jumaat.”
Riwayat Abu Dawud (343) dan Ahmad (11768). Isnadnya hasan seperti dinyatakan dalam takhrij al-Musnad oleh Syu’aib al-Arna’ut
Peringatan ini menekankan betapa besarnya ganjaran solat sunat sebelum khutbah, bukan sahaja dari segi amalan ibadah tetapi juga sebagai peluang keemasan untuk pengampunan mingguan daripada Allah SWT.
Demikianlah keadaan salafus soleh terdahulu. Diriwayatkan daripada Nafi‘ bahawa:
كَانَ ابْنُ عُمَرَ يُطِيلُ الصَّلاَةَ قَبْلَ الْجُمُعَةِ
Maksudnya: “Ibn ‘Umar R.Anhuma biasa memanjangkan solat sebelum (solat Jumaat).”
Riwayat Abu Dawud (1128). Isnadnya sahih sepertimana dinyatakan dalam takhrij Sunan Abi Dawud oleh Syeikh Syu’aib al-Arna’ut.
Akan tetapi, ini dilakukan sebelum masuknya waktu Jumaat. Justeru, dalam permasalahan ini, ada dua pandangan ulama’.
Pertama: Tidak digalakkan, bahkan ditegah. Ini adalah pendapat sebahagian ulama’ zaman dahulu.
Kedua: Dibolehkan untuk solat dua rakaat selepas azan pertama sebagaimana yang masyhur di tempat kita mengikut sebahagian pendapat ulama’ Syafi’i.
Berkenaan perbincangan ini secara terperinci, kami telah nyatakan dengan panjang lebar dalam buku kami bertajuk Ensiklopedia Solat Sunat. Kami telah nyatakan jawapan kepada persoalan ini berdasarkan empat mazhab seperti berikut:
i-Mazhab Hanafi
Mazhab Hanafi menegaskan bahawa sunat untuk bersolat sebanyak 4 rakaat sebelum menunaikan Solat Jumaat. Imam Badruddin al-‘Aini memfatwakan berkenaan Solat Sunat Qabliyyah Jumaat menerusi nas beliau dalam kitab Minhah:
“Empat rakaat (solat sunat) sebelum Jumaat berdalilkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Ayyub al-Ansari: “Nabi SAW bersolat pada ketika selepas tergelincirnya matahari sebanyak empat rakaat.” Aku bertanya kepada baginda: “Apakah solat yang tuan sentiasa lazimi ini?” Baginda menjawab: “Pada waktu inilah pintu-pintu langit terbuka dan aku suka supaya amalan solehku diangkat pada waktu ini.” Aku bertanya: “Adakah perlu membaca (al-Fatihah dan surah) pada setiap rakaatnya?” Baginda menjawab: “Ya.” Kemudian aku bertanya lagi: “Adakah dilaksanakan dengan satu salam atau dua salam?” Baginda menjawab: “Dengan satu salam sahaja.” Diriwayatkan oleh al-Tahawi, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah; dan kita tidak membezakan di antara Zohor dan Jumaat, kedua-duanya sama sahaja; sunat solat empat rakaat sebelum kedua-duanya.” (Lihat Minhah al-Suluk Syarh Tuhfah al-Muluk, hlm. 145)
Berdasarkan mazhab Hanafi, disunatkan Solat Sunat Qabliyyah sebelum Jumaat sebanyak 4 rakaat berdalilkan hadith Abu Ayyub al-Ansari R.A di atas. Hadith tersebut diriwayatkan secara marfu’ oleh Imam Abu Ja‘far al-Tahawi dalam Syarh Musykil al-Athar (1967), Abu Daud al-Sijistani dalam al-Sunan (1270), Ibn Majah al-Qazwini dalam al-Sunan (1157); dan dinilai hasan kerana mempunyai riwayat-riwayat yang saling mendukung antara satu sama lain di sisi Imam Badruddin al- ‘Aini al-Hanafi. (Lihat Nukhab al-Afkar, 5/375).
ii-Mazhab Maliki
Dibolehkan untuk bersolat sunat sebelum azan pertama, adapun selepas azan pertama, maka hanya dibolehkan untuk orang awam dan dimakruhkan untuk tokoh-tokoh yang dijadikan ikutan yang berada di dalam masjid. Imam al-Dardir berkata: “Dimakruhkan bersolat sunat ketika azan pertama (Jumaat), dan tidak makruh solat sebelum azan pertama bagi orang yang duduk di dalam masjid, bukan di kawasan sekitarnya yang lain, dan orang yang peribadinya dicontohi berupa alim ulama atau sultan atau imam; dan tidak makruh untuk selain mereka; untuk mengelakkan orang awam menganggap bahawa itu wajib. Dan dimakruhkan untuk bersolat sunat selepas melaksanakan Solat Jumaat melainkan setelah kebanyakkan orang telah keluar dari masjid.” (Lihat al-Syarh al-Saghir ‘ala Aqrab al-Masalik, 1/511)
Al-Faqih Abu ‘Abdillah al-‘Abdari, salah seorang ulama besar abad ketujuh Hijrah, berkata: “Orang ramai perlu ditegah daripada amalan baharu yang mereka lakukan, iaitu rukuk (solat) selepas azan pertama solat Jumaat. Amalan ini bercanggah dengan amalan para salaf – semoga Allah redha ke atas mereka. Salaf terbahagi kepada dua golongan:
- Ada yang apabila masuk ke masjid akan terus solat dan meneruskannya hingga imam naik ke mimbar, dan apabila imam duduk, mereka menghentikan solat sunat.
- Ada juga yang solat dua rakaat sahaja, kemudian duduk menunggu solat Jumaat tanpa menambah lagi.
Namun mereka tidak pernah mencipta amalan rukuk (solat sunat khusus) selepas azan pertama, dan tidak pula selainnya. Maka yang menunaikan solat sunat tidak mencela yang duduk, dan yang duduk tidak mencela yang bersolat sunat. Ini bertentangan dengan apa yang dilakukan oleh orang sekarang, yang duduk dahulu dan hanya bangun solat apabila muazzin melaungkan azan – maka inilah amalan yang ditolak.” (Lihat al-Madkhal oleh Abu ‘Abdillah Ibn al-Haj al-’Abdari, 2/239)
Perkara ini juga telah disebut sebelum ini dalam kata-kata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah, yang menunjukkan bahawa tiada pensyariatan untuk solat khusus selepas azan pertama Jumaat.
iii-Mazhab Hanbali
Mazhab Hanbali mengatakan dianjurkan untuk bersolat empat rakaat sebelum Jumaat, namun ia hanya Solat Sunat Mutlak dan bukannya Solat Sunat Rawatib Qabliyyah. Di sisi Hanabilah, tiada solat sunat Rawatib bagi sebelum Jumaat. Imam Ibn Rajab al-Hanbali memfatwakan berkenaan Solat Sunat Qabliyyah Jumaat dalam Syarah beliau ke atas Sahih al-Bukhari:
“Para ulama berselisih pendapat tentang Solat Sunat Sebelum Jumaat; adakah ia termasuk dalam Solat Sunat Rawatib seperti Solat Sunat Qabliyyah Zohor, atau ia Solat Sunat biasa (Mutlak) yang dianjurkan (mustahabbah) seperti Solat Sunat sebelum Asar? Majoriti ulama berpegang bahawa ia (Solat Sunat Qabliyyah Jumaat) adalah solat Sunat Rawatib, antara yang berpendapat demikian adalah al-Auza‘i, al-Thauri, Abu Hanifah dan ashab beliau, dan ia merupakan zahir daripada kalam Ahmad bin Hanbal. Ia dinukilkan oleh al-Qadhi Abu Ya‘la dalam Syarh al-Mazhab dan turut dinyatakan oleh Ibn ‘Aqil, dan ia merupakan pendapat yang sahih di sisi ashab al-Syafi‘i. Manakala di sisi muta’akkhirin ashab kita (al-Hanabilah), ia hanya solat sunat biasa (mutlak) yang digalakkan sahaja (mustahabbah).” (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Rajab al-Hanbali, 5/541).
iv-Mazhab al-Syafi‘i
Mazhab al-Syafi‘iyyah mengatakan sunat untuk melaksanakan Solat Sunat Qabliyah sebelum Jumaat, sama seperti sebelum Zohor; paling kurang sebanyak dua rakaat, dan paling sempurna sebanyak empat rakaat.
Imam Muhyiddin al-Nawawi memfatwakan berkenaan Solat Sunat Qabliyyah Jumaat menerusi nas beliau di dalam kitab Majmu‘: “Disunatkan bersolat sunat sebelum (Jumaat) dan selepas (Jumaat), sekurang-kurangnya dua rakaat sebelum, dan dua rakaat selepas. Yang lebih sempurna, empat rakaat sebelum dan empat rakaat selepas. Adapun dalil bagi solat sunat sebelum Jumaat adalah hadith ‘Abdullah bin Mughaffal R.A: “Antara setiap azan dan iqamah, ada solat (sunat yang perlu didirikan).” Dan ia (Solat Jumaat) juga turut diqiyaskan dengan Solat Zohor.” (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/9).
Mazhab al-Syafi‘iyyah menggunakan dua dalil yang muktabar berkenaan perkara ini:
a-Dalil Hadith
Hadith yang digunakan sebagai dalil seperti mana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di atas adalah hadith yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mughaffal RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
بيْنَ كُلِّ أذانَيْنِ صَلاةٌ، ثَلاثًا لِمَن شاءَ
Maksudnya: “Antara setiap azan dan iqamah, ada solat (sunat yang perlu dilaksanakan); bagi sesiapa yang hendak melaksanakannya.”
Riwayat al-Bukhari (624) dan Muslim (838)
b-Dalil Qiyas
Solat Jumaat diqiyaskan dengan Solat Zohor. Qiyas persamaan ini adalah muktabar dan jelas kemunasabahannya. Maka, sepertimana Solat Zohor mempunyai Solat Sunat Qabliyyah; begitu juga Solat Zohor kerana hukum-hakamnya adalah sama sahaja.
Kesimpulan, berdasarkan nukilan para fuqaha’ di atas, kami cenderung kepada pendapat mazhab al-Syafi‘i dan Hanafi yang menyatakan bahawa dianjurkan untuk melaksanakan Solat Sunat sebelum Jumaat, iaitu selepas Azan Pertama. Melaksanakannya sebanyak dua rakaat dibolehkan, namun melaksanakannya dengan empat rakaat adalah lebih baik dan sempurna. Solat ini dikira sebagai Solat Sunat Rawatib Qabliyyah Jumaat berdasarkan dalil Hadith dan dalil Qiyas yang digunakan oleh fuqaha kedua-dua mazhab pilihan ini. Amalan ini bukanlah amalan bid’ah.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”