Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, maksud dan tafsir ayat 4 surah al-Syarh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَرَفَعْنَا لَكَ ذِكْرَكَ

Maksudnya: Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?

(Surah al-Syarh: 4)

Ibn Kathir menjelaskan bahawa: Mujahid berkata: “Maknanya ialah: ‘Aku (Allah) tidak menyebut (Nama-Ku) melainkan Aku menyebut namamu bersamaku.'” Ini merujuk kepada penyebutan Rasulullah ﷺ dalam lafaz syahadah: “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah.”

Qatadah pula berkata: “Allah telah meninggikan penyebutan nama Nabi di dunia dan di akhirat.” Beliau menjelaskan bahawa: “Tidak ada seorang khatib, tidak ada seorang yang membaca syahadah, dan tidak ada orang yang menunaikan solat melainkan dia pasti menyebut nama Nabi ﷺ dengan berkata: ‘Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah.'” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 6/332)

Al-Syaukani berkata: Di dunia dan di akhirat, terdapat pelbagai keistimewaan yang diberikan kepadanya, antaranya ialah menjadi kewajipan bagi orang-orang yang beriman – apabila mereka mengucapkan “Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah”, maka mereka juga wajib mengucapkan “dan aku bersaksi bahawa Muhammad ialah utusan Allah”. Namanya juga disebut dalam lafaz azan, dan disertakan dalam selawat ke atasnya. (Lihat Fath al-Qadir, 4/281)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan: “Dan Kami telah meninggikan kedudukanmu dengan mengurniakan risalah kenabian serta keistimewaan lain, baik di dunia mahupun di akhirat. Antaranya ialah dengan menyandingkan namamu bersama nama Allah dalam tasyahud, azan, iqamah dan amalan-amalan lain.” (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 820)

Al-Sa‘di berkata: “Dan Kami tinggikan bagimu sebutan (namamu),” iaitu: Kami telah mengangkat darjatmu dan mengurniakan kepadamu pujian yang baik lagi luhur, yang tidak pernah dicapai oleh sesiapa pun sebelum ini. Nama Allah tidak disebut melainkan disertai dengan penyebutan nama Rasul-Nya, seperti dalam lafaz syahadah ketika memeluk Islam, dalam azan, iqamah, khutbah, dan lain-lain bentuk zikir yang mengagungkan nama Rasulullah ﷺ.

Di dalam hati umatnya, Baginda dicintai, dimuliakan dan diagungkan dengan kemuliaan yang tiada bandingnya – sesuatu yang tidak dimiliki oleh sesiapa pun selain Baginda, selepas Allah. Semoga Allah membalas segala jerih payah Baginda terhadap umatnya dengan sebaik-baik ganjaran yang pernah diberikan kepada mana-mana nabi atas jasa dan pengorbanan mereka terhadap umat masing-masing. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 791)

Al-Sabuni berkata: Maknanya: Kami telah meninggikan sebutanmu (namamu), yakni Kami telah mengangkat darjatmu dan meninggikan kedudukanmu di dunia dan di akhirat. Kami menjadikan namamu disebut bersama nama-Ku.

Mujahid berkata: “Aku (Allah) tidak disebut melainkan engkau juga disebut bersama-Ku.”

Dalam sebuah hadis, Rasulullah ﷺ bersabda:  “Telah datang kepadaku Jibril lalu berkata: Wahai Muhammad, sesungguhnya Tuhanmu berfirman: Tahukah engkau bagaimana Aku meninggikan sebutanmu? Aku menjawab: Allah lebih mengetahui. Maka Jibril berkata: Bila Aku disebut, engkau juga disebut bersama-Ku.”

Dalam kitab al-Baḥr, disebutkan bahawa Allah telah mengiringkan nama Rasulullah ﷺ dengan nama-Nya Yang Maha Agung dalam kalimah syahadah, azan, iqamah, tasyahhud, khutbah dan di banyak tempat lain dalam al-Quran. Allah juga mengambil janji dari para nabi dan umat mereka supaya beriman kepada Baginda ﷺ.

Sebagaimana yang dinukilkan oleh Hassan bin Thabit RA dalam syairnya:

وضَمَّ الإلهُ اسْمَ النبيِّ إلى اسمِه … إِذا قالَ في الخَمْسِ المُؤَذِّنُ أشهدُ

وشَقَّ له مِن اسمِه لِيُجِلَّه … فذو العَرْشِ محمُودٌ وهَذا مُحَمَّدُ

“Tuhan telah menggandingkan nama Nabi dengan nama-Nya,

Bila muazzin melaungkan ‘Ashhadu’ lima kali sehari.”

“Dan Dia telah mengambil dari nama-Nya untuk mengangkatnya,

Maka Yang Mempunyai Arasy itu ‘Mahmūd’, dan inilah Muhammad.”

(Lihat Safwah al-Tafasir, 3/548)

Semoga Allah jadikan kita sentiasa kasih dan cintakan Nabi SAW dengan mengikut titah perintah dan Syariat-Nya. Begitu juga sentiasa berselawat ke atas Baginda SAW. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”