Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dengar, Rasulullah SAW menunjukkan tentang fitnah yang ke arah tempat tinggal Aisyah dengan menyebut sebagai punca fitnah dan keluar tanduk Syaitan. Boleh terangkan maksud tersebut?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Abdullah (Ibn Mas’ud) R.A berkata:
قَامَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَطِيبًا، فَأَشَارَ نَحْوَ مَسْكَنِ عَائِشَةَ، فَقَالَ: «هُنَا الفِتْنَةُ – ثَلاَثًا – مِنْ حَيْثُ يَطْلُعُ قَرْنُ الشَّيْطَانِ
Maksudnya: “Nabi SAW berdiri menyampaikan khutbah, lalu memberi isyarat ke arah tempat tinggal Aisyah sambil bersabda: “Di sini fitnah – sebanyak tiga kali – dari arah terbitnya (munculnya) tanduk syaitan.”
Riwayat al-Bukhari (3104)
Al-Mubarakfuri berkata: Dan al-‘Aini berkata dalam syarahnya terhadap hadis Ibn ‘Umar bahawa sesungguhnya Nabi ﷺ berdiri di sisi mimbar lalu bersabda: “Fitnah itu di sini, dari arah terbitnya tanduk syaitan,” atau baginda bersabda: “tanduk matahari.”
Beliau (al-‘Aini) menyebut: Maknanya, baginda ﷺ hanya menunjukkan ke arah timur kerana penduduknya pada ketika itu adalah dalam kalangan orang kafir. Maka baginda memberitahu bahawa fitnah akan datang dari arah itu. Dan demikianlah yang terjadi – iaitu peristiwa peperangan Jamal, peperangan Siffin, kemudian kemunculan golongan Khawarij di wilayah Najd dan ‘Iraq serta kawasan yang berada di sebelah timurnya.
Fitnah besar yang menjadi pembuka kerosakan hubungan sesama umat ialah pembunuhan ‘Uthman RA. Baginda ﷺ telah memberi amaran terhadap perkara itu serta memberitahu tentangnya sebelum ia berlaku, dan itu termasuk antara tanda-tanda kenabian baginda ﷺ. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 10/315)
Semoga kita sentiasa dipelihara Allah dengan mengikut titah perintah Allah dan Rasul-Nya SAW dari sebarang fitnah dan petunjuk Nabi SAW mengajar kepada kita sepertimana hadith yang masyhur:
Daripada Abi Najih al-Irbadh bin Sariah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW memberi nasihat kepada kami yang membuatkan hati kami bergetar dan air mata kami bercucuran. Maka kami berkata: Ya Rasulullah, seolah-olah ini merupakan nasihat perpisahan, maka berilah kami wasiat. Rasulullah SAW bersabda:
أَوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللَّه وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ تَأَمَّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ، فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشَ مِنْكُمْ فَسَيرَى اخْتِلَافًا كَثِيرَاً؛ فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِدِ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإِنَّ كلَّ مُحدثة بدعة، وكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٌ
Maksudnya: “Saya wasiatkan kamu agar bertakwa kepada Allah SWT, tunduk dan patuh kepada pemimpin kamu meskipun yang memimpin kamu adalah seorang hamba. Akan ada dalam kalangan kamu yang hidup (setelah ini) akan menyaksikan banyaknya berlaku perselisihan. Hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah Khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk gigitlah peganglah dengan kuat) dengan geraham. Hendaklah kamu menghindari perkara yang diada adakan, kerana semua perkara bid’ah adalah sesal.”
Riwayat Abu Daud (4607) dan al-Tirmizi (2678), beliau berkata: Hasan sahih
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”