Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah pengkhianat mempunyai bendera pada hari Kiamat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).
(Surah Al-Anfal ayat 27)
Al-Alusi berkata dalam Ruh al-Ma`ani: “Asal khianat ialah kekurangan sebagaimana asal menunaikan janji dengan kesempurnaan. Ianya berlawanan dengan maksud amanah. Dikehendaki di sini ialah tidak beramal dengan apa yang disuruh oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.” (Lihat Ruh al-Ma’ani,4/182)
Daripada Anas daripada Nabi SAW, baginda bersabda:
لِكُلِّ غَادِرٍ لِوَاءٌ يَوْمَ القِيَامَةِ، قَالَ أَحَدُهُمَا: يُنْصَبُ، وَقَالَ الآخَرُ: يُرَى يَوْمَ القِيَامَةِ، يُعْرَفُ بِهِ
Maksudnya: “Bagi setiap pengkhianat ada bendera pada hari kiamat.” Salah seorang perawi berkata: “Dipacakkan (bendera tersebut)” – Dan yang lain berkata: “Ia terlihat (bendera tersebut) pada hari kiamat, dia dikenali dengannya.”
Riwayat al-Bukhari (3186)
Al-Qadhi Iyadh berkata: “لِكُلِّ غَادِرٍ لِوَاءٌ يَوْمَ القِيَامَةِ” bermaksud setiap pengkhianat akan mempunyai panji pada hari kiamat, iaitu tanda yang menyebabkan dia dikenali di kalangan manusia. Hal ini kerana fungsi panji adalah sebagai tanda tempat seseorang pemimpin berada. (Lihat Masyariq al-Anwar, 1/717)
Al-Mubarakfuri berkata: Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya orang yang berkhianat…” Perkataan al-ghādir bermaksud orang yang berkhianat, iaitu lawan kepada orang yang menepati janji. Pengkhianatan ini berlaku terhadap seseorang yang telah diikat janji atau telah diberikan jaminan keamanan. “…akan mempunyai panji (liwā’)” – iaitu bendera atau lambang yang diletakkan di belakangnya sebagai tanda pengenalan kepada pengkhianatannya, supaya dia dipermalukan dan didedahkan di hadapan seluruh makhluk pada Hari Kiamat. “…pada Hari Kiamat.” Tambahan dalam riwayat Abu Dawud dan lainnya: “Lalu dikatakan: ‘Inilah pengkhianatan si fulan bin fulan.’” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/170)
Daripada Ibn Umar R.Anhuma kata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda:
لِكُلِّ غَادِرٍ لِوَاءٌ يُنْصَبُ بِغَدْرَتِهِ يَوْمَ القِيَامَةِ
Maksudnya: “Bagi setiap pengkhianat terdapat bendera yang dipancang (dipacakkan) kerana pengkhianatannya pada hari kiamat.”
Riwayat al-Bukhari (3186)
Dan pengkhianatan (ghadar) adalah haram menurut ijmak para ulama, sama ada terhadap seorang Muslim atau seorang dzimmi (bukan Muslim yang berada di bawah perlindungan negara Islam). Sama ada ia dilakukan oleh orang yang baik terhadap orang yang jahat atau sebaliknya – iaitu daripada si jahat kepada si baik, atau antara dua orang yang jahat sekalipun.
Ibn al-Munir berkata: “Seolah-olah dia diperlakukan dengan sesuatu yang bertentangan dengan niatnya. Ini kerana kebiasaannya panji (bendera) akan diangkat di atas kepala, namun pada hari itu ia ditegakkan di bahagian bawah sebagai tambahan kepada kehinaan yang ditimpakan kepadanya. Hal ini kerana mata manusia kebiasaannya tertumpu kepada panji-panji, maka ia menjadi sebab untuk pandangan mereka turut tertumpu kepada orang yang memiliki panji itu pada hari tersebut, lalu bertambahlah kehinaannya.”
Al-Kirmani pula berkata: “Kalimat ‘diangkat’ dan ‘dipacakkan’ dalam konteks ini membawa maksud yang sama, kerana tujuan sebenarnya adalah untuk menzahirkan (memperlihatkan) perbuatan itu secara terang-terangan.” (Lihat Fath al-Salam, 7/528)
Kata al-Muhallab: Rasulullah ﷺ telah memberitahu bahawa hukuman bagi si pengkhianat pada Hari Kiamat ialah akan didirikan untuknya panji (bendera) agar orang ramai mengenalinya sebagai seorang pengkhianat. Maka mereka akan memandangnya dengan pandangan kehinaan, dan ini merupakan hukuman yang serupa dengan apa yang disebut oleh Allah dalam firman-Nya berkenaan hukuman bagi orang yang berdusta atas nama Allah: “Dan para saksi berkata: Inilah orang-orang yang berdusta terhadap Tuhan mereka.” (Surah Hud, 11:18)
Adapun sebab Imam al-Bukhari menamakan bab ini dengan tajuk: “Dosa Pengkhianat Terhadap Orang Baik dan Orang Jahat”, adalah kerana umum hadis Rasulullah ﷺ yang menyebut: “Setiap pengkhianat akan memiliki panji pada Hari Kiamat.”
Maka ini menunjukkan bahawa pengkhianatan adalah haram terhadap semua manusia, sama ada mereka orang yang baik (beriman) atau jahat (fasiq/kafir). Ini kerana pengkhianatan adalah satu bentuk kezaliman, dan kezaliman oleh orang jahat tetap haram, sebagaimana kezaliman oleh orang baik yang bertakwa juga haram.
Jika ada yang bertanya: “Apakah hubungan hadis Ibn ‘Abbas dengan tajuk bab ini?”, maka dijawab – wallahu a‘lam – bahawa: Larangan-larangan Allah adalah perjanjian antara Allah dan hamba-hamba-Nya. Maka sesiapa yang melanggar salah satu daripadanya, bererti dia tidak menunaikan janji yang telah dibuat kepada Allah, dan sesiapa yang tidak menunaikan janji, maka dia termasuk dalam kalangan pengkhianat.
Tambahan pula, apabila Rasulullah ﷺ membuka Kota Makkah, baginda memberi pengampunan kepada semua penduduknya, sama ada yang beriman mahupun munafik. Padahal, memang telah diketahui bahawa ada golongan munafik di kalangan mereka.
Kemudian baginda ﷺ menyatakan bahawa Kota Makkah itu suci dengan kesucian daripada Allah sehingga Hari Kiamat, dan bahawa tidak halal untuk berperang di dalamnya terhadap sesiapa pun.
Maka jika demikian, tidak harus mengkhianati mana-mana individu pun dari kalangan mereka, sama ada yang baik (beriman) atau yang jahat (fasiq/munafik), kerana keseluruhan mereka berada di bawah jaminan keamanan dan keampunan Nabi ﷺ. Dan Allah jua yang memberi taufik. (Lihat Syarah Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 5/371)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”