Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, adakah di sana terdapat bacaan ketika kita sujud?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱرْكَعُوا۟ وَٱسْجُدُوا۟ وَٱعْبُدُوا۟ رَبَّكُمْ وَٱفْعَلُوا۟ ٱلْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).
(Surah al-Hajj: 77)
Dalam menjawab persoalan di atas, dengan meneliti pelbagai nas, kami dapati, terdapat banyak bacaan yang dibaca ketika sujud. Antaranya:
Dalam hadith Aisyah R.Anha bahawa Nabi ﷺ biasa mengucapkan dalam rukuk dan sujudnya:
سُبُّوحٌ قُدُّوسٌ رَبُّ الْمَلَائِكَةِ وَالرُّوحِ
Maksudnya: “Maha Suci, Maha Kudus, Tuhan para malaikat dan Jibril.”
Riwayat Muslim (487).
Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya: “Nabi SAW membaca dalam rukuk dan sujudnya
سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي
Maksudnya: “(Maha suci Engkau, Ya Allah, Tuhan kami, Segala puji untuk-Mu. Ya Allah, ampunilah aku).”
Riwayat al-Bukhari (794)
Dikatakan selepas turunnya ayat daripada firman Allah SWT:
فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا
Maksudnya: Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.
Maka, Rasulullah SAW membaca tasbih bersama dengan istighfar sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Rasulullah SAW banyak menyebut:
سُبحانَكَ اللَّهمَّ وبحَمدِكَ، اللَّهمَّ اغفِرْ لي
Maksudnya: Maha suci engkau, ya Allah, aku memuji kepada-Mu. Ya Allah, Ampunkanlah aku.
Apabila turunnya Surah al-Nasr (إِذا جاءَ نَصْرُ اللَّهِ والْفَتْحُ), maka Rasulullah SAW berzikir dengan:
سُبحانَكَ اللَّهمَّ وبحَمدِكَ، اللَّهمَّ اغفِرْ لي؛ إنَّكَ أنتَ التَّوّابُ
Maksudnya: Maha suci engkau, ya Allah, aku memuji kepada-Mu. Ya Allah, Ampunkanlah aku, Sesungguhnya engkau Maha menerima Taubat.
Riwayat Ahmad (3891). Syeikh Syuaib al-Arnaut menyatakan di dalam Takhrij al-Musnad (3891) bahawa hadith ini Hasan li ghairih.
Di dalam hadith lain yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW banyak menyebut zikir (سُبحانَكَ اللَّهمَّ ربنّا وبحَمدِكَ، اللَّهمَّ اغفِرْلي) di dalam ruku’ dan sujud baginda sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Sahih al-Bukhari (817) dan Muslim (484).
Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Zikir ini disunatkan untuk diucapkan semasa ruku’ dan sujud, bersamaan dengan “سُبْحَانَ رَبِّيَ العَظِيمِ” semasa ruku’, dan “سُبْحَانَ رَبِّي الأَعلَى” semasa sujud. Rasulullah SAW mengucapkan zikir ini, sambil menjelaskan maksud ayat suci: “فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا” (Surah al-Nasr: 3]. Oleh itu, Aisyah R.Anha berkata, “Sesungguhnya ia menjelaskan al-Quran.” Zikir ini sangat sesuai, kerana ia mengandungi rendah diri, merendahkan diri kepada Allah Taala, menyucikan-Nya daripada kekurangan dan kelemahan, serta mengakui segala puji bagi-Nya. Setelah itu, dengan segala kerendahan hati, hamba itu memohon keampunan daripada-Nya, dalam keadaan sujud dan rukuk.
Zikir yang disebutkan adalah sunnah dan bukan wajib. Sunnah yang disepakati ialah “سُبْحَانَ رَبِّيَ العَظِيمِ” semasa rukuk dan “سُبْحَانَ رَبِّي الأَعلَى” semasa sujud, seperti yang terdapat dalam hadith riwayat Muslim dan Sunan Sittah daripada hadith Huzaifah bahawa beliau solat bersama Nabi SAW dan baginda SAW bersabda semasa ruku’: “سُبْحَانَ رَبِّيَ العَظِيمِ”, dan semasa sujud: “سُبْحَانَ رَبِّي الأَعلَى”
Semoga kita semua menjadi hamba Allah yang sentiasa taat dan patuh kepada perintah Allah dalam melaksanakan solat. Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”