Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat doa khusus selepas membaca tahiyat akhir untuk melepaskan daripada hutang?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan ya. Hal ini berdasarkan sebuah hadith yang masyhur, daripada Aisyah R.Anha, katanya:
أنَّ رَسولَ اللَّهِ ﷺ كانَ يَدْعُو في الصَّلاةِ: اللَّهُمَّ إنِّي أعُوذُ بكَ مِن عَذابِ القَبْرِ، وأَعُوذُ بكَ مِن فِتْنَةِ المَسِيحِ الدَّجّالِ، وأَعُوذُ بكَ مِن فِتْنَةِ المَحْيا، وفِتْنَةِ المَماتِ، اللَّهُمَّ إنِّي أعُوذُ بكَ مِنَ المَأْثَمِ والمَغْرَمِ فَقالَ له قائِلٌ: ما أكْثَرَ ما تَسْتَعِيذُ مِنَ المَغْرَمِ، فَقالَ: إنَّ الرَّجُلَ إذا غَرِمَ، حَدَّثَ فَكَذَبَ، ووَعَدَ فأخْلَفَ.
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah ﷺ sering berdoa dalam solat: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada azab kubur. Aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah al-Masih al-Dajjal. Aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah kehidupan dan fitnah kematian. Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada dosa dan beban hutang.”
Lalu seseorang berkata kepada Baginda: “Betapa banyaknya engkau memohon perlindungan daripada beban hutang!”
Baginda menjawab: “Sesungguhnya seseorang apabila berhutang, dia akan berkata lalu berdusta, dan dia akan berjanji lalu memungkiri.”
Riwayat al-Bukhari (832) dan Muslim (589)
Syaikh Sa‘id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani menjelaskan: Dan disebut dalamnya bahawa seorang lelaki berkata kepada baginda: “Wahai Rasulullah, betapa banyaknya engkau memohon perlindungan daripada hutang.” Maka baginda pun menjawab: “Sesungguhnya seseorang itu apabila berhutang, dia akan bercakap lalu berdusta, dan dia akan berjanji lalu memungkiri.”
Sabda baginda: “المَأْثَمِ” bermaksud dosa. Dan sabda baginda: “المَغْرَمِ” bermaksud beban hutang, iaitu dayn (hutang). Ada juga yang mengatakan bahawa al-ghurm dan al-maghram ialah segala bentuk kerugian yang menimpa harta seseorang tanpa dia melakukan kesalahan.
Disebut dalam hadith: “Seorang lelaki bertanya kepadanya…” – sebenarnya, pertanyaan ini bertujuan untuk mengetahui hikmah di sebalik Nabi ﷺ sering memohon perlindungan daripada beban hutang. Maka Rasulullah ﷺ pun menjelaskan bahawa seseorang yang dibebani hutang akan cenderung untuk berbohong kepada pemiutangnya dengan pelbagai alasan yang tidak benar, semata-mata untuk menangguhkan pembayaran.
Dan dia juga akan memungkiri janji, contohnya dengan mengatakan: “Aku akan bayar hakmu pada hari sekian, pada waktu sekian,” namun dia tidak melunaskannya. Maka disebabkan hutang, dia terjerumus dalam dosa berdusta dan memungkiri janji, sedangkan kedua-dua perkara ini merupakan sifat orang munafik – kita memohon perlindungan Allah daripada sifat-sifat tersebut.
Adapun perkataan “ما” dalam ungkapan: “ما أكْثَرَ ما تَسْتَعِيذُ مِنَ المَغْرَمِ” adalah bentuk ta‘ajjub (ungkapan kehairanan), yang bermaksud: “Betapa banyaknya engkau memohon perlindungan daripada beban hutang.” (Lihat Syarah Hisn al-Muslim min Azkar al-Kitab wa al-Sunnah, hlm. 107)
Apa yang Rasulullah SAW nyatakan itu amat benar sekali, bahkan terdapat banyak mudarat apabila seseorang itu berhutang. Antaranya, daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِيَّاكُمْ وَالدَّيْنَ فَإِنَّهُ هَمٌّ بِاللَّيْلِ وَمَذَلَّةٌ بِالنَّهَارِ
Maksudnya: “Jauhilah kamu dari berhutang, ia akan membuat kamu resah pada waktu malam dan (mengakibatkan) kehinaan pada siang hari.”
Riwayat Riwayat al-Baihaqi Syu’ab al-Iman (5554), al-Qudha’i dalam Musnad al-Syihab (958) dan al-Dailami dalam al-Firdaus sepertimana dalam Kanz al-‘Ummal (15489). Dinyatakan dha’if (lemah) dalam Syarh Kitab al-Syihab (198) oleh al-Safarini al-Hanbali, dan dinyatakan sebagai dha’if jiddan (sangat lemah) dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah (2265) dan Dha’if al-Jami’ (2199).
Sebuah kisah menyebut bahawa Rasulullah SAW memasuki masjid, lantas Baginda mendapati pada waktu tersebut ada seorang sahabat daripada kalangan Ansar – dikatakan beliau ialah Abu Umamah R.A – sedang duduk di sana. Baginda lalu bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat engkau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan pada waktu solat?” Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah.”
Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya, Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.” Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Maka Baginda bersabda: “Ucapkanlah pada waktu pagi dan petang doa ini:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada kegelisahan dan kedukaan. Aku berlindung kepada Engkau daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada Engkau daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”
Riwayat al-Bukhari (834) dan Muslim (7044)
Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.”
Begitulah ajaibnya tips Nabi supaya mengajar umatnya bergantung kepada Allah, berdoa, bertawakal dan berusaha. Semoga kita selamat daripada belenggu hutang. Dan semoga Allah SWT selamatkan kita daripada hutang.