Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah di sana, terdapat doa khas yang terkait dengan keselamatan dalam menghadapi pemerintah yang zalim seperti doa al-Hasan al-Basri?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terdapat banyak doa dan kisah bagaimana menghindari daripada bala dan bahaya kezaliman seseorang, apatah lagi pemerintah. Dalam sejarah, terlalu banyak kisah yang menarik, antaranya:

Doa al-Hasan al-Basri ketika menghadapi al-Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi

Nama penuhnya ialah Abu Saʿid ibn Abi al-Hasan Yasar al-Basri. Al-Hasan al-Basri dilahirkan pada tahun 21 H iaitu 2 tahun sebelum berakhirnya pemerintahan Saidina Umar al-Khattab. Hasan al-Basri belajar daripada ramai para sahabat Nabi SAW dan turut meriwayatkan hadith. Beliau dinilai sebagai seorang perawi yang thiqah (terpercaya) khususnya dalam hadith yang beliau riwayatkan dari Samurah bin Jundub. (Lihat Mizal al-’Itidal fi Naqd al-Rijal, hlm. 383). Beliau wafat pada tahun 110 H di Basrah Iraq di mana penduduk Basrah beramai-ramai solat jenazah dan mengebumikannya pada hari Jumaat.

Suatu ketika, al-Hajjaj telah membina sebuah bangunan indah dan megah miliknya di Wasit. Apabila pembinaan tersebut siap, al-Hajjaj menjemput orang ramai untuk melihat dan mendoakan keberkatannya.

Al-Hasan tidak mahu kesempatan orang ramai berkumpul ini dilepaskan begitu sahaja. Beliau berhasrat untuk memberikan mereka nasihat. Beliau mahu mengingatkan mereka supaya bersederhana dengan kesenangan dunia serta menggalakkan mereka mengejar ganjaran Allah. Apabila sampai ke tempat tersebut, beliau melihat orang ramai mengelilingi istana yang tersergam indah. Mereka kelihatan kagum dengan hasil binaan, keluasan dan keindahan binaannya. al-Hasan kemudian memberi ucapannya:

“Kita pernah melihat bangunan yang dibina oleh manusia yang paling keji di dunia. Kita dapati Firaun telah membina bangunan yang lebih besar dan lebih tinggi. Namun akhirnya Allah binasakan Firaun dan semua bangunan yang dibinanya. Mudah-mudahan al-Hajjaj mengetahui penghuni langit amat memurkainya dan penghuni bumi sedang memperdayanya.” Pada hari berikutnya al-Hajjaj masuk ke balai dengan perasaan yang amat marah. Dia berkata kepada ahli majlisnya: “Celaka kamu! Seorang hamba penduduk Basrah ini telah mencerca aku tetapi tiada siapa di kalangan kamu yang membalas dan menafikannya! Demi Allah, saya akan hidangkan darahnya kepada kamu, wahai pengecut.”

Al-Hajjaj pun memerintahkan supaya seorang pengiringnya mengambil pedang dan alasnya. Dia kemudiannya memerintahkan pemenggal supaya hadir. Pemenggal pun datang berdiri di hadapannya. Setelah itu, dia mengarahkan beberapa orang pengawalnya supaya membawa al-Hasan ke hadapannya. Tidak berapa lama kemudian al-Hasan pun dibawa menghadap. Semua yang ada di situ merenung ke arahnya. Semuanya ketakutan. Apabila al-Hasan melihat pedang, alas dan pemenggal di hadapannya, bibirnya pun kelihatan terkumat-kamit.

Al-Hasan kemudiannya menghadap al-Hajjaj dengan rasa penuh kewibawaan dan ‘izzah seorang mukmin. Dia menunjukkan kehebatan seorang muslim dan ketulusan seorang pendakwah. Melihat keadaan itu, al-Hajjaj terasa gementar. Dia berkata: “Wahai Abu Said, silakan ke sini. Silakan ke sini.” Orang ramai tercengang penuh kehairanan. Al-Hasan dipersilakan duduk. Apabila al-Hasan duduk, al-Hajjaj menghadapnya sambil bertanya beberapa masalah agama.

Al-Hasan pun menjawab segala pertanyaan itu dengan penuh tabah serta disertakan huraian ilmu yang amat mendalam. Al-Hajjaj berkata: “Abu Said, engkau adalah pemimpin ulama.” Al-Hajjaj kemudiannya meminta pengawalnya mengambil minyak wangi. Minyak wangi itu dihadiahkan kepada al-Hasan. Setelah al-Hasan keluar, seorang pengawal al-Hajjaj mengekorinya dan bertanya: “Wahai Abu Said, al-Hajjaj sebenarnya memanggil tuan atas sebab yang lain daripada apa yang dilakukannya tadi. Aku lihat ketika tuan menghadap al-Hajjaj dan melihat pedang serta alas tadi, bibir tuan berkumat-kamit, apakah yang tuan ucapkan?

Al-Hasan menjawab: “Saya sebenarnya berdoa:

يَا وَلِيَّ نِعْمَتِي وَمَلَاذِي عِنْدَ كُرْبَتِي، اجْعَل نِقْمَتَهُ بَرْدًا وَسَلَامًا عَلَيَّ كَمَا جَعَلْتَ النَّارَ بَرْدًا وَسَلَامًا عَلَى إِبْرَاهِيم

Maksudnya: “Wahai Tuhanku yang memberikan nikmat dan menjadi tempat aku berlindung ketika menghadapi malapetakaku, jadikanlah kejahatannya itu sejuk dan selamat untukku seperti mana Engkau jadikan api itu sejuk dan selamat untuk Ibrahim.”

Cukuplah kisah ini menjadi iktibar kepada kita walaupun banyak lagi doa-doa yang lain, dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”