Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Imam Syafi’i dinisbahkan kepada datuknya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

ۚ إِنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ ٱلرِّجْسَ أَهْلَ ٱلْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “Ahlu al-Bait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).

(Surah al-Ahzab: 33)

Ibn Kathir menjelaskan bahawa ayat ini ayat yang akhir diturunkan dan dikhususkan kepada isteri-isteri Nabi SAW. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/584)

Berdasarkan kepada bacaan nasab Imam Syafi’i seperti berikut:

Nama sebenar Imam al-Syafi‘i ialah Abu ‘Abdillah Muhammad bin Idris bin al-‘Abbas bin ‘Uthman bin Syafi‘ bin al-Sa’ib bin ‘Ubaid bin ‘Abd Yazid bin Hasyim bin al-Muttalib bin ‘Abd Manaf bin Qusai bin Kilab bin Murrah bin Ka‘b bin Lu’ai bin Ghalib bin Fihr bin Malik ibn al-Nadhr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma‘ad bin ‘Adnan bin Ud bin Udad bin al-Hamaisa‘ bin Yakhsyab bin Bait bin Salaman bin Haml bin Qaidar bin Isma‘il bin Ibrahim. (Lihat Jumhurah Ansab al-Arab, hlm. 73; Siyar A‘lam al-Nubala’, 10/5; Manazil al-A’immah al-Arba‘ah, hlm. 198)

Justeru, jelaslah bahawa datuk Imam al-Syafi’i yang pertama adalah al-Abbas, dan yang kedua adalah Uhtman serta yang ketiga adalah Syafi’i, anak kepada al-Sa’ib. Daripada situlah.

Adapun datuk kepada datuknya, Syafi‘ bin al-Sa’ib, yang dinisbahkan kepada Imam al-Syafi‘i, beliau termasuk dalam kalangan sahabat yang kecil dan riwayat sejarah sepakat bahawa beliau pernah berjumpa dengan Nabi SAW ketika masih lagi sedang membesar — yakni kecil. Beliau juga disebutkan dalam hadith yang diriwayatkan oleh al-Hakim — dalam Manaqibnya — daripada Anas. Anas berkata: “Pada suatu hari, Nabi SAW berada di Fustat,  lalu datanglah al-Sa’ib bin ‘Ubaid bersama anaknya, iaitu Syafi‘ bin al-Sa’ib. Nabi melihat ke arahnya, lalu bersabda:

مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ أَنْ يُشْبِهَ أَبَاهُ

Maksudnya: “Termasuk dalam kebahagian seseorang adalah dia menyerupai bapanya.”

Riwayat al-Qadha‘i dalam Musnad al-Syihab (299) dan al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus (6012); al-Safarini al-Hanbali dalam Syarh Kitab al-Syihab (438) menilai sanadnya sebagai dha‘if.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”