Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana keadaan solat jika imam terlupa membaca surah selepas bacaan al-Fatihah ketika mengimamkan solat Maghrib?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat mempunyai sunat-sunatnya yang menjadi pelengkap dan kesempurnaan di dalam solat. Ia terbahagi kepada beberapa bahagian. Ada perkara-perkara sunat yang dilakukan sebelum bermulanya solat. Ada juga yang dilakukan di dalam solat dan juga ada perkara sunat selepas dari solat.

Bagi perkara sunat di dalam solat ianya terbahagi kepada dua.

  • Pertama,sunat ab’adh iaitu perkara sunat di mana jika dilakukan akan mendapat pahala, tetapi jika ditinggalkan tidaklah membatalkan solat. Namun, jika perkara itu ditinggalkan, disunatkan untuk melakukan sujud sahwi di akhir solat.
  • Kedua, sunat hai’at iaitu perkara sunat yang mana jika dilakukan mendapat pahala dan jika ditinggalkan tidak membatalkan solat. Begitu juga, tidak perlu melakukan sujud sahwi jika meninggalkan perkara sunat haiat.

Antara sunat hai’at adalah membaca surah atau apa sahaja ayat al-Quran selepas daripada membaca Al-Fatihah. Ini berdasarkan athar daripada ‘Ata’ yang diriwayatkan oleh Ibnu Juraij, kata beliau:

أَخْبَرَنِي عَطَاءٌ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ فِي كُلِّ صَلَاةٍ يُقْرَأُ فَمَا أَسْمَعَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَسْمَعْنَاكُمْ وَمَا أَخْفَى عَنَّا أَخْفَيْنَا عَنْكُمْ وَإِنْ لَمْ تَزِدْ عَلَى أُمِّ الْقُرْآنِ أَجْزَأَتْ وَإِنْ زِدْتَ فَهُوَ خَيْرٌ

Maksudnya: “Ata’ mengkhabarkan kepada aku bahawa beliau mendengar Abu Hurairah berkata : Di dalam setiap solat dibaca (surah). Apa yang diperdengarkan oleh Rasulullah SAW kami perdengarkan kepada kalian. Apa yang Baginda baca secara perlahan kami baca secara perlahan. Jika kamu tidak menambah apa-apa selepas ummul Quran (iaitu selepas membaca Al-Fatihah) maka solat kamu tetap sah. Jika kamu menambah (iaitu membaca surah atau ayat Al-Quran) maka ia lebih baik.”

Riwayat al-Bukhari (772)

Al-Khatib al-Syarbini menyebut bahawa membaca surah selepas bacaan al-Fatihah adalah sunat walaupun pendek. Disunatkan membaca surah pada dua rakaat yang awal. Sama ada solat secara jahriyyah atau sirriyyah. Adapun makmum tidak disunatkan membaca surah bahkan digalakkan untuk mendengar bacaan surah yang dibaca oleh imam. (Lihat al-Iqna’ fi Hilli Alfaz Abi Syuja’, 1/142).

Jika seseorang meninggalkan bacaan surah maka tidak perlu untuk sujud sahwi. Ini kerana ia termasuk dalam perkara sunat hai’at. Imam al-Nawawi menjelaskan: “Adapun selain daripada sunat ab’ad, maka tidak perlu untuk melakukan sujud sahwi jika dia meninggalkannya. Inilah pandangan yang sahih lagi masyhur.” (Lihat Raudhah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, 1/109).

Ini bermakna bahawa seseorang yang meninggalkan bacaan surah atau ayat Al-Quran selepas daripada membaca al-Fatihah sama ada sengaja atau tidak sengaja, maka solatnya tetap sah dan tidak perlu untuk sujud sahwi jika meninggalkannya. Namun jika imam terlupa membaca surah selepas daripada membaca al-Fatihah dan terus rukuk maka ada dua keadaan bagi makmum, iaitu:

  • Jika makmum merupakan makmum yang masbuq iaitu tidak sempat membaca atau menghabiskan al-Fatihah maka dia boleh terus rukuk bersama imam selepas daripada takbiratul ihram dengan kadar subhanallah.
  • Jika makmum merupakan makmum yang muwafiq maka dia perlu untuk menghabiskan al-Fatihah. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ubadah Bin Somit bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: “Tidak ada solat (tidak sah solat) bagi sesiapa yang tidak membaca pembuka al-Kitab (Surah al-Fatihah).”

Riwayat Muslim (900)

Dan dalam keadaan ini dia boleh menghabiskan al-Fatihah dan tidak boleh terlambat daripada imam dengan kadar tiga rukun yang panjang iaitu rukuk, sujud pertama dan sujud kedua.

Kesimpulan

Justeru, berdasarkan dalam isu di atas, jika imam tertinggal bacaan surah selepas daripada bacaan al-Fatihah, maka solatnya dan solat makmum tetap sah. Jika makmum adalah makmum masbuq dia boleh terus rukuk bersama imam setelah takbiratul ihram dengan kadar subhanallah. Jika makmum seorang muwafiq, maka perlu menghabiskan al-Fatihah dengan syarat tidak terlambat daripada imam dengan kadar tiga rukun yang panjang.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 12/11/21 bersamaan 7 Rabiul Akhir 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *