Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah datuk Imam Syafi’i yang bernama al-Sa’ib adalah sahabat Nabi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

(Surah al-Fath: 29)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan, adapun al-Sa’ib bin ‘Ubaid, bapa kepada al-Syafi‘, beliau dahulunya adalah seorang musyrik dan merupakan pemegang panji Bani Hasyim pada hari peperangan Badar. Namun, beliau kemudiannya ditawan, dan menebus dirinya sendiri serta kemudian memeluk agama Islam. Beliau ditanya: “Kenapa kamu tidak memeluk agama Islam sebelum menebus dirimu?” Beliau menjawab: “Aku tidak mahu makanan orang beriman menjadi tiada kerana diriku.” Begitu juga Rasulullah SAW bersabda tentangnya ketika beliau dan bapa saudaranya al-‘Abbas dibawakan sebagai tawanan: “Ini adalah saudaraku, dan aku adalah saudaranya.”

Dikatakan: Sesungguhnya al-Sa’ib ini adalah seseorang yang menyerupai Nabi SAW dari sudut rupa fizikalnya. Pada suatu masa beliau mengadu sakit. Maka Umar bin al-Khattab R.A berkata, “Mari kita pergi menemui al-Sa’ib bin ‘Ubaid dan menziarahinya, kerana beliau merupakan salah seorang yang membesar bersama suku Quraisy.”

Adapun ‘Ubaid bin ‘Abd Yazid, beliau telah disebut oleh penulis kitab al-Isabah bahawa al-Zubair bin Bakkar berkata: Ibunya ialah al-Syifa’ binti al-Arqam bin Nadlah. (Lihat al-Imam al-Syafi‘i Faqih Sunnah al-Akbar oleh al-Daqir, hlm. 29-32)

Kami juga pernah kisahkan dalam buku kami, Garis Masa Hayat al-Rasul SAW berkenaan mereka yang menyerupai wajah Rasulullah SAW. Sila rujuk kepada buku tersebut untuk mendapat maklumat yang lebih detail dan terperinci. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”