Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah wanita yang sudah lanjut usia, yang tidak banyak menghafal al-Quran dan tidak mampu membaca dari mushaf, memperoleh pahala dengan mendengar al-Quran al-Karim melalui radio dan seumpamanya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”
(Surah al-‘Araf:204)
Imam al-Tabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini berkata: “Fokuskanlah pendengaran kamu kepadanya (bacaan Al-Quran) supaya kamu dapat memahami ayat-ayatnya serta mengambil ibrah dengan peringatan-peringatannya. Dan diamlah kamu supaya kamu dapat berfikir serta mentadabburinya. Mudah-mudahan Tuhan kamu akan merahmati kamu disebabkan kamu mengambil perhatian akan peringatannya.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 13/345)
Beliau turut berkata: “Ahli tafsir berbeza pandangan mengenai keadaan yang diperintahkan oleh Allah untuk diam dan mendengar bacaan al-Quran yang dibaca; sebahagian mereka berpendapat perintah tersebut adalah ketika makmum mendengar bacaan imam di dalam solat dan ayat tersebut diturunkan kerana itu.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 13/345)
Nabi SAW suka mendengar bacaan al-Quran daripada orang lain, dan ini mengukuhkan sunnah mendengar serta memberi perhatian terhadap bacaan al-Quran dan hukum sunatnya. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud RA bahawa beliau berkata: Nabi SAW bersabda kepadaku:
اقْرَأْ عَلَيَّ قُلتُ: أقْرَأُ عَلَيْكَ وعَلَيْكَ أُنْزِلَ، قالَ: إنِّي أُحِبُّ أنْ أسْمعهُ مِن غيرِي.
Maksudnya: “Bacakanlah (al-Quran) kepadaku.” Aku (Abdullah bin Mas‘ud) berkata: “Adakah aku akan membacakannya kepada engkau, sedangkan ia diturunkan kepada engkau?” Baginda bersabda: “Sesungguhnya aku suka untuk mendengarnya daripada orang lain.”
Riwayat al-Bukhari (5056) dan Muslim (800)
Ibn Battal menyebutkan bahawa: Maksud Rasulullah SAW mendengar al-Quran daripada orang lain — dan Allah lebih mengetahui — adalah supaya bacaan al-Quran itu menjadi satu sunnah (yang diteladani). Ia juga berkemungkinan agar Baginda dapat mentadabburinya dan memahaminya, kerana pendengar lebih kuat untuk bertadabbur, dan jiwanya lebih tenang dan lapang berbanding jiwa orang yang membaca; kerana si pembaca sedang sibuk dengan bacaan dan hukum-hukumnya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 10/277)
Selain itu, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa: Dalam hadith Ibn Mas‘ud ini terdapat beberapa faedah, antaranya: dianjurkan untuk mendengar bacaan al-Quran dan memberi perhatian kepadanya, menangis ketika mendengarnya, mentadabburinya, dan digalakkan juga untuk meminta orang lain membacakan al-Quran agar dapat didengar. Ini kerana mendengar lebih berkesan dalam memahami dan mentadabburinya berbanding membacanya sendiri. Hadis ini juga menunjukkan sifat tawaduk (rendah diri) para ulama dan orang-orang yang mulia, sekalipun terhadap para pengikut mereka. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 6/88)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, membaca al-Quran al-Karim atau mendengar bacaannya, kedua-duanya merupakan ibadah yang paling utama. Sunnah nabawiyyah juga dipenuhi dengan nas-nas yang menegaskan kelebihan dan ganjaran bagi kedua-duanya. Khusus berkaitan pembacaannya, telah diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud RA bahawa Nabi SAW bersabda:
Adapun berkenaan dengan mendengar (bacaan) al-Quran, telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنِ استَمَعَ إلى آيةٍ مِن كِتابِ اللهِ عزَّ وجَلَّ كُتِبَ له حَسنةٌ مُضاعَفةٌ، ومَن تَلاها كانتْ له نورًا يومَ القيامةِ.
Maksudnya: “Sesiapa yang mendengar satu ayat daripada Kitab Allah ‘Azza wa Jalla, akan ditulis baginya satu kebaikan yang digandakan; dan sesiapa yang membacanya, ia akan menjadi cahaya untuknya pada Hari Kiamat. ”
Riwayat Ahmad (8494) Syua’ib al-Arnaut menilai hadith ini sebagai Dhaif dalam Takhrij al-Musnad
Al-Fayyumi dalam Fath al-Qarib al-Mujib ‘Ala Targhib wa al-Tarhib (7/23) menukilkan bahawa al-Laith bahawa beliau berkata: Al-Latth bin Sa‘d rahimahullah berkata: Dikatakan bahawa tiada rahmat yang lebih cepat sampai kepada seseorang melainkan kepada orang yang mendengar al-Quran, berdasarkan firman Allah:
وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”
(Surah al-‘Araf:204)
Imam Abu ‘Abdillah al-Qurtubi berkata: Dan apabila ganjaran yang besar ini diberikan kepada orang yang mendengar al-Quran, maka bagaimana pula dengan orang yang membacanya? Dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa bacaan al-Quran dapat menghindarkan bala dunia daripada pendengarnya, dan menghindarkan bala akhirat daripada pembacanya. (Lihat al-Tizkar, hlm 101)
Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dalam isu ini menyatakan bahawa: “Membaca al-Quran atau mendengar bacaannya, kedua-duanya merupakan ibadah yang paling utama. Terdapat dalil-dalil syarak yang menegaskan kelebihan dan ganjarannya. Seorang Muslim sepatutnya menghimpunkan semua bentuk kebaikan, dengan membaca al-Quran pada suatu ketika, dan mendengarnya pada waktu yang lain. Jika dia tidak mampu membaca al-Quran, tetapi berupaya untuk mendengar dengan memberi perhatian serta menghadirkan hati yang memungkinkan pemahaman dan tadabbur — maka tidak syak lagi bahawa ia merupakan amalan yang terpuji dan mendapat ganjaran, kerana dia telah melakukan apa yang termampu, dan dimaafkan atas apa yang tidak mampu dilakukan. Mendengar bacaan al-Quran dianggap sah dengan apa jua cara yang tersedia mengikut kemampuan, sama ada dengan mendengar secara langsung daripada orang yang membacanya, atau melalui radio, televisyen, telefon dan sebagainya — dan dengan itu, dia akan memperoleh ganjaran yang telah dijanjikan.”
Sebagai kesimpulannya, mendengar bacaan al-Quran merupakan satu bentuk ibadah yang diiktiraf dalam syariat Islam dan tetap diberi ganjaran pahala sebagaimana membaca al-Quran, khususnya apabila dilakukan dengan penuh perhatian dan tadabbur. Bagi individu yang tidak berkemampuan untuk membaca al-Quran — seperti wanita yang telah lanjut usia— maka mendengar bacaan al-Quran melalui medium seperti radio atau peranti digital tetap termasuk dalam amalan yang terpuji. Syariat memberi ruang seluasnya kepada setiap Muslim untuk memperoleh pahala mengikut kemampuan masing-masing, dan mendengar al-Quran dengan hati yang hadir adalah amalan yang dijanjikan rahmat dan ganjaran besar oleh Allah SWT.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”
Wallahua‘lam