Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya tengok, apabila kita susah baru kita berdoa kepada Allah SWT. Tidakkah perbuatan ini bertentangan dengan hukum Islam?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Berdoa itu sememangnya dituntut sama ada dalam keadaan yang senang mahupun susah. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَسْتَجِيبَ اللهُ لَهُ عِنْدَ الشَّدَائِدِ وَالْكُرَبِ، فَلْيُكْثِرِ الدُّعَاءَ فِي الرَّخَاءِ

Maksudnya: “Sesiapa yang ingin agar Allah memperkenankan doanya ketika menghadapi kesusahan dan kesempitan, maka hendaklah dia memperbanyakkan doa ketika berada dalam keadaan senang.”

Riwayat al-Tirmizi (3382)

Seorang hamba yang soleh itu akan sentiasa mengingati Tuhannya pada setiap keadaan dan juga waktu, bermunajat kepada-Nya ketika suka mahupun duka, ketika senang atau susah, sihat atau sakit, ketika kaya atau miskin. Ketahuilah dalam apa juga keadaan, Allah SWT adalah Maha Mendengar, yang Sentiasa Dekat, Maha Memperkenankan Doa, serta menjadi penolong dan pembela hamba-Nya ketika dia berada dalam kesukaran dan musibah. Itulah pentingnya kita untuk memperbanyakkan ibadah kepada-Nya di masa senang atau susah, agar kelak doa dan munajat kita akan diperkenankan.

Ambillah iktibar dari kisah Nabi Allah Yunus A.S, ketika baginda ditelan oleh ikan paus:

فَلَوْلَآ أَنَّهُۥ كَانَ مِنَ ٱلْمُسَبِّحِينَ ﴿١٤٣﴾‏ لَلَبِثَ فِى بَطْنِهِۦٓ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ ﴿١٤٤﴾‏

Maksudnya: “Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih). (143) Tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur. (144)”

(Surah al-Saffat: 143-144)

Kata al-Hasan al-Basri, baginda tidak melakukan ibadah solat yang khusus ketika dalam perut ikan, akan tetapi baginda dahulunya banyak melakukan amal soleh ketika keadaan senang, maka Allah SWT mengingati baginda dalam keadaan susahnya. Maka amalan soleh itu benar-benar mampu menyelamatkan seseorang dari bala yang menimpanya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 15/83)

Dapat difahami di sini, berdoa semasa dalam keadaan susah itu tidaklah bertentangan dengan hukum Islam, namun seseorang itu tidak boleh mengabaikan ibadah ketaatan yang lain ketika dia berada dalam keadaan senang. Inilah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dalam hadith Abdullah bin ‘Abbas R.A:

تَعَرَّفْ إِلَيْهِ فِي الرَّخَاءِ، يَعْرِفْكَ فِي الشِّدَّةِ

Maksudnya: “Perkenalkanlah diri kamu kepada Allah ketika kamu senang, nescaya Dia akan mengenali mu ketika kamu susah.”

Riwayat Ahmad (2803)

Contoh lain yang dapat kita lihat adalah kisah Nabi Zakaria A.S, ketika mana Allah SWT memperkenankan permintaan baginda:

وَزَكَرِيَّا إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُ رَبِّ لَا تَذَرْنِي فَرْدًا وَأَنتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ (89) فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَوَهَبْنَا لَهُ يَحْيَىٰ وَأَصْلَحْنَا لَهُ زَوْجَهُ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا ۖ وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ (90)

Maksudnya: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika ia merayu kepada Tuhannya dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi’ (89) Maka Kami perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami. (90)”

(Surah al-Anbiya’: 89-90)

Allah SWT menjelaskan bagaimana Nabi Zakaria A.S berserah sepenuhnya kepada Tuhannya ketika baginda ditimpa kesusahan, dengan bergantung hanya kepada-Nya. Baginda menginginkan seseorang yang dapat menjadi penyejuk hati dan penguat semangatnya dalam urusan agama dan dunianya, serta menjadi pengganti selepas kewafatannya. Maka baginda pun berdoa kepada Allah Ta‘ala dengan keikhlasan, dalam keadaan mengetahui bahawa Allah Maha Berkuasa untuk mengabulkannya, walaupun keadaan dirinya dan isterinya telah lanjut usia.

Nabi Zakaria A.S menginginkan perkara ini untuk dirinya, anaknya, dan ahli keluarganya. Maka Allah menjelaskan bahawa Dia telah mengurniakan kepada mereka apa yang diminta, dan menguatkan sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain, kerana cara hidup mereka ialah mereka berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan. Sesungguhnya berlumba-lumba dalam mentaati Allah Ta‘ala adalah antara perkara yang paling layak untuk seseorang itu dipuji, kerana ia menunjukkan kesungguhan yang tinggi dalam ketaatan. (Lihat Miftah al-Ghaib, 22/182)

Kesimpulan

Kami katakan, berdoa ketika mengalami kesusahan itu tidaklah bersalahan dengan syara‘. Akan tetapi, tidak wajar bagi kita untuk hanya kembali kepada Allah SWT ketika susah sahaja, kerana ketaatan pada masa senang boleh menjadi salah satu asbab dikabulkan doa kita.

Sebagai selingan terakhir, kami titipkan bersama nasihat dari Abu Darda’ R.A:

اذْكُرْ اللَّهَ فِي السَّرَّاءِ، يَذْكُرُكَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ فِي الضَّرَّاءِ

Maksudnya: “Ingatlah Allah ketika dalam keadaan senang, nescaya Allah ‘Azza wa Jalla akan mengingatmu ketika dalam keadaan susah.”

Semoga, kita beroleh kekuatan untuk terus bermunajat kepada Allah SWT pada setiap keadaan. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan elok dalam beribadah kepada-Mu.”

Wallahu a‘lam