Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum berpuasa bagi orang yang dilarang oleh doktor daripada berpuasa? Seorang lelaki yang menghidap penyakit jantung telah menjalani prosedur angioplasti, dan doktornya telah melarangnya daripada berpuasa pada bulan Ramadhan. Apakah hukumnya? Adakah dia dibenarkan untuk berpuasa dengan mengingkari arahan doktor? Dan adakah dia berdosa jika tetap berpuasa? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya: “…dan Dia (Allah) tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama…”
(Surah al-Hajj: 78)
Syeikh al-Sobuni berkata: “Allah tidak jadikan kamu pada agama ini sebarang bentuk kesempitan dan masyaqqah. Dia juga tidak sekali-kali mentaklifkan kamu apa yang kamu tidak mampu, bahkan ia adalah agama yang penuh tolak ansur.”(Lihat Sofwah al-Tafasir, 2/275)
Selain itu, diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ، وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ، فَسَدِّدُوا وَقَارِبُوا، وَأَبْشِرُوا، وَاسْتَعِينُوا بِالْغَدْوَةِ وَالرَّوْحَةِ وَشَيْءٍ مِنَ الدُّلْجَةِ
Maksudnya: “Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah, dan tidaklah sama sekali seseorang yang tasyaddud dalam beragama melainkan pasti agama itu akan mengalahkannya, oleh sebab itu hendaklah kamu menepatinya dan menghampirinya dan bergembiralah (dengan berita itu). Dan mohon pertolonganlah kamu dengan waktu pagi dan petang dan sedikit daripada waktu malam. (Dan dalam lafaz yang lain pula): Hendaklah kamu bersikap sederhana, hendaklah kamu bersikap sederhana, niscaya kamu akan sampai (kepada tujuan yang selamat).”
Riwayat al-Bukhari (39)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: Sesungguhnya, apabila melihat kepada manusia sebelum daripada kita, bahawa setiap yang melampau dalam agama pasti akan terhenti. Selain itu, ini tidak menunjukkan halangan dalam mencari kesempurnaan di dalam beribadah kerana itu merupakan perkara yang terpuji. Bahkan, hadith ini melarang bersikap melampau yang boleh membawa kepada lesu (malas) atau berlebih-lebih dalam perkara yang sunat sehingga membawa kepada meninggalkan yang afdhal atau mengeluarkan perkara yang fardhu itu daripada waktunya (terlepas waktu). (Lihat Fath al-Bari, 1/94)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, Sekiranya orang yang berpuasa menghadapi kesukaran yang disertai dengan kebimbangan akan berlaku mudarat, bahaya, atau kematian, dan perkara itu disahkan oleh doktor pakar yang dipercayai, maka jumhur (majoriti) fuqaha’ telah menyatakan bahawa wajib bagi orang sakit itu untuk berbuka (tidak berpuasa) dalam keadaan tersebut. Ini termasuk dalam umum nas-nas syarak yang telah disepakati berkenaan kewajipan memelihara nyawa dan menjauhi perkara yang membawa kebinasaan dan kemudaratan, sebagaimana firman Allah SWT:
وَلَا تُلْقُوا۟ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى ٱلتَّهْلُكَةِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”
(Surah al-Baqarah: 195)
Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38).
Begitu juga Allah SWT berfirman pada ayat yang lain:
وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”
(Surah al-Nisa’:29)
Ini membuktikan bahawa sebab yang boleh membawa kepada kemudharatan juga termasuk dalam larangan ini. Apa sahaja yang memudharatkan diri, maka kita dilarang melakukannya. (Lihat Tafsir al-Quran al-Karim, 2/389)
Yang demikian juga selari dengan sebuah kaedah yang menyebutkan bahawa:
الضَّرَر يُزَال
Maksudnya: “Kemudharatan hendaklah dihilangkan.” (Lihat al-Wajiz fi Idhah Qawaid al-Fiqh al-Kulliyyah, hlm. 258)
Imam Suyuti berkata: Ketahuilah bahawa kaedah ini banyak diguna pakai dalam pelbagai bab di dalam ilmu Fiqh. Ini kerana didatangkan syariat bertujuan untuk menghindarkan sesuatu daripada berlakunya kemudharatan. (Lihat al-Ashbah wa al-Nazair, 1/84)
Dalam isu ini, Imam Syamsuddin al-Khatib al-Syarbini al-Syafi‘i berkata dalam Mughni al-Muhtaj (2/169): “Dan wajib berbuka (tidak berpuasa) jika dibimbangi akan binasa (nyawa), sebagaimana yang dinyatakan secara jelas oleh al-Ghazali dan selainnya, dan ditegaskan oleh al-Azra‘i.”
Begitu juga Imam ‘Ala’uddin al-Mardawi al-Hanbali berkata dalam al-Insaf (3/285): “Sekiranya seseorang yang sakit itu bimbang akan bertambahnya penyakitnya, atau penyakitnya akan berpanjangan, atau dia asalnya sihat lalu jatuh sakit pada siang harinya, atau dia bimbang akan jatuh sakit kerana kehausan atau sebab yang lain, maka disunatkan baginya untuk berbuka (tidak berpuasa), dan makruh baginya untuk meneruskan puasanya — secara ijma‘ (kesepakatan ulama).”
Dalam kenyataan Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dalam fatwanya berkaitan isu ini menyatakan: “pesakit yang telah dinasihati oleh doktor yang dipercayai dan pakar agar tidak berpuasa pada bulan Ramadhan kerana dibimbangi boleh membawa kepada kebinasaan atau komplikasi penyakit, maka wajib ke atasnya untuk berbuka (tidak berpuasa). Jika dia tetap berpuasa, maka dia berdosa dan dianggap telah melakukan perlanggaran syariat serta mencampakkan dirinya ke dalam kebinasaan. Dia juga wajib menggantikan (qadha’) puasa itu setelah sembuh sepenuhnya dan kesihatannya stabil. Namun, jika penyakitnya berterusan, maka dia wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan. Jika dia tidak mampu, maka tiada kewajipan lain ke atasnya.”
Sebagai kesimpulannya, seseorang yang menghidap penyakit dan dinasihati oleh doktor pakar yang dipercayai agar tidak berpuasa kerana dikhuatiri akan mendatangkan kemudaratan, wajib baginya untuk tidak berpuasa pada bulan Ramadhan. Tindakan untuk tetap berpuasa dalam keadaan sedemikian adalah dilarang dan berdosa kerana bertentangan dengan prinsip syariah yang menekankan pemeliharaan nyawa dan menghindari kebinasaan. Islam adalah agama yang meraikan kemudahan dan tidak membebankan seseorang melebihi kemampuannya. Oleh itu, kewajipan puasa hendaklah digantikan selepas sembuh, dan sekiranya penyakit itu berterusan, maka fidyah menjadi pilihan sebagai ganti puasa yang ditinggalkan.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”
Wallahua’lam