Soalan
Assalamualaikum Dato’ Seri. Ayah saya telah meninggal dunia tahun ini disebabkan sakit yang berpanjangan, dan beliau tidak sempat menghabiskan puasa yang tertinggal pada Ramadan yang lalu. Maka, adakah salah seorang anaknya perlu berpuasa menggantikan bagi pihaknya? Atau tidak perlu berbuat demikian?
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.
Firman Allah SWT:
وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
Maksudnya: Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir, maka (hendaklah dia menggantikan puasanya) pada hari-hari yang lain.
(Surah al-Baqarah: 185)
Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang meninggal dunia dan masih mempunyai tanggungan puasa, maka walinya (ahli keluarganya) hendaklah berpuasa bagi pihaknya.”
Riwayat al-Bukhari (1952), Muslim (1147)
Hadith ini ditafsirkan sebagai berkaitan dengan orang yang mempunyai tanggungan puasa kerana sebab yang dibenarkan, seperti haid, nifas, sakit atau musafir, dan sempat untuk menggantikannya, namun tidak sempat menunaikannya hingga wafat. Dalam kes ini, digalakkan kepada wali atau waris untuk berpuasa bagi pihaknya. Jika tidak mampu, maka mereka boleh membayar fidyah sebagai gantinya – memberi makan kepada seorang miskin bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan.
Syeikh Muhammad Syams al-Haq al-‘Adzim Abadi menyatakan: “Para ulama telah bersepakat bahawa jika seseorang berbuka (tidak berpuasa) kerana sakit atau musafir, kemudian dia tidak sempat menggantikan (puasa itu) dan meninggal dunia sebelum sempat menggantinya tanpa cuai atau menangguh-nangguhkannya, maka tiada apa-apa yang wajib ke atasnya, dan tidak wajib juga memberi makan bagi pihaknya. Namun Qatadah berpendapat bahawa perlu diberi makan bagi pihaknya, dan pandangan ini juga diriwayatkan daripada Tawus. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 7/26)
Imam al-Nawawi menyatakan: “Bab cabang berkaitan mazhab-mazhab ulama mengenai orang yang meninggal dunia sedangkan dia mempunyai puasa yang ditinggalkan kerana sakit, atau musafir, atau uzur-uzur lain, dan dia tidak sempat menggantikannya (qada’) hingga dia meninggal dunia: Kami telah sebutkan bahawa menurut mazhab kami, tiada apa-apa kewajipan ke atasnya — tidak perlu puasa bagi pihaknya, dan tidak juga perlu memberi makan (fidyah) bagi pihaknya — dan ini tanpa khilaf di sisi mazhab kami.
Inilah juga pendapat Abu Hanifah, Malik dan jumhur (majoriti) ulama. Al-‘Abdari berkata: Ini merupakan pendapat seluruh ulama kecuali Tawus dan Qatadah; mereka berdua berpendapat bahawa wajib diberi makan bagi pihaknya — seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan. Kemudian disebut sebab pandangan itu, dan ia telah dibatalkan (dipatahkan hujahnya).
Beliau berkata: Al-Baihaqi dan selainnya daripada kalangan sahabat kami berdalil untuk mazhab kami dengan hadith Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda: “Apabila aku perintahkan kamu dengan suatu perkara, maka lakukanlah ia sekadar yang kamu mampu.” Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/343)
Dalam menjawab persoalan di atas, jika seseorang meninggal dunia dalam keadaan dia masih mempunyai tanggungan puasa dari bulan Ramadan disebabkan penyakit, maka terdapat beberapa perincian yang perlu diperhatikan:
- Pertama: Jika dia menghidap penyakit yang tiada harapan sembuh:
Dalam hal ini, maka tidak wajib ke atasnya untuk berpuasa. Sebagai ganti, dia perlu membayar fidyah – iaitu memberi makan kepada seorang miskin bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan. Jika dia belum sempat membayar fidyah itu semasa hayatnya, maka warisnya boleh menunaikannya bagi pihaknya.
Kedua: Jika penyakitnya ada harapan sembuh:
Dalam hal ini, maka dia wajib menggantikan puasa (qadha’) selepas Ramadan apabila dia telah sembuh dan berkemampuan. Jika dia tidak sempat mengqadha’ disebabkan penyakitnya berterusan hingga meninggal dunia, maka tidak ada bebanan ke atasnya – tidak perlu qadha dan tidak perlu fidyah. Waris juga tidak perlu berpuasa atau membayar apa-apa. Namun, jika dia sempat sembuh dan mempunyai waktu mencukupi untuk menggantikan puasa tetapi tidak melakukannya tanpa uzur, maka warisnya digalakkan untuk menggantikan puasa tersebut sebagaimana yang disebutkan dalam hadith Nabi SAW di atas.
Pihak al-Lajnah al-Da’imah pernah ditanya; “Ibu saya sakit pada bulan Ramadan tahun lalu dan tidak mampu berpuasa selama lapan hari daripadanya. Beliau meninggal dunia tiga bulan selepas Ramadan. Adakah saya perlu berpuasa menggantikan lapan hari itu bagi pihaknya? Dan adakah boleh saya menangguhkannya sehingga selepas Ramadan tahun ini atau bersedekah bagi pihaknya?”
Maka mereka menjawab: “Jika ibu anda telah sembuh selepas bulan Ramadan yang beliau berbuka (tidak berpuasa) selama lapan hari itu, dan sebelum wafatnya terdapat masa yang mencukupi untuk beliau menggantikan puasa tersebut, namun beliau tidak sempat mengqada’, maka disunatkan bagi anda atau mana-mana ahli keluarganya untuk berpuasa menggantikan lapan hari tersebut. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW: ‘Sesiapa yang meninggal dunia dan masih berhutang puasa, maka walinya hendaklah berpuasa bagi pihaknya.’ (Hadith Muttafaq ‘Alaih).
Dan dibolehkan untuk menangguhkan qada’ tersebut, namun yang lebih utama ialah menyegerakannya jika mampu. Namun jika penyakit itu berterusan bersamanya sehingga beliau meninggal dunia, dan beliau tidak mampu untuk menggantikannya, maka tidak perlu berpuasa bagi pihaknya, kerana beliau tidak mempunyai keupayaan untuk mengqada’. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.” (Surah al-Baqarah: 286) Dan juga firman-Nya: “Bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu.”(Surah at-Taghabun: 16). (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 10/372)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa orang yang meninggal dunia dan mempunyai baki puasa yang belum diganti, hukumnya bergantung kepada keadaannya sebelum mati. Jika dia meninggal dunia dalam keadaan masih sakit dan tidak berpeluang untuk menggantikan puasanya, maka tidak ada sebarang kewajipan ke atasnya dan juga tidak perlu dilakukan fidyah oleh waris. Walaupun begitu, kami lebih tenang dengan pendapat diqadha’ oleh kaum kerabatnya atau dibayar fidyah.
Namun, jika dia telah sembuh dan berpeluang untuk menggantikan puasa tetapi menangguhkannya sehingga wafat, maka disunatkan kepada waris untuk berpuasa bagi pihaknya, dan jika tidak dilakukan, maka fidyah berupa memberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan hendaklah dibayar. Adapun jika dia sakit dengan penyakit yang tidak ada harapan sembuh dan tidak mampu berpuasa, maka dia wajib membayar fidyah, dan jika tidak sempat dilakukan ketika hayatnya, waris hendaklah membayarnya bagi pihaknya.
Akhirnya, semoga Allah SWT merahmati orang-orang yang telah mendahului kita, menerima amal ibadah mereka dan mempermudahkan urusan ahli keluarga mereka dalam menyempurnakan segala kewajipan yang tertangguh.
Wallahua‘lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ لَكَ صُمْنَا، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْنَا، فَتَقَبَّلْ مِنَّا، إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami kerana Engkau kami berpuasa dan dengan rezeki Engkau kami berbuka maka terimalah daripada kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui ”.
ذَهَبَ الظَّمَأُ، وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ، وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
Maksudnya: “Telah hilang dahaga, telah basah urat-urat dan telah ditetapkam pahala insyaAllah”.