Soalan
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin penjelasan bagi hadith “مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ” (Sesiapa yang meninggal dunia sedangkan dia masih mempunyai tanggungan puasa, maka walinya hendaklah berpuasa bagi pihaknya).
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.
Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang meninggal dunia dan masih mempunyai tanggungan puasa, maka walinya (ahli keluarganya) hendaklah berpuasa bagi pihaknya.”
Riwayat al-Bukhari (1952), Muslim (1147)
Hadith ini ditafsirkan sebagai berkaitan dengan orang yang mempunyai tanggungan puasa kerana sebab yang dibenarkan, seperti haid, nifas, sakit atau musafir, dan sempat untuk menggantikannya, namun tidak sempat menunaikannya hingga wafat. Dalam kes ini, digalakkan kepada wali atau waris untuk berpuasa bagi pihaknya. Jika tidak mampu, maka mereka boleh membayar fidyah sebagai gantinya – memberi makan kepada seorang miskin bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan.
Pendapat Ulama tentang Hukum Qadha’ Puasa bagi Orang yang Meninggal Dunia
Para ulama telah membincangkan secara terperinci isu berkaitan puasa yang ditinggalkan oleh seseorang kerana sakit lalu dia meninggal dunia sebelum sempat mengqadha’nya.
Syeikh Muhammad Syams al-Haq al-‘Adzim Abadi menyatakan: “Para ulama telah bersepakat bahawa jika seseorang berbuka (tidak berpuasa) kerana sakit atau musafir, kemudian dia tidak sempat menggantikan (puasa itu) dan meninggal dunia sebelum sempat menggantinya tanpa cuai atau menangguh-nangguhkannya, maka tiada apa-apa yang wajib ke atasnya, dan tidak wajib juga memberi makan bagi pihaknya. Namun Qatadah berpendapat bahawa perlu diberi makan bagi pihaknya, dan pandangan ini juga diriwayatkan daripada Tawus. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 7/26)
Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin dalam Majmu‘ Fatawa-nya menjelaskan: “Sesiapa yang tidak berpuasa pada bulan Ramadan kerana sakit, kemudian meninggal dunia sebelum sempat menggantikan puasanya, maka tiada kekeliruan dalam perkara ini, alhamdulillah — baik dari sudut nas-nas dan atsar, mahupun dari sudut pandangan para ulama.
Adapun dari sudut nas (al-Quran), Allah Ta‘ala berfirman:
وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
Maksudnya: “Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir, maka hendaklah dia menggantikan (puasa) pada hari-hari yang lain.”
(Surah al-Baqarah: 184)
Maka Allah Ta‘ala menjadikan kewajipan ke atasnya adalah menggantikan puasa pada hari-hari yang lain. Sekiranya dia meninggal dunia sebelum sempat menggantikannya, maka dia telah meninggal sebelum masuknya waktu kewajipan itu. Ia seumpama orang yang meninggal dunia sebelum masuk bulan Ramadan, maka tidak diwajibkan ke atasnya fidyah bagi Ramadan yang akan datang, sekalipun dia meninggal tidak lama sebelum Ramadan tiba.
Selain itu, pesakit yang berada dalam keadaannya itu — selagi mana dia masih dalam tempoh sakit — tidak diwajibkan ke atasnya untuk berpuasa. Maka jika dia meninggal dunia sebelum sempat sembuh, dia telah meninggal dalam keadaan belum wajib ke atasnya untuk berpuasa. Oleh itu, tidak wajib juga menggantikan puasanya dengan fidyah, kerana fidyah adalah ganti kepada puasa. Maka jika tidak diwajibkan puasa, tidak diwajibkan juga gantinya.
Inilah penjelasan berdasarkan dalil al-Quran bahawa jika seseorang itu tidak berkemampuan untuk berpuasa (kerana sakit berterusan), maka tiada kewajipan ke atasnya.
Adapun daripada sunnah pula, Nabi SAW bersabda:
مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامٌ صَامَ عَنْهُ وَلِيُّهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang meninggal dunia dan masih ada puasa (yang belum ditunaikan), maka walinya boleh berpuasa bagi pihaknya.”
Riwayat al-Bukhari (1952) Muslim (1147)
Maka maksud zahir hadith ini jelas, dan mafhumnya pula ialah: sesiapa yang meninggal dunia dan tidak ada puasa yang wajib ke atasnya, maka tidak perlu sesiapa berpuasa bagi pihaknya. Dan seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, orang yang sakit berterusan tidak diwajibkan berpuasa sama ada secara tunai mahupun qada’, selama mana sakitnya belum sembuh.” (Lihat Majmu‘ Fatawa, Jilid 19/Kitab Puasa – Bab perkara yang makruh dan sunat serta hukum qadha’)
Ibn Qudamah dalam al-Mughni (3/241) menegaskan bahawa: “Sesiapa yang meninggal dunia dan masih ada kewajipan puasa dari bulan Ramadan, maka tidak lari daripada dua keadaan:
- Keadaan pertama: Dia meninggal sebelum ada peluang untuk berpuasa, sama ada disebabkan waktu yang sempit, atau kerana uzur seperti sakit, musafir, atau ketidakmampuan untuk berpuasa. Maka tiada apa-apa (kewajipan) ke atasnya menurut pandangan kebanyakan ulama. Namun ada riwayat daripada Tawus dan Qatadah yang mengatakan wajib diberi makan (fidyah) bagi pihaknya, kemudian beliau (penulis) menyebutkan sebab pandangan itu dan membatalkannya.
- Keadaan kedua: Dia meninggal dunia setelah mempunyai peluang untuk menggantikan puasa tersebut (qada’), maka wajib diberi makan bagi pihaknya — satu orang miskin untuk setiap hari yang ditinggalkan. Ini merupakan pandangan majoriti ulama. Ia juga dinukil daripada ‘A’isyah dan Ibn ‘Abbas R.Anhuma.
Kemudian beliau berkata: Abu Thaur pula berpendapat bahawa si mati perlu digantikan puasanya (dengan berpuasa), dan inilah juga pendapat Imam al-Syafi‘i. Beliau menyandarkan hujahnya dengan hadith ‘A’isyah R.Anha yang telah kami sebutkan sebelum ini.” (Lihat al-Mughni, 3/241 & 341)
Imam al-Nawawi menyatakan: “Bab cabang berkaitan mazhab-mazhab ulama mengenai orang yang meninggal dunia sedangkan dia mempunyai puasa yang ditinggalkan kerana sakit, atau musafir, atau uzur-uzur lain, dan dia tidak sempat menggantikannya (qada’) hingga dia meninggal dunia: Kami telah sebutkan bahawa menurut mazhab kami, tiada apa-apa kewajipan ke atasnya — tidak perlu puasa bagi pihaknya, dan tidak juga perlu memberi makan (fidyah) bagi pihaknya — dan ini tanpa khilaf di sisi mazhab kami.
Inilah juga pendapat Abu Hanifah, Malik dan jumhur (majoriti) ulama. Al-‘Abdari berkata: Ini merupakan pendapat seluruh ulama kecuali Tawus dan Qatadah; mereka berdua berpendapat bahawa wajib diberi makan bagi pihaknya — seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan. Kemudian disebut sebab pandangan itu, dan ia telah dibatalkan (dipatahkan hujahnya).
Beliau berkata: Al-Baihaqi dan selainnya daripada kalangan sahabat kami berdalil untuk mazhab kami dengan hadith Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda: “Apabila aku perintahkan kamu dengan suatu perkara, maka lakukanlah ia sekadar yang kamu mampu.” Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/343)
Ibn Muflih dalam al-Furu’ berkata: “Jika seseorang menangguhkan qada’ (puasa) lalu dia meninggal dunia: maka jika penangguhan itu kerana uzur, maka tiada apa-apa kewajipan ke atasnya. Ini dinyatakan secara jelas (oleh Imam Ahmad), dan ia juga merupakan pendapat tiga imam mazhab yang lain; kerana tiada dalil (yang mewajibkan).”
Dengan ini jelas bahawa tidak ada kekeliruan dalam isu ini, dan bahawa puasa tidak perlu digantikan (oleh waris) bagi seseorang yang keuzurannya berterusan sehingga dia meninggal dunia. Begitu juga, tidak perlu diberi makan bagi pihaknya, kecuali jika dia menghidap penyakit yang tidak ada harapan untuk sembuh. Dalam hal ini, kedudukannya sama seperti orang tua yang tidak mampu berpuasa, maka wajib diberikan makan bagi pihaknya; kerana dia telah diwajibkan memberi makan (fidyah) ketika hayatnya sebagai ganti kepada puasa. Tiada keraguan dalam hati terhadap apa yang telah dinyatakan oleh para ulama dalam hal ini. Dan apa yang telah kami nyatakan ini hampir-hampir menjadi ijma‘ (kesepakatan ulama), melainkan riwayat yang dinukilkan daripada Tawus dan Qatadah. (Lihat al-Furu’, 3/39)
Pihak al-Lajnah al-Da’imah pernah ditanya; “Ibu saya sakit pada bulan Ramadan tahun lalu dan tidak mampu berpuasa selama lapan hari daripadanya. Beliau meninggal dunia tiga bulan selepas Ramadan. Adakah saya perlu berpuasa menggantikan lapan hari itu bagi pihaknya? Dan adakah boleh saya menangguhkannya sehingga selepas Ramadan tahun ini atau bersedekah bagi pihaknya?”
Maka mereka menjawab: “Jika ibu anda telah sembuh selepas bulan Ramadan yang beliau berbuka (tidak berpuasa) selama lapan hari itu, dan sebelum wafatnya terdapat masa yang mencukupi untuk beliau menggantikan puasa tersebut, namun beliau tidak sempat mengqada’, maka disunatkan bagi anda atau mana-mana ahli keluarganya untuk berpuasa menggantikan lapan hari tersebut. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW: ‘Sesiapa yang meninggal dunia dan masih berhutang puasa, maka walinya hendaklah berpuasa bagi pihaknya.’ (Hadith Muttafaq ‘Alaih).
Dan dibolehkan untuk menangguhkan qada’ tersebut, namun yang lebih utama ialah menyegerakannya jika mampu. Namun jika penyakit itu berterusan bersamanya sehingga beliau meninggal dunia, dan beliau tidak mampu untuk menggantikannya, maka tidak perlu berpuasa bagi pihaknya, kerana beliau tidak mempunyai keupayaan untuk mengqada’. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.” (Surah al-Baqarah: 286) Dan juga firman-Nya: “Bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu.”(Surah at-Taghabun: 16). (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 10/372)
Kesimpulan
Berdasarkan hadith dan huraian para ulama, kami katakan bahawa hukum menggantikan puasa bagi si mati yang tidak sempat mengqada’ puasanya bergantung kepada keadaannya sebelum meninggal dunia. Sekiranya seseorang itu tidak mampu berpuasa pada bulan Ramadan kerana sakit yang berpanjangan dan tidak sempat sembuh sehingga dia meninggal dunia, maka tiada kewajipan ke atasnya, dan tidak perlu digantikan puasanya oleh ahli keluarganya. Hal ini kerana kewajipan puasa tidak sempat ditetapkan ke atasnya, dan prinsip dalam syariah ialah: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.” (Surah al-Baqarah: 286)
Namun, jika seseorang itu telah sembuh selepas Ramadan dan sempat mempunyai masa untuk menggantikan puasanya, tetapi dia meninggal dunia sebelum sempat mengqada’nya, maka ketika ini disunatkan bagi waris (wali) untuk berpuasa bagi pihaknya, berdasarkan hadith: “Sesiapa yang meninggal dunia dan masih mempunyai tanggungan puasa, maka walinya hendaklah berpuasa bagi pihaknya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Sekiranya waris tidak dapat berpuasa bagi pihaknya, maka hendaklah dia memberi makan kepada seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkan dan ia merupakan pilihan yang dibenarkan.
Akhirnya, semoga Allah memberikan kefahaman yang benar dalam agama ini kepada kita semua dan menerima ibadah kita serta memberi keampunan kepada mereka yang telah mendahului kita. Wallahu a‘lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”