Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, telah muncul dalam kalangan kita orang yang mendakwa bahawa mencuri elektrik dan gas asli daripada pihak kerajaan adalah halal. Adakah dakwaan ini selari dengan hukum syarak yang mulia? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Lelaki dan perempuan yang mencuri, potonglah kedua-dua tangannya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Maidah :38)

Pencuri lelaki dan pencuri perempuan, potonglah tangan mereka – wahai penguasa yang berkuasa- berdasarkan syariah. Ini adalah hukuman bagi mereka yang mengambil harta orang lain tanpa hak sebagai pembalasan dan juga sebagai peringatan agar orang lain tidak melakukan perbuatan yang serupa. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa dalam kerajaan-Nya dan Maha Bijaksana dalam urusan-Nya.(Lihat Tafsir Muyassar,1/114)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, telah ditetapkan secara syarak bahawa melindungi dan memelihara harta adalah salah satu daripada maqasid syariah (tujuan utama syariat Islam) yang datang untuk menjaganya; oleh itu, Islam mengharamkan pencerobohan terhadap harta orang lain dan menghalalkannya tanpa hak. Maka Allah SWT berfirman:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰ⁠لَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ إِلَّاۤ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضࣲ مِّنكُمۡۚ وَلَا تَقۡتُلُوۤا۟ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِیمࣰا

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, janganlah kalian memakan harta orang lain dalam kalangan kalian dengan cara yang batil, melainkan dengan jual beli yang diredhai sesama kalian. Dan janganlah kalian membunuh diri kalian sendiri. Sesungguhnya Allah amat mengasihi kalian.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Imam Abu Muhammad al-Baghawi menafsirkan ayat di atas seraya berkata: “[Wahai orang yang beriman janganlah kalian makan harta orang lain dalam kalangan kalian dengan cara yang batil] iaitu dengan cara yang haram, seperti riba, perjudian, merampas hak milik orang lain, mencuri, berlaku khianat dan yang semisal dengannya. Dan dikatakan juga ia adalah segala akad transaksi yang batil [melainkan dengan perniagaan] Ahli Kufah membaca kalimat “تِجَارَةً” secara mansub atas faktor kalimat tersebut adalah khabar; maka maknanya menjadi “melainkan harta tersebut adalah berstatus harta hasil perniagaan sesama kalian,” manakala perawi lain membaca dengan baris hadapan (تِجَارَةٌ); dengan makna: “melainkan ada urusniaga jual-beli,” [yang diredhai sesama kalian] iaitu dengan kerelaan hati setiap seorang dalam kalangan kalian.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 2/199)

Begitu juga dengan hadith Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ عَلَيْكُمْ حَرَامٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya darah kalian, harta kalian, dan maruah kalian adalah haram untuk dicerobohi sesama kalian.”

Riwayat al-Bukhari (67) dan Muslim (1679)

Imam al-Nawawi mensyarahkan hadith di atas menegaskan bahawa: “Lafaz hadith di atas menegaskan dengan begitu jelas bahkan amat keras tentang haramnya harta, maruah dan nyawa untuk dicerobohi dan digugat oleh sesiapa pun.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 11/169)

Jika pencerobohan terhadap harta persendirian yang dimiliki oleh individu adalah haram, maka pengharamannya menjadi lebih berat jika melibatkan pencerobohan terhadap harta awam yang dimiliki oleh seluruh masyarakat, kerana bahayanya lebih besar. Ini kerana harta tersebut terikat dengan tanggungjawab semua orang ramai, dan tiada seorang pun yang ditugaskan secara khusus untuk menuntutnya seperti harta persendirian. Ia juga membawa kepada pengabaian hak orang awam secara umum.

Harta awam yang dimaksudkan ialah: Segala yang dimiliki oleh negara atau badan-badan berkanun awam sama ada dalam bentuk hartanah atau alih, atau seumpamanya seperti gas dan elektrik, yang diperuntukkan untuk kegunaan umum secara langsung.

Harta-harta ini dinamakan dalam syariat sebagai ‘harta Allah’ kerana ia tidak dikhususkan kepada mana-mana individu tertentu, sebaliknya ia merupakan hak umum yang diurus oleh pemerintah (wali al-amr) mengikut apa yang membawa kemaslahatan kepada masyarakat.

Yang demikian sebagaimana yang diriwayatkan daripada Khaulah al-Ansariyyah RA bahawa beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ رِجَالًا يَتَخَوَّضُونَ فِي مَالِ اللهِ بِغَيْرِ حَقٍّ، فَلَهُمُ النَّارُ يَوْمَ القِيَامَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya ada beberapa lelaki yang terlibat dalam menguruskan harta Allah tanpa hak, maka bagi mereka adalah neraka pada Hari Kiamat.”

Riwayat al-Bukhari (3118)

Imam al-Hafiz Ibn Hajar berkata dalam Fath al-Bari (6/219) iaitu: mereka yang menguruskan harta umat Islam dengan cara yang batil. Oleh yang demikian,  setiap individu wajib berusaha untuk memastikan yang halal dalam makanan, minuman, pakaian, dan segala urusannya, serta menyedari bahawa perkara yang haram akan membawa seseorang ke dalam neraka.

Dalam isu ini Dar al-Ifta al-Misriyyah menyatakan bahawa: “Sesungguhnya mencuri elektrik dan gas asli adalah haram menurut syarak, kerana perbuatan tersebut merupakan satu bentuk pencerobohan terhadap harta awam yang menjadi tanggungjawab negara untuk menjaganya. Ia juga merupakan satu bentuk pelanggaran terhadap sistem, ingkar kepada pemerintah, pengkhianatan terhadap amanah, memakan rezeki daripada sumber yang haram, serta mendatangkan mudarat kepada kepentingan awam yang mana Islam sangat menitikberatkan penjagaannya.”

Kesimpulannya, perbuatan mencuri elektrik dan gas asli adalah satu bentuk pengkhianatan dan pencerobohan terhadap harta awam yang jelas dilarang dalam Islam. Ia termasuk dalam kategori memakan harta orang ramai dengan cara yang batil, yang bukan sahaja melanggar etika sosial dan undang-undang negara, malah melanggar prinsip-prinsip syariat yang menekankan keadilan, pemeliharaan harta, dan kesejahteraan masyarakat. Perbuatan merupakan perbuatan dosa, yang membawa kesan buruk terhadap kemaslahatan umum dan boleh menjejaskan kestabilan sistem yang diamanahkan oleh negara. Maka setiap individu bertanggungjawab untuk menjauhi perbuatan ini dan menjaga integriti dalam muamalah harian.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahua’lam