Soalan:

Assalamulaikum Dato’ Seri. Adakah terdapat hadith yang menyatakan bahawa sempadan akhir wilayah Islam adalah di Khaibar? Hal ini kerana saya dapati terdapat juga hadith yang menyatakan bahawa iman itu akan kembali ke Madinah seolah-olah Islam itu akan kembali mengecil, hal ini akan melemahkan para pendakwah yang berusaha untuk mengembangkan Islam.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Kami tidak menemui hadith sahih yang menyatakan bahawa “sempadan akhir wilayah Islam adalah di Khaibar”. Ini mungkin merupakan kekeliruan atau tafsiran sejarah yang tidak bersumberkan dalil sahih. Maka tidak boleh dijadikan hujah agama tanpa bukti yang jelas.

Dalam menjawab persoalan ini juga, kami katakan bahawa gama Islam bukan akan mengecil atau terbatas, sebaliknya akan berkembang ke seluruh pelusuk dunia. Ini dijelaskan dalam sebagaimana firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَكَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا

Maksudnya: “Dialah (Allah) yang mengutus Rasul-Nya dengan petunjuk dan agama yang benar, untuk mengatasi segala agama yang lain. Cukuplah Allah sebagai saksi.”

(Surah al-Fath: 28)

Syeikh al-Sa’di menyatakan: Allah SWT mengkhabarkan suatu hukum yang umum, lalu Dia berfirman:  yakni, Allah-lah yang mengutuskan Rasul-Nya dengan petunjuk, iaitu ilmu yang bermanfaat, yang memberi hidayah daripada kesesatan, serta menjelaskan jalan-jalan kebaikan dan kejahatan, yakni agama yang bersifat benar, iaitu yang dipenuhi dengan keadilan, kebaikan dan rahmat. Ia merangkumi setiap amal soleh yang menyucikan hati, membersihkan jiwa, membentuk akhlak yang baik, dan mengangkat darjat manusia agar Allah menzahirkan agama ini ke atas seluruh agama lain, sama ada dengan hujah dan dalil yang jelas, ataupun melalui kekuatan pedang dan jihad yang membawa ketundukan kepada agama Allah. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 795)

Begitu juga dengan riwayat daripada Tamim al-Dari RA, Nabi SAW bersabda:

لَيَبْلُغَنَّ هَذَا الْأَمْرُ مَا بَلَغَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ، وَلَا يَتْرُكُ اللهُ بَيْتَ مَدَرٍ وَلَا وَبَرٍ إِلَّا أَدْخَلَهُ اللهُ هَذَا الدِّينَ، بِعِزِّ عَزِيزٍ أَوْ بِذُلِّ ذَلِيلٍ، عِزًّا يُعِزُّ اللَّهُ بِهِ الْإِسْلَامَ، وَذُلًّا يُذِلُّ اللَّهُ بِهِ الْكُفْرَ

Maksudnya: “Sesungguhnya urusan agama ini pasti akan sampai ke tempat yang dicapai oleh malam dan siang. Allah tidak akan biarkan satu pun rumah — sama ada daripada batu bata atau khemah — melainkan Allah akan masukkan agama ini ke dalamnya, sama ada dengan kemuliaan orang yang mulia atau kehinaan orang yang hina. Kemuliaan yang Allah muliakan dengan Islam, dan kehinaan yang Allah hinakan dengannya kekufuran.”

Riwayat Ahmad (16957), dinilai sahih menurut Sahih al-Jami‘ (16810)

Seorang Muslim dituntut untuk berdakwah dan menyampaikan Islam kepada manusia. Namun, dia tidak dipertanggungjawabkan atas hidayah orang lain. Allah SWT berfirman:

لَيْسَ عَلَيْكَ هُدَاهُمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ

Maksudnya: “Bukanlah menjadi tanggungjawabmu untuk memberi petunjuk kepada mereka. Tetapi Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki.”

(Surah al-Baqarah: 272)

Syeikh al-Sa’di menyatakan: Allah SWT berfirman kepada Nabi-Nya SAW: Bukanlah menjadi tanggungjawabmu memberi hidayah kepada seluruh makhluk, sesungguhnya tugasmu hanyalah menyampaikan risalah dengan jelas. Adapun hidayah itu berada di tangan Allah SWT. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 116)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa tidak terdapat sebarang hadith sahih yang menetapkan bahawa sempadan akhir wilayah Islam adalah di Khaibar. Bahkan, ajaran Islam tidak pernah mengehadkan penyebarannya dalam sempadan geografi tertentu, sebaliknya ia adalah agama yang bersifat global dan rahmat untuk seluruh alam.

Islam akan terus tersebar ke seluruh pelusuk dunia, sebagaimana yang dijanjikan dalam al-Quran dan hadith-hadith sahih bahawa agama ini akan sampai ke setiap rumah — sama ada rumah yang dibina dengan batu atau khemah daripada bulu binatang. Maka, dakwah Islam bukanlah menuju kepada kemerosotan, tetapi kepada pengembangan dan kejayaan, dengan izin Allah. Justeru, dalam hal ini, seorang Muslim tidak perlu merasa kecewa atau takut dalam berdakwah, bahkan perlu terus menyampaikan dakwah dengan yakin dan penuh harapan kepada Allah SWT.

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kekuatan dan semangat kepada para pendakwah untuk terus menyampaikan risalah Islam dengan yakin dan ikhlas, serta dikurniakan ganjaran besar atas usaha mereka. Amin.

 Wallahu A’lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”