Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum membasuh kaki ketika berwuduk bagi pesakit kencing manis? Seseorang menghidap penyakit kencing manis dan mengalami keradangan berterusan pada kedua-dua belah kaki, khususnya di celah-celah jari. Doktor telah menetapkan beberapa jenis ubat sapuan dan menasihatinya agar tidak membasuh kakinya dengan air lebih daripada sekali sehari, itu pun hanya jika perlu. Maka, apakah yang perlu dilakukannya ketika berwuduk? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Hukum Membasuh Kaki dalam Wuduk
Allah SWT telah menetapkan bahawa bersuci daripada hadas dan najis adalah syarat sah untuk memulakan solat. Termasuk dalam perkara ini ialah bersuci melalui wuduk daripada hadas kecil, sebagaimana sabda Nabi SAW dalam hadith yang mulia:
لَا تُقْبَلُ صَلَاةُ مَنْ أَحْدَثَ حَتَّى يَتَوَضَّأَ
Maksudnya: “Solat seseorang yang berhadas tidak akan diterima sehingga dia berwuduk.”
Riwayat al-Bukhari (135)
Selain itu, termasuk dalam perkara yang sudah disepakati dalam syariat Islam bahawa membasuh kedua-dua kaki adalah antara rukun wajib dalam wuduk, yang mana solat tidak sah tanpanya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”
(Surah al-Ma’idah: 6)
Hal ini juga disokong oleh perbuatan Uthman bin ‘Affan R.A, di mana beliau meminta air wuduk lalu berwuduk (mengikut tertib dalam wuduk) sehinggalah kemudian beliau membasuh kaki kanannya hingga ke buku lali sebanyak tiga kali, diikuti dengan kaki kirinya seperti itu. Kemudian beliau berkata:
رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا ثم قال: مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا، ثُمَّ قَامَ فَرَكَعَ رَكْعَتَيْنِ لَا يُحَدِّثُ فِيهِمَا نَفْسَهُ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: “Aku telah melihat Rasulullah SAW berwuduk seperti wudukku ini. Lalu Baginda bersabda: ‘Sesiapa yang berwuduk seperti wudukku ini, kemudian berdiri untuk mendirikan solat dua rakaat tanpa membisikkan sesuatu pun kepada dirinya (dalam hatinya ketika solat), melainkan Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu.’”
Riwayat al-Bukhari (1934) dan Muslim (226)
Kewajipan membasuh kaki dalam wuduk merupakan pendapat majoriti ulama, sebagaimana yang disebut oleh Imam Muwaffaq al-Din Ibn Qudamah dalam al-Mughni (1/98). Bahkan, Imam al-Nawawi telah menyatakan bahawa perkara ini adalah ijma‘ seperti yang dinyatakannya dalam al-Majmu‘ (1/417).
Hukum Membasuh Kaki dalam Wuduk bagi Pesakit Kencing Manis
Seterusnya dalam menjawab persoalan di atas, sebagaimana syariat Islam menetapkan kewajipan dan mewajibkannya ke atas mukallaf, begitu juga ia tidak sunyi daripada unsur rahmat, kemudahan dan mengangkat kesusahan. Syariat Islam mengambil kira keperluan golongan mukallaf serta kesulitan atau kesukaran yang mungkin mereka alami dalam melaksanakan sebahagian tanggungjawab syarak disebabkan ketentuan takdir, penyakit, atau kesakitan yang menimpa mereka. Firman Allah SWT:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksudnya: “Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu.”
(Surah al-Baqarah: 185)
Ini juga telah ditetapkan dalam kaedah fiqh utama yang menyebut, “الْمَشَقَّةَ تَجْلِبُ التَّيْسِيرَ” (Kesukaran itu mendatangkan kemudahan pada hukum) seperti yang disebut dalam al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti (hlm. 76).
Maka, sesiapa yang mengalami kesukaran berat yang menghalangnya daripada membasuh mana-mana anggota wuduk, maka dia tidak diwajibkan secara syarak untuk membasuh anggota tersebut. Sebaliknya, dia berpindah kepada kaedah gantian yang sesuai dengan keadaannya. Ini kerana mewajibkannya membasuh boleh membawa kepada mudarat, dan dalam syariat Islam telah ditetapkan bahawa “الضرر يزال” (Kemudaratan mestilah dihilangkan) (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 83).
Selain itu, mewajibkan individu melaksanakan hukum asal wuduk dalam keadaan terdapat mudarat adalah seolah-olah memusnahkan anggota tubuh atau membinasakan diri sendiri, sedangkan perkara ini dilarang oleh Allah SWT dalam firman-Nya:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”
(Surah al-Baqarah: 195)
Oleh itu, para fuqaha telah menetapkan bahawa jika seseorang mengalami rekahan pada kakinya dalam keadaan yang boleh memudaratkannya apabila terkena air pada kulit bahagian yang terjejas – maka gugurlah kewajipan membasuh bahagian kaki yang berpenyakit atau tercedera itu sekadar untuk mengelakkan kemudaratan. Sebaliknya, dia diwajibkan menyapu (mengusap) bahagian tersebut sebagai ganti kepada basuhan, sekiranya dia mampu melakukannya – walaupun dengan menyapu di atas penghalang (seperti pembalut) yang memisahkan tempat yang terjejas daripada air. Dalam hal ini, dia tidak perlu bertayammum bersama sapuan tersebut. Inilah pendapat majoriti fuqaha’ daripada kalangan mazhab Hanafiyah, Malikiyah dan Hanabilah.
Imam al-Syurunbulali al-Hanafi menyebut dalam Maraqi al-Falah (hlm. 63) bahawa (Jika membasuh rekahan di kakinya memudaratkannya, maka harus) iaitu sah (mengalirkan air di atas ubat yang diletakkan padanya) – maksudnya: pada rekahan tersebut kerana darurat – (dan tidak wajib mengulangi basuhan), walaupun kerana junub, (dan juga tidak wajib sapuan) dalam wuduk.
Imam Syihabuddin al-Nafrawi al-Maliki menyatakan dalam al-Fawakih al-Dawani (1/163) bahawa tempat yang luka atau yang pemiliknya berasa sakit apabila disentuh, walaupun tidak luka: Jika dia bimbang apabila dibasuh akan menyebabkan sakit atau menambahkan penyakit, atau melambatkan sembuh – seperti jenis kebimbangan yang membolehkan bertayammum – maka wajib disapu jika dikhuatiri membawa kepada kebinasaan atau kesakitan yang teruk. Dan sunat disapu jika dikhuatiri hanya sedikit mudarat. Jika dia tidak mampu menyapu secara langsung, maka disapu di atas pembalut, iaitu ubat yang diletakkan padanya. Jika tidak mampu juga, disapu di atas kain balutan walaupun kain itu melebar dan melebihi tempat asal yang terjejas, selama mana ia diperlukan. Tidak disyaratkan memakai balutan itu dalam keadaan taharah.
Imam Muwaffaq al-Din Ibn Qudamah al-Hanbali ada menyebutkan mengenai pandangan Imam Ahmad tentang isu ini: “Jika terdapat rekahan pada kakinya, ditanya kepada beliau: ‘Bilakah seseorang yang luka boleh menyapu pada lukanya?’ Beliau menjawab: ‘Jika dia bimbang kesakitan akan bertambah atau menjadi lebih teruk,’ seperti yang kita katakan tentang jari yang terluka, jika diletakkan mararah (sejenis bahan ubat) atau dibalut padanya, maka disapu di atasnya.” (Lihat al-Mughni, 1/205).
Manakala al-Buhuti al-Hanbali pula menyebutkan bahawa wajib menyapu seluruh balutan (jabīrah) pada tulang yang patah atau luka. Jika ikatan balutan melebihi kawasan yang diperlukan – iaitu tempat patah atau luka dan kawasan sekitarnya yang tidak mungkin dibalut kecuali dengan melebihkan sedikit – maka balutan tersebut hendaklah ditanggalkan. Jika dia bimbang (mudarat) kerana menanggalkannya, maka dia hendaklah bertayammum untuk bahagian yang melebihi keperluan kerana ia termasuk kawasan yang dikhuatiri memberi mudarat jika digunakan air, sama seperti luka. Begitu juga jika ada ubat (yang diletakkan) di atas anggota – walaupun terlekat pada rekahan dan berisiko jika ditanggalkan – maka hukumnya seperti jabīrah dan boleh disapu padanya sekiranya diletakkan dalam keadaan taharah. (Lihat Syarh Muntaha al-Iradat, 1/67).
Sekiranya dia tidak mampu melakukan sapuan, maka menurut mazhab Hanafi, dia tidak diwajibkan melakukan apa-apa. Ini adalah seperti mana dinyatakan oleh Syams al-A’immah al-Halwani al-Hanafi bahawa jika terdapat rekahan pada anggota wuduknya lalu dia tidak mampu untuk menyapu, maka gugur juga kewajipan menyapu, dan dia hanya membasuh kawasan sekelilingnya serta meninggalkan bahagian yang luka itu. Demikian juga disebut dalam al-Zakirah. (Lihat al-Fatawa al-Hindiyyah, 1/5).
Manakala bagi mazhab Maliki, menurut Abu al-Barakat al-Dardir al-Maliki terdapat empat pendapat:
- Dia perlu bertayammum supaya dapat melaksanakan satu bentuk taharah yang lengkap dengan tanah..
- Dia hanya perlu membasuh bahagian yang sihat, dan gugur kewajipan membasuh tempat yang berbalut atau luka. Ini kerana tayammum hanya disyariatkan ketika tiada air atau tidak mampu menggunakan air. Dalam hal ini, sama sahaja sama ada bahagian yang luka itu sedikit atau banyak.
- Jika kawasan luka lebih banyak daripada kawasan yang sihat, maka dia bertayammum. Ini kerana yang sedikit mengikut yang banyak. Namun, jika luka hanya sedikit, dia membasuh bahagian yang sihat dan gugur bahagian yang luka.
- Menggabungkan kedua-duanya, iaitu dia membasuh bahagian yang sihat dan bertayammum untuk bahagian yang luka, dan mendahulukan wuduk dengan air supaya tidak berlaku selang/pemisahan antara tayammum dengan anggota yang sepatutnya dibersihkan dengan air. (Lihat al-Syarh al-Kabir ma‘a Hasyiah al-Dusuqi (1/165).
Sementara itu, mazhab al-Syafi‘i berpendapat bahawa orang yang mengalami luka-luka atau rekahan pada kakinya sehingga menghalangnya daripada membasuh kaki ketika berwuduk, wajib baginya untuk menggabungkan antara wuduk, sapuan dan tayammum. Caranya ialah dengan membasuh anggota wuduk yang sihat, dan menyapu bahagian yang berpenyakit sekiranya dia mampu. Jika dia tidak mampu menyapu, maka bahagian yang sakit itu dibiarkan tanpa dibasuh atau disapu. Dalam semua keadaan ini, bahagian yang tidak dapat dibasuh atau disapu itu wajib diganti dengan tayammum sebagaimana yang disyariatkan.
Tayammum ini dilakukan selepas wuduk, iaitu dia berwuduk terlebih dahulu kemudian bertayammum, kerana tayammum adalah pengganti. Maka syarat pengganti ialah berlakunya keuzuran ketika pelaksanaan wuduk agar tayammum dapat menggantikannya secara sah, dan supaya ia lebih sesuai dan hampir dengan waktu pelaksanaan solat.
Pendapat ini turut disokong oleh mazhab Maliki dalam salah satu pandangan mereka, dan juga oleh mazhab Hanbali namun dengan syarat tertentu, iaitu sekiranya pesakit tidak mampu menyapu secara langsung ke atas tempat sakit dan juga tidak mampu menyapu bahan yang diletakkan di atasnya seperti ubat atau balutan. Hanabilah turut menambah bahawa penggabungan antara tayammum dan wuduk juga dilakukan jika ubat atau balutan tersebut diletakkan tanpa taharah terlebih dahulu, atau melampaui kawasan sakit sehingga terkena kulit sihat.
Syihabuddin al-Nafrawi al-Maliki berkata dalam kitab al-Fawakih al-Dawani (1/163) mengenai cara bersuci apabila terdapat luka-luka: “Jika tidak dapat menyentuh kawasan luka dengan apa jua cara, sama ada tidak mampu menyentuhnya dengan air atau dengan debu (tanah), sama ada secara langsung atau melalui penghalang (berlapik), maka jika luka itu berada pada anggota tayammum, kawasan tersebut gugur kewajipan padanya, dan hendaklah dilakukan selainnya dengan basuhan atau sapuan dalam wuduk atau mandi wajib. Namun, jika luka itu bukan pada anggota tayammum, maka terdapat empat pendapat, dan pendapat keempat ialah menggabungkan antara basuhan (wuduk) dan tayammum, dengan mendahulukan wuduk dan mengakhirkan tayammum, supaya tayammum itu bersambung terus dengan pelaksanaan solat.
Al-Khatib al-Syarbini al-Syafi‘i pula menyebutkan, (Jika terdapat) pada anggota yang tidak dapat digunakan air padanya suatu penutup (seperti pembalut yang tidak dapat ditanggalkan) kerana dibimbangi akan berlaku mudarat dan begitu juga rekahan (luka kecil) pada kaki yang memerlukan titisan ubat yang menghalang air dari sampai. (Maka dia wajib membasuh anggota yang sihat) menurut mazhab, kerana ini adalah bentuk taharah darurat, maka diambil kira untuk dilakukan sebanyak mungkin apa yang boleh dilakukan (dan bertayammum). (Dan wajib juga menyapu seluruh pembalutnya) yang tidak boleh ditanggalkan (dengan air), sebagai penggunaan air setakat yang termampu. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/256–257).
Begitu juga Ibn Qudamah al-Hanbali menyebutkan dalam al-Mughni (1/206) bahawa jika tidak ada balutan pada luka tersebut, maka anggota yang sihat hendaklah dibasuh, dan bertayammum untuk bahagian yang luka.
Al-Ruhaibani al-Hanbali ada menyebutkan dalam Matālib Uli al-Nuhā (1/137) berkenaan hukum menyapu pada balutan: “Jika sesuatu diletakkan (datam keadaan taharah) dan melebihi kawasan (yang perlu) serta ditakuti mudarat jika ditanggalkan, maka hendaklah bertayammum bagi bahagian yang melebihi kawasan keperluan itu, dan disapu bahagian selainnya, iaitu yang melebihi kawasan keperluan, dan dibasuh bahagian yang sihat. Maka dalam keadaan ini terkumpullah perbuatan basuhan, sapuan dan tayammum. Begitu juga ubat yang dilekatkan pada luka atau diletakkan pada rekahan kaki dan seumpamanya, seperti “marar” (sejenis ubat) yang disumbatkan pada jari yang sakit dan ditakuti mudarat jika ditanggalkan — maka hukumnya seperti balutan — sekiranya diletakkan dalam keadaan taharah, maka diharuskan menyapu ke atasnya kerana ia dalam hukum yang sama dengan balutan.”
Kesimpulannya
Berdasarkan perkara di atas dan merujuk kepada situasi yang diajukan dalam soalan, kami berpendapat bahawa tiada sebarang halangan bagi pesakit yang disebutkan – yang mengalami masalah radang atau jangkitan pada kedua-dua belah kakinya, khususnya di celah-celah jari kaki disebabkan penyakit yang dihidapinya – untuk hanya membasuh kakinya sekali sahaja ketika wuduk pertamanya dalam sehari semalam. Selepas itu, dia dibenarkan untuk tidak membasuh bahagian yang dijangkiti sepanjang hari, mengikut kadar yang telah disarankan oleh doktor. Cukuplah jika dia menyapu (mengelap) kawasan tersebut ketika mengambil wuduk, sekiranya mampu. Jika tidak mampu menyapu, tetapi mampu meletakkan bahan pelindung seperti krim, atau membalutnya dengan kain atau seumpamanya bagi mengelakkan terkena air semasa berwuduk, maka dia boleh berbuat demikian dan menyapu ke atasnya.
Sekiranya dia tidak mampu juga untuk menyapu, maka hendaklah dia bertayammum selepas mengambil wuduk untuk menggantikan bahagian yang tidak dibasuh atau disapu itu. Jika dia juga tidak mampu untuk bertayammum selepas wuduk, maka secara syarak dia diizinkan untuk meninggalkan tayammum tersebut – sehinggalah dia sembuh atau mampu untuk membasuh atau menyapu kedua-dua kakinya ketika wuduk tanpa sebarang mudarat. Maka dalam keadaan ini, dia tidak berdosa dan tiada sebarang kesalahan padanya.
Inilah juga jawapan yang diberikan oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah ketika mereka diajukan dengan persoalan yang hampir sama.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”