Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada membaca sebuah hadith yang berbunyi: “Apabila Adam melakukan kesalahan, dia berkata: ‘Wahai Tuhanku, aku memohon kepada-Mu dengan hak Muhammad agar Engkau mengampuniku.’ Maka Allah berfirman: ‘Wahai Adam, bagaimana engkau mengetahui tentang Muhammad sedangkan Aku belum menciptakannya?’ Adam menjawab: ‘Wahai Tuhanku, ketika Engkau menciptakanku dengan tangan-Mu dan meniupkan ke dalamku daripada roh-Mu, aku mengangkat kepalaku dan melihat tertulis di tiang-tiang Arasy: لا إله إلا الله محمد رسول الله. Maka aku tahu bahawa tiada yang Engkau tambahkan kepada nama-Mu melainkan makhluk yang paling Engkau cintai.’ Maka Allah berfirman: ‘Benar wahai Adam. Sesungguhnya Dia adalah makhluk yang paling Aku cintai. Berdoalah kepada-Ku dengan haknya. Sesungguhnya Aku telah mengampunimu. Kalau bukan kerana Muhammad, nescaya Aku tidak menciptakanmu.'” Apakah status hadith ini?
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.
Terdapat riwayat yang menyatakan daripada Umar al-Khattab R.A, katanya bahawa Nabi SAW bersabda:
لَمَّا اقْتَرَفَ آدَمُ الخَطِيئَةَ قَالَ: يَا رَبِّ؛ أَسْأَلُكَ بِحَقِّ مُحَمَّدٍ لَمَا غَفَرْتَ لِي، فَقَالَ اللهُ: يَا آدَمُ، وَكَيفَ عَرَفْتَ مُحَمَّدًا وَلَمْ أَخْلُقْهُ؟! قَالَ: يَا رَبِّ، لِأَنَّكَ لَمَّا خَلَقْتَنِي بِيَدِكَ وَنَفَخْتَ فِيَّ مِنْ رُوحِكَ؛ رَفَعْتُ رَأْسِي فَرَأَيتُ عَلَىَ قَوَائِمِ العَرْشِ مَكْتُوبًا: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللهِ؛ فَعَلِمْتُ أَنَّكَ لَمْ تُضِفْ إِلَى اسْمِكَ إِلَّا أَحَبَّ الخَلْقِ إِلَيكَ، فَقَالَ اللهُ: صَدَقْتَ يَا آدَمُ، إِنَّهُ لَأَحَبُّ الخَلْقِ إِلَيَّ، ادْعُنِي بِحَقِّهِ فَقَدْ غَفَرْتُ لَكَ، وَلَولَا مُحَمَّدٌ مَا خَلَقْتُكَ
Maksudnya: “Ketika Adam melakukan kesalahan (maksiat), dia berkata: ‘Wahai Tuhanku, aku memohon kepada-Mu dengan hak Muhammad, agar Engkau mengampuniku.’ Maka Allah berfirman: ‘Wahai Adam, bagaimana engkau mengetahui tentang Muhammad, sedangkan Aku belum menciptakannya?!’ Adam menjawab: ‘Wahai Tuhanku, sesungguhnya ketika Engkau menciptakanku dengan tangan-Mu dan meniupkan roh-Mu ke dalamku, aku mengangkat kepalaku lalu aku melihat tertulis di tiang-tiang ‘Arasy: لا إله إلا الله، محمد رسول الله (Tiada Tuhan melainkan Allah, Muhammad ialah Rasul Allah). Maka aku tahu bahawa Engkau tidak akan mengaitkan nama seseorang bersama nama-Mu kecuali dia adalah makhluk yang paling Engkau cintai.’ Allah berfirman: ‘Benar wahai Adam! Sesungguhnya Dia (Muhammad) adalah makhluk yang paling Aku cintai. Berdoalah kepada-Ku dengan haknya, maka sesungguhnya Aku telah mengampunimu. Kalau bukan kerana Muhammad, nescaya Aku tidak akan menciptakanmu.’
Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (4228), al-Baihaqi dalam Dalail al-Nubuwwah (5/489), Ibn ‘Asakir (7/436)
Hadith yang dinyatakan dalam soalan di atas adalah hadith maudhu’ dan tidak boleh dijadikan pegangan. Ia diriwayatkan oleh al-Hakim melalui sanad yang mengandungi perawi-perawi yang lemah dan bermasalah. Sanad hadith ini adalah daripada Abdullah bin Muslim al-Fihri, meriwayatkan daripada Isma‘il bin Muslimah, daripada ‘Abd al-Rahman bin Zayd bin Aslam, daripada ayahnya, daripada datuknya, daripada ‘Umar bin al-Khattab RA. Walaupun al-Hakim menyatakan: “Hadith ini sahih sanadnya”, namun kenyataan beliau ini ditolak dan disanggah oleh ramai ulama hadith kerana penilaian tersebut bercanggah dengan realiti sanadnya.
Antara kritikan terhadap hadith ini sebagaimana yang disebut oleh Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (2/323):
- Al-Zahabi menegaskan dalam Talkhis al-Mustadrak: “Bahkan ia adalah hadith maudhu‘ (palsu). ‘Abd al-Rahman seorang yang sangat lemah, dan aku tidak tahu siapa itu ‘Abdullah bin Muslim al-Fihri.”
- Dalam Mizan al-I‘tidal, al-Zahabi menilai hadith ini sebagai berita yang batil.
- Al-Hafiz Ibn Hajar juga bersetuju dalam Lisan al-Mizan bahawa ia adalah batil.
- Al-Baihaqi juga menyatakan bahawa hadith ini hanya diriwayatkan oleh ‘Abd al-Rahman bin Zayd bin Aslam dan beliau adalah perawi yang lemah.
- Syeikh Nasiruddin al-Albani juga menyatakan secara tegas dalam Silsilah al-Ahadith al-Da‘ifah
(no. 25) bahawa hadith ini palsu (موضوع).
Bahkan di tempat lain, al-Hakim sendiri dalam kitab lain al-Madkhal ila Ma‘rifah al-Sahih wa al-Saqim telah menyebut bahawa: “‘Abd al-Rahman bin Zayd bin Aslam meriwayatkan hadith-hadith yang palsu daripada ayahnya, yang tidak tersembunyi daripada ahli ilmu bahawa tanggungjawab kelemahan ini tertanggung ke atasnya.”
Oleh itu, kenyataan al-Hakim yang menyatakan hadith ini sahih jelas bertentangan dengan pengakuannya sendiri serta bercanggah dengan pandangan para imam hadith yang lain.
Al-Hafiz Ibn Hajar juga mengkritik al-Hakim berkenaan hal ini, katanya: “Antara perkara yang menghairankan ialah apa yang dilakukan oleh al-Hakim, apabila beliau meriwayatkan hadith daripada ‘Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam, kemudian berkata selepas meriwayatkannya: ‘Ini adalah hadith yang sahih sanadnya, dan ini adalah hadith pertama yang aku sebutkan daripada ‘Abd al-Rahman.’ Padahal beliau sendiri pernah berkata dalam kitab yang dikarangnya tentang para perawi yang lemah: ‘‘Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam telah meriwayatkan daripada ayahnya hadith-hadith yang palsu, yang mana tidak tersembunyi bagi sesiapa yang mendalami bidang ini bahawa kelemahan tersebut berpunca daripadanya (yakni ‘Abd al-Rahman).’” (Lihat al-Nukat ‘ala Kitab Ibn al-Salah, 1/318)
Abu al-’Abbas Ibn Taimiyyah pula menyatakan: “Periwayatan al-Hakim terhadap hadith ini merupakan sesuatu yang telah diingkari ke atasnya, kerana beliau sendiri telah berkata dalam kitabnya al-Madkhal ila Maʿrifah al-Sahih min al-Saqim: ‘ʿAbd al-Rahman bin Zaid bin Aslam telah meriwayatkan daripada ayahnya hadith-hadith yang palsu, yang mana ia tidak tersembunyi bagi sesiapa yang menelitinya dalam kalangan ahli hadith (ahli seni ini) bahawa tanggungjawab kepalsuan itu terletak padanya (yakni ʿAbd al-Rahman).’ Aku (Ibn Taimiyah) berkata: ʿAbd al-Rahman bin Zayd bin Aslam adalah perawi yang dha‘if (lemah) menurut kesepakatan para ulama, dan dia sering melakukan kesilapan.” (Lihat al-Qaʿidah al-Jalilah fī al-Tawassul wa al-Wasilah, hlm. 69)
Beliau berkata lagi: ʿAbd al-Rahman bin Zayd bin Aslam adalah perawi yang dihukum sebagai dhaif oleh kesepakatan ulama, kerana beliau banyak melakukan kesilapan dalam riwayat. Beliau telah didhaifkan oleh tokoh-tokoh besar seperti Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Zurʿah, Abu Hatim, al-Nasa’i, al-Daraqutni dan selain mereka. Bahkan, Abu Hatim bin Hibban menyatakan bahawa beliau sering menukar-nukar riwayat dalam keadaan tidak sedar, hingga banyak daripada riwayatnya yang asalnya mursal dijadikan marfuʿ (disandarkan kepada Nabi SAW), dan yang asalnya mauquf (terhenti pada sahabat) juga disandarkan secara palsu kepada Nabi SAW. Oleh sebab itu, beliau layak ditinggalkan sebagai perawi. Adapun tindakan al-Hakim mensahihkan hadith seperti ini dan seumpamanya, ia adalah sesuatu yang telah diingkari oleh para imam dan ahli ilmu dalam bidang hadith. Mereka menyatakan bahawa al-Hakim telah mensahihkan hadith-hadith yang pada hakikatnya adalah hadith palsu dan direka-reka, sebagaimana yang telah diketahui oleh para pakar hadith yang benar-benar mendalam ilmunya. (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 1/255)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hadith yang menyatakan Nabi Adam AS bertawassul dengan Nabi Muhammad SAW sebelum penciptaannya adalah hadith palsu dan batil, tidak sah dijadikan hujah dalam urusan aqidah atau fadhilat amal. Ia bertentangan dengan kaedah periwayatan hadith sahih yang dipegang oleh ahli hadith. Bahkan perawi utama dalam sanad ini, iaitu ‘Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam, telah dinilai sebagai sangat lemah dan dituduh sebagai pemalsu hadith oleh sebahagian ulama.
Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara kita semua daripada terjerumus ke dalam penyebaran hadith palsu dan memberikan kefahaman yang benar dalam beragama.
Wallahu a‘lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”