Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, seorang lelaki telah pergi membeli beberapa barangan dari salah satu pasar awam, dan dia telah mendengar daripada seseorang bahawa sebahagian daripada barangan yang dijual di pasar tersebut mungkin barangan curi. Maka, adakah dibolehkan baginya untuk membeli dari pasar tersebut dalam keadaan sebegini? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌۭ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًۭا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌۭ رَّحِيمٌۭ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
(Surah al-Hujurat: 12)
Imam Ibn Kathir mengatakan, Allah SWT melarang hamba-hamba-Nya yang beriman daripada kebanyakan sangkaan, dan sangkaan di sini bermaksud tohmahan serta pengkhianatan terhadap kaum keluarga dan kerabat termasuklah orang lain, pada perkara yang tidak benar. Ini kerana sebahagian dari perkara ini merupakan dosa, maka jauhilah kebanyakan sangkaan sebagai langkah berhati-hati. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/352)
Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT melarang hamba-Nya daripada banyak buruk sangka dengan orang beriman kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Perkara tersebut adalah seperti sangkaan yang bukan berdasarkan hakikatnya sebenar mahupun bukti, begitu juga seperti sangkaan buruk, yang dikaitkan dengan banyak perkataan dan perbuatan yang diharamkan (dilarang). Apabila sangkaan buruk itu kekal di dalam hati seseorang, ia tidak terhad kepada itu sahaja, malah dia akan meneruskannya sehingga dia mengatakan apa yang tidak sepatutnya dan melakukan apa yang tidak sepatutnya, yang dalam pada itu juga termasuklah berburuk sangka dengan orang Islam, membencinya dan memusuhinya yang mana ia sepatutnya tidak berlaku. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 1/801)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, berdasarkan prinsip syarak yang menekankan kewajipan berbaik sangka serta larangan menuduh tanpa asas, maka tidak dibenarkan untuk menuduh seseorang mencuri secara sewenang-wenangnya hanya kerana sangkaan bahawa barang yang berada dalam miliknya bukan miliknya. Ini kerana hukum asalnya, setiap harta yang berada dalam pemilikan dan penguasaan seseorang dianggap miliknya sekiranya dia mendakwa demikian, atau bertindak sebagai wali atau wakil terhadapnya melainkan terdapat bukti kukuh yang menunjukkan sebaliknya.
Setiap barangan dan barang dagangan yang berada di tangan seseorang, hukum asalnya adalah ia miliknya. Pembeli tidak diwajibkan untuk menyiasat atau menyelidik pemilikan barangan yang dijual selagi keadaan penjual tidak menunjukkan sebarang tanda yang mencurigakan. Ini kerana sangkaan bahawa barangan tersebut mungkin dicuri hanyalah satu kemungkinan yang tidak mampu mengatasi hukum asal pemilikan. Maka tidak dibenarkan bagi sesiapa yang ragu-ragu untuk bertindak berdasarkan sangkaannya, kerana hukum syarak tidak dibina di atas keraguan dan andaian semata-mata.
Yang demikian sebagaimana yang dinyatakan oleh Badruddin al-Zarkasyi dalam al-Bahr al-Muhit fi Usul al-Fiqh (1/110) bahawa beliau: syarak tidak dibina atas dasar keraguan jika terdapat asas yang telah ditetapkan yang bertentangan dengannya. Dengan kata lain, dalam keadaan terdapat asas hukum yang jelas, keraguan semata-mata tidak mencukupi untuk mengubah atau membatalkan hukum tersebut.
Oleh yang demikian, Selagi mana pembeli tidak benar-benar pasti bahawa sesuatu barang itu dicuri, maka hukum asalnya ialah tiada dosa dan tiada halangan baginya untuk membelinya daripada orang yang menjualnya; kerana pemilikan (barang) itu secara zahir adalah tanda ia dimiliki secara sah. Untuk mencapai ilmu dan keyakinan bahawa barang itu memang dicuri, mestilah dipastikan bahawa ia memenuhi hakikat perbuatan mencuri dengan bukti yang pasti dan tiada ruang untuk keraguan mengenainya. Rasulullah SAW bersabda:
دَعْ مَا يَرِيْبُكَ، إِلَى مَا لَا يَرِيْبُكَ
Maksudnya: “Tinggallah apa yang menjadi keraguan padamu kepada yang tidak meragukan.”
Riwayat al-Tirmizi dalam Sunan (4/668) no. (2520) Kitab Sifat Kiamat, al-Nasai’i dalam Sunan (4/732) no. (5727) Kitab al-Asyrabah.
Ibn Daqiq al-’Id berkata maksud yang meragukan kamu ialah: “Tinggalkan sesuatu yang menjadikan kamu ragu-ragu dan gantikanlah kepada perkara yang tidak meragukan.” (Lihat Syarh al-Arba’in al-Nawawiah li Ibn Daqiq al-‘Aid, hlm. 61)
Dalam isu ini juga Dar al-Ifta al-Misriyyah menyatakan bahawa: Hukum asalnya ialah penjual bebas daripada tuduhan selagi mana barang jualan berada dalam miliknya dan zahirnya menunjukkan barang itu miliknya. Maka, tidak harus berburuk sangka terhadapnya atau menuduhnya mencuri tanpa bukti yang jelas. Selagi belum terbukti melalui pihak berkuasa yang berkenaan bahawa sesuatu barang tertentu yang dijual oleh mana-mana penjual adalah barang curi, maka tiada halangan dari sudut syarak untuk membeli barangan yang diperlukan dari pasar itu atau dari tempat lain, dan dia tidak berdosa atau bersalah kerana berbuat demikian. Namun, jika seseorang benar-benar menyangka bahawa sesuatu barang itu adalah hasil curian atau rampasan, maka hendaklah dia meninggalkan pembeliannya dan menjauhi perkara yang menimbulkan syubhah.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa seseorang pembeli tidak berdosa dan tidak dihalang secara syarak untuk membeli barangan daripada mana-mana pasar awam selagi tiada bukti yang sah bahawa barangan tersebut adalah hasil curian. Hukum asal menetapkan bahawa setiap barang yang berada dalam milik seseorang secara zahir adalah miliknya yang sah, dan keraguan semata-mata tidak mencukupi untuk membatalkan hukum ini. Oleh itu, selama tiada tanda-tanda yang mencurigakan atau bukti yang kukuh, maka tiada kewajipan untuk menyelidik asal-usul barangan yang dijual. Namun begitu, jika wujud sangkaan kuat disertai bukti yang boleh menimbulkan syubhah, maka adalah lebih wajar untuk meninggalkan pembelian tersebut demi mengelakkan diri daripada terlibat dalam perkara yang tidak jelas statusnya.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahua’lam