Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah darjat hadith yang menyebut: “Janganlah kamu meredakan sesiapa dengan kemurkaan Allah, dan janganlah kamu memuji sesiapa atas kelebihan yang datang daripada Allah, dan janganlah kamu mencela sesiapa atas sesuatu yang tidak Allah kurniakan kepadamu. Sesungguhnya rezeki Allah tidak akan dapat dibawa kepadamu oleh kerakusan orang yang tamak, dan tidak dapat ditolak daripadamu oleh kebencian orang yang membenci. Sesungguhnya Allah dengan keadilan dan kebijaksanaan-Nya telah menjadikan kelapangan dan kegembiraan itu pada keredhaan dan keyakinan, serta menjadikan kesedihan dan kebimbangan itu pada kemurkaan.” Adakah hadith ini sahih?
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari kiamat.
Diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud bahawa Nabi SAW bersabda:
لَا تُرْضِيَنَّ أَحَدًا بِسَخَطِ اللهِ، وَلَا تَحْمَدَنَّ أَحَدًا عَلَى فَضْلِ اللهِ، وَلَا تَذُمَّنَ أَحَدًا عَلَى مَا لَمْ يُؤْتِكَ اللهُ؛ فَإِنَّ رِزْقَ اللهِ لَا يَسُوقُهُ إِلَيْكَ حِرْصُ حَرِيصٍ، وَلَا يَرُدُّهُ عَنْكَ كَرَاهِيَةُ كَارِهٍ، وَإِنَّ اللهَ تَعَالَى بِقِسْطِهِ وَعَدْلِهِ جَعَلَ الرَّوْحَ وَالْفَرَحَ فِي الرِّضَا وَالْيَقِينِ، وَجَعَلَ الْهَمَّ وَالْحَزَنَ فِي السَّخَطِ
Maksudnya: Janganlah kamu meredakan hati seseorang dengan kemurkaan Allah. Jangan pula kamu memuji seseorang atas kurniaan Allah. Dan janganlah kamu mencela seseorang atas perkara yang tidak Allah berikan kepadamu. Sesungguhnya rezeki Allah tidak akan dapat dibawa kepadamu oleh kerakusan orang yang tamak, dan tidak akan dapat dihalang daripadamu oleh kebencian orang yang membenci. Dan sesungguhnya Allah SWT dengan keadilan dan kebijaksanaan-Nya telah menjadikan ketenangan dan kegembiraan itu pada keredhaan dan keyakinan, serta menjadikan kesedihan dan kebimbangan itu pada kemurkaan (tidak redha)
Riwayat al-Tabarani dalam al-Muʿjam al-Kabir (10514)
Hadith ini telah diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Muʿjam al-Kabir (10/215). Namun, sanadnya mengandungi Khalid bin Yazid al-‘Umari yang telah dituduh sebagai pemalsu hadith, sebagaimana dinyatakan oleh al-Haithami dalam Majmaʿ al-Zawāʾid (4/71).
Ia juga diriwayatkan melalui jalur lain oleh Abu Nuʿaim dalam Hilyah al-Awliya’ (5/106) dan al-Baihaqi dalam Syuʿab al-‘Iman (1/221), tetapi sanadnya mengandungi dua perawi yang bermasalah iaitu ‘Atiyyah al-‘Aufi yang merupakan perawi yang lemah dan Muhammad bin Marwan al-Suddi yang merupakan perawi yang ditinggalkan hadithnya.
Para ulama hadith seperti Ibn Maʿin, al-Nasa’i, Abu Hatim, al-Bukhari dan Ibn Hibban telah menjelaskan bahawa Muhammad bin Marwan adalah perawi yang tidak boleh dijadikan hujah, bahkan tidak boleh ditulis hadithnya kecuali untuk tujuan perbandingan sahaja.
Antara penilaian terhadap Muḥammad bin Marwān al-Suddi:
- Ibn Maʿin: “Bukan seorang yang thiqah (dipercayai).”
- Ibrahim: “Seorang pembohong.”
- Al-Saʿdi: “Riwayatnya tidak bernilai.”
- Al-Nasaʾi, Abu Hatim al-Razi dan al-Azdi: “Hadithnya ditinggalkan.”
- Al-Bukhari: “Hadithnya tidak boleh ditulis.” Kadang beliau berkata: “Mereka diam terhadapnya (yakni tidak menilai pun).”
- Ibn Hibban: “Tidak halal menulis hadithnya melainkan untuk tujuan pengenalan (iktibar), dan tidak boleh dijadikan hujah dalam apa jua keadaan.” (Lihat Mizan al-Iʿtidal, 6/328; al-Dhuʿafaʾ wa al-Matrukin, 3/98)
Hadith ini juga diriwayatkan secara mauquf daripada Abdullah bin Masʿud R.A oleh Hannad bin al-Sarī dalam al-Zuhd (1/304) dan oleh al-Baihaqi dalam Syuʿab al-‘Iman (1/221), iaitu ia bukan sabda Nabi SAW tetapi kata-kata Ibn Mas‘ud R.A.
Kesimpulan
Berdasarkan penilaian ulama hadith, hadith ini adalah dhaif jiddan (sangat lemah) dan sebahagiannya maudhu’ (palsu) kerana kecacatan yang berat dalam sanadnya, terutamanya dari segi perawi yang tertuduh sebagai pemalsu dan perawi yang telah ditinggalkan riwayatnya oleh para imam hadith. Oleh itu, ia tidak boleh dijadikan hujah dalam bab akidah, hukum mahupun fadha’il a‘mal. Namun jika diriwayatkan secara mauquf daripada sahabat seperti Ibn Masʿud RA, ia boleh dijadikan pengajaran selagi tidak disandarkan kepada Nabi SAW.
Akhirnya, semoga penjelasan ini memberi kefahaman yang jelas dalam menilai kesahihan sesebuah hadith, serta mendorong kita untuk merujuk kepada sumber-sumber yang sahih dalam beragama. Wallahu a‘lam.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”