Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah status hadith berikut: “Allah mewahyukan kepada salah seorang nabi-Nya: Apabila engkau melihat kemiskinan datang, maka katakanlah: Selamat datang wahai lambang orang-orang soleh. Dan apabila engkau melihat kekayaan datang, maka katakanlah: Dosa yang telah disegerakan hukumannya”?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Diriwayatkan bahawa:

أَوْحَى اللهُ تَعَالَى إِلَى مُوسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ: : يَا مُوسَى! إِذَا رَأَيْتَ الْغِنَى مُقْبِلًا؛ فَقُلْ: ذَنْبٌ عُجِّلَتْ عُقُوبَتُهُ، وَإِذَا رَأَيْتَ الْفَقْرَ مُقْبِلًا؛ فَقُلْ: مَرْحَبًا بِشِعَارِ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: Allah SWT telah mewahyukan kepada Nabi Musa A.S: “Wahai Musa! Apabila engkau melihat kekayaan datang menghampiri, maka katakanlah: ‘Ini adalah dosa yang telah disegerakan balasannya.’ Dan apabila engkau melihat kemiskinan datang menghampiri, maka katakanlah: ‘Selamat datang wahai lambang (syi‘ar) orang-orang yang soleh.'”

Hadith ini diriwayatkan oleh al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus, seperti yang disebut oleh al-Hafiz al-‘Iraqi. Ia dinukil daripada riwayat Makhul daripada Abu al-Darda’. Namun, hadith ini adalah dhaif (lemah), kerana Makhul tidak mendengar hadith secara langsung daripada Abu al-Darda’. Ini menjadikan sanad tersebut munqati‘ (terputus). (Lihat Takhrij Ihya’ ‘Ulum al-Din, 4/191)

Tambahan pula, hadith ini juga diriwayatkan oleh Abu Nu‘aim dalam Hilya al-Auliya’ (6/5) daripada Mujahid, daripada Ka‘b al-Ahbar, dan juga daripada Qatadah daripada Ka‘b al-Ahbar (6/37). Namun dalam kedua-dua sanad ini terdapat seorang perawi bernama Ishaq bin Bisyr al-Kahili, dan beliau adalah perawi yang ditinggalkan (matruhk).

Antara penilaian terhadap Ishaq bin Bishr:

  • Abu Zur‘ah: “Dia seorang yang berdusta”
  • Al-Daraqutni: “Seorang pendusta dan ditinggalkan”
  • Al-Azdi: “Tertolak hadithnya dan dituduh berdusta”
  • Ibn Hibban: “Beliau mereka-reka hadith atas nama perawi yang thiqah, tidak halal menulis hadithnya melainkan untuk tujuan kehairanan” (Lihat al-Jarh wa al-Ta‘dil, 2/214; al-Dhu‘afa’ wa al-Matrukin oleh Ibn al-Jauzi, 1/100)

Ishaq bin Bishr juga termasuk dalam kalangan ahli al-Qasas (pencerita), tetapi ditakrifkan oleh al-Zahabi sebagai: “Syeikh, ‘alim, pencerita, dha‘if, dan al-talif (rosak), Abu Huzaifah Ishaq bin Bisyr bin Muhammad bin ‘Abdullah bin Salim al-Hasyimi al-Bukhari, pengarang kitab al-Mubtada’. Ibn Jarir dan lainnya menukil daripadanya. Beliau meriwayatkan banyak perkara batil dan hadith-hadith palsu.” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 9/477-478)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan berdasarkan perbincangan ulama hadith, jelas bahawa hadith yang menyebut “Apabila engkau melihat kemiskinan datang, maka katakanlah: Selamat datang wahai lambang orang-orang soleh…” adalah sangat lemah dan tidak boleh dijadikan sandaran dalam soal akidah, hukum mahupun fadha’il amal.

Akhirnya, semoga penjelasan ini memberi kefahaman yang jelas dalam menilai kesahihan sesebuah hadith, serta mendorong kita untuk merujuk kepada sumber-sumber yang sahih dalam beragama. Wallahu a‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”