Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum memberi salam kepada seseorang yang sedang berwuduk dan begitu juga menjawab salam semasa berwuduk? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Penjelasan Konsep Salam

Perkataan al-salām pada asalnya bermaksud keselamatan. Ia berasal daripada salima (سَلِمَ) – yaslamu (يَسْلَمُ) – salāman (سَلامًا) dan salāmah (سَلامة). Oleh itu, syurga dinamakan sebagai Dār al-Salām (دار السلام) kerana ia merupakan tempat yang selamat daripada sebarang keburukan dan bencana. Di antaranya juga adalah nama al-Salām (السَّلام) juga merupakan salah satu daripada nama Allah SWT. (Lihat Lisan al-‘Arab, 12/289-290).

Menurut para fuqaha, lafaz salam bermaksud “semoga keselamatan Allah bersama kamu dan semoga Dia memelihara kamu,” seperti ucapan “Allah bersamamu dan melindungimu.” Ini sebagaimana disebut oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bārī (5/11–9).

Salam merupakan ucapan penghormatan orang Islam, baik di dunia mahupun di akhirat. Firman Allah SWT:

تَحِيَّتُهُمْ يَوْمَ يَلْقَوْنَهُ سَلَامٌ

Maksudnya: “Sambutan penghormatan yang akan diberi Tuhan kepada mereka semasa menemui-Nya ialah ucapan ‘Salam’ (selamat sejahtera).

(Surah al-Ahzab: 44)

Imam al-Qurtubi menyebutkan, dikatakan bahawa salam ini adalah ucapan penghormatan daripada Allah SWT pada Hari Kiamat, selepas para hamba-Nya memasuki syurga. (Lihat al-Jāmi‘ li Aḥkām al-Qur’ān, 14/199).

Hukum Asal Memberi dan Menjawab Salam

Pada asalnya, hukum memberi salam adalah sunat muakkad — yang sangat dituntut. Manakala hukum menjawabnya pula adalah wajib.

Imam al-Nawawi menjelaskan lagi perkara ini sebagaimana yang disebutkan dalam kitabnya bahawa hukum memulakan salam itu adalah sunat muakkad. Manakala hukum menjawab salam pula adalah fardhu atau wajib secara ijma‘ (sepakat para ulama). Sekiranya seseorang memberi salam kepada seseorang yang lain, maka orang yang kedua itu wajib menjawabnya sebagai fardhu ain. Jika diberi salam kepada sekelompok manusia, maka hukum menjawabnya pula menjadi fardhu kifayah. Jika salah seorang menjawabnya, maka sudah cukup dan gugur kewajipan menjawabnya bagi mereka yang lain, dan jika semua orang menjawabnya, maka semuanya dikira sebagai menunaikan perkara yang fardhu, sama ada mereka menjawabnya secara serentak ataupun tidak. Jika tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang menjawabnya, maka mereka semua dikira berdosa. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/593-594).

Penjelasan lanjut berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #202 Memberi Salam.

Hukum Bercakap Semasa Berwuduk Tanpa Keperluan

Bercakap semasa berwuduk tanpa keperluan dianggap sebagai meninggalkan adab berwuduk menurut mazhab Hanafi, dan dihukum makruh menurut mazhab Maliki. Bagi mazhab Syafi‘i dan Hanbali pula, ia dikira sebagai sesuatu yang menyelisihi perkara yang lebih utama (khilāf al-aulā).

Al-‘Allamah Ibn Mazah al-Hanafi ketika membahaskan adab-adab wuduk ada menyatakan bahawa di antara adab wuduk ialah tidak bercakap dengan percakapan manusia (percakapan biasa). (Lihat al-Muhit al-Burhani, 1/48).

Manakala al-‘Allāmah Ibn Nujaim al-Hanafi pula menyebutkan dalam al-Bahr al-Ra’iq (1/30) bahawa meninggalkan percakapan manusia (biasa) hanya dianggap sebagai adab jika ia tidak disebabkan oleh keperluan. Jika terdapat keperluan dan ditakuti akan terlepas sesuatu dengan meninggalkan percakapan tersebut, maka tidak dianggap melanggar adab dengan bercakap; sebagaimana disebut dalam Syarh al-Munyah.

Al-‘Allāmah al-Dardīr al-Mālikī menyatakan bahawa dimakruhkan bercakap semasa berwuduk kecuali dengan zikir kepada Allah Ta‘ala. (Lihat al-Syarh al-Saghir, 1/127–128).

Manakala Imam al-Nawawi al-Syafi‘i pula ada menyatakan dalam kitabnya bahawa al-Syirazi menyebut bahawa terdapat dua belas perkara sunat dalam wuduk, dan antaranya ialah tidak bercakap semasa berwuduk melainkan jika ada keperluan. Al-Qadhi ‘Iyadh dalam Syarh Sahih Muslim menukilkan bahawa para ulama memakruhkan bercakap ketika berwuduk dan mandi. Apa yang beliau maksudkan dengan makruh itu ialah dalam erti meninggalkan perkara yang lebih utama (khilāf al-aulā), kerana tiada larangan jelas mengenainya, maka ia tidak dinamakan makruh kecuali dalam maksud itu. (Lihat al-Majmu‘, 1/465–466).

Demikian juga al-‘Allāmah al-Ḥajjāwī al-Maqdisī al-Ḥanbalī turut menyebutkan dalam al-Iqnā‘ (1/30) bahawa tidak disunatkan bercakap semasa berwuduk, bahkan dimakruhkan, dan yang dimaksudkan dengan makruh itu ialah meninggalkan perkara yang lebih utama (khilāf al-aulā).

Hukum Memberi dan Menjawab Salam Semasa Berwuduk

Adapun memberi dan menjawab salam ketika berwuduk, para fuqaha’ dari mazhab Maliki dan Syafi‘i secara jelas menyatakan bahawa ia dibolehkan (disyariatkan). Ia juga merupakan pandangan yang jelas dalam kalangan kebanyakan ulama Hanbali. Namun, sebahagian ulama Ḥanbali berpendapat bahawa ia adalah makruh. Sementara itu, sebahagian tokoh terkemuka dalam mazhab Syafi‘i berpendapat bahawa menjawab salam ketika berwuduk itu adalah wajib, seperti yang ditegaskan oleh al-‘Allāmah Ibn Hajar al-Haitami.

Al-‘Allāmah al-Hattab al-Maliki menyebutkan dalam Mawāhib al-Jalīl (1/460) bahawa dalam kitab al-Ikmāl pada Kitab Haji, ketika Ibn ʿAbbas mengutus seseorang kepada Abu Ayyub R.Anhum untuk bertanya mengenai mandi (wajib), maka utusan itu berkata: “Aku datang dan memberi salam kepadanya ketika beliau sedang mandi.” Al-Qadhi ‘Iyadh menyebutkan, ini menjadi dalil bahawa memberi salam kepada orang yang sedang bersuci atau berwuduk adalah dibolehkan.

Manakala al-‘Allāmah al-‘Adawi al-Maliki pula ada menyatakan dalam hasyiahnya ke atas Syarh al-‘Allāmah al-Khirasyi  ‘ala Mukhtaṣar Khalīl (1/236): “(Katanya: yang dimaksudkan adalah dimakruhkan memberi salam kepada orang yang sedang bertalbiyah) – yakni maksud perkataan pengarang ‘seperti orang yang bertalbiyah’ ialah dimakruhkan memberi salam kepada orang yang bertalbiyah, dan boleh juga maksudnya ialah sebagaimana dimakruhkan memberi salam oleh orang yang sedang bertalbiyah, maka orang yang bertalbiyah itu dimakruhkan memberi salam dan juga menjawab salam. Kemudian, (Katanya: sebagai jalan yang membawa kepada menjawab salam) iaitu ketika azan. Manakala (katanya: berbeza dengan memberi salaj kepada orang yang sedang solat, maka tidak dimakruhkan) dan begitulah juga hukumnya ke atas orang yang sedang bersuci dan berwuduk.

Selain itu, al-‘Allamah al-Syabramallisi al-Syafi‘i juga ada menyebutkan, dalam Fatawa Syeikh al-Islam, beliau pernah ditanya: Adakah disyariatkan memberi salam kepada orang yang sedang berwuduk dan adakah wajib ke atasnya menjawab salam atau tidak? Maka beliau menjawab: Yang zahirnya adalah memberi salam kepadanya itu disyariatkan, dan wajib baginya untuk menjawabnya. (Lihat Hasyiah ‘ala Nihayah al-Muhtaj, 1/195).

Begitu juga al-‘Allamah Ibn Muflih al-Hanbali turut menyebutkan dalam kitabnya, al-Furu‘ (1/184–185) bahawa Abu al-Faraj berkata: Dimakruhkan memberi salam kepadanya. Manakala dalam al-Ri‘ayah dinyatakan: Dimakruhkan juga menjawabnya. Namun beliau (pengarang) menyebut bahawa tidak dimakruhkan bagi orang yang sedang membuang air untuk menjawab salam — dan ini satu kekeliruan. Lafaz zahir kebanyakan ulama menunjukkan bahawa tidak dimakruhkan memberi salam dan juga tidak dimakruhkan menjawab salam. Walaupun begitu, menjawab salam dalam keadaan berwuduk adalah lebih sempurna — kerana ia dilakukan oleh Nabi SAW.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan yang telah dikemukakan, kami berpendapat bahawa memberi salam kepada seseorang yang sedang berwuduk dan menjawab salam itu adalah perkara yang disyariatkan menurut jumhur (majoriti) fuqaha’, kerana ia boleh menghimpunkan dua kelebihan iaitu keutamaan menjawab salam dan amalan wuduk itu sendiri, tanpa menyebabkan terputusnya mana-mana rukun wuduk yang wajib diulang.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”