Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, saya ingin bersiwak semasa bermalam di Mina, lalu saya mengambil ranting dari pokok-pokok di kawasan Mina sebagai siwak dan juga kayu api, sedangkan pokok itu masih hijau. Maka, apakah hukumnya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Tanah haram Makkah mempunyai banyak hukum dan kelebihannya yang tersendiri. Antara kelebihannya ialah, Allah SWT menjadikannya sebagai kawasan yang aman. Firman Allah Ta‘ala:
وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَٰذَا بَلَدًا آمِنًا وَارْزُقْ أَهْلَهُ مِنَ الثَّمَرَاتِ مَنْ آمَنَ مِنْهُم بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ
Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya”
(Surah al-Baqarah:126)
Al-Wahidi ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan bahawa: iaitu, tempat yang mempunyai keamanan, di mana burung-burung tidak diburu, pokok-pokoknya tidak dipotong, dan penduduknya tidak dibunuh. Dan kurniakanlah rezeki kepada penduduknya berupa buah-buahan – iaitu pelbagai jenis hasil daripada pokok – bagi sesiapa di antara mereka yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. (Lihat al-Wajiz, hlm.131)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, antara hukum-hukumnya yang telah diperincikan oleh sunnah Nabi SAW yang suci ialah, tidak dibenarkan memotong pokok-pokok di kawasan Tanah Haram; daripada Ibn Abbas RA bahawa Nabi SAW bersabda:
إنَّ اللَّهَ حَرَّمَ مَكَّةَ، فَلَمْ تَحِلَّ لأحَدٍ قَبْلِي، ولا تَحِلُّ لأحَدٍ بَعْدِي، وإنَّما أُحِلَّتْ لي ساعَةً مِن نَهارٍ، لا يُخْتَلى خَلاها، ولا يُعْضَدُ شَجَرُها، ولا يُنَفَّرُ صَيْدُها، ولا تُلْتَقَطُ لُقَطَتُها، إلّا لِمُعَرِّفٍ، وقالَ العَبّاسُ: يا رَسولَ اللَّهِ، إلّا الإذْخِرَ، لِصاغَتِنا وقُبُورِنا؟ فَقالَ: إلّا الإذْخِرَ. وعَنْ خالِدٍ، عن عِكْرِمَةَ، قالَ: هلْ تَدْرِي ما لا يُنَفَّرُ صَيْدُها؟ هو أنْ يُنَحِّيَهُ مِنَ الظِّلِّ يَنْزِلُ مَكانَهُ.
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan (menjadikan suci) kota Makkah; ia tidak dihalalkan untuk sesiapa pun sebelum aku, dan tidak akan dihalalkan untuk sesiapa pun selepas aku. Ia hanya dihalalkan untukku seketika dari siang hari. Maka tidak boleh ditebang pokoknya, tidak boleh dipotong pepohon rimbunnya, tidak boleh dihalau binatang buruannya, dan tidak boleh diambil barang yang hilang di dalamnya kecuali oleh orang yang ingin mengumumkannya. Lalu al-‘Abbas berkata: Wahai Rasulullah, kecuali pokok izkhir, kerana ia digunakan untuk tukang emas kami dan juga kuburan kami. Baginda bersabda: Kecuali izkhir.”
Riwayat Muslim (1353) dan Abu Dawud (2018)
Ibn Qutaibah ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa: Makna “لَا يُخْتَلَى خَلَاهَا” iaitu tidak dipotong tumbuh-tumbuhan seperti rumput dan seumpamanya yang tumbuh secara semula jadi di kawasan Tanah Haram. Mankala, “ لَا يُعْضَدُ شَجَرُهَا ” iaitu tidak ditebang atau dipatahkan pokok-pokoknya yang hidup di dalam kawasan Tanah Haram. (Lihat Gharib al-Hadith, 1/147)
Namun isu mengambil ranting di Tanah Haram untuk bersiwak pada pandangan Mazhab al-Syafi’i adalah dibolehkan. Hal ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di mana beliau menyatakan bahawa: “Para ashab (ulama mazhab kami) telah sepakat bahawa diharuskan mengambil buah-buahan daripada pokok-pokok di kawasan Tanah Haram, meskipun ia adalah daripada pokok yang diharuskan seperti pokok al-arak. Buah bagi pokok al-arak itu disebut sebagai al-kabath. Mereka juga telah sepakat mengenai keharusan mengambil ranting kayu sugi (untuk bersiwak) dan seumpamanya.” (Lihat al-Majmu’, 7/449)
Selain itu, al-‘Allamah Ibn Farḥun al-Maliki dalam Irsyad al-Salik ila Af‘al al-Manasik (2/704) menyatakan bahawa: “Al-Qarafī berkata: Imam Malik memberikan kelonggaran dalam memotong ranting atau dua ranting daripada pokok di Tanah Haram. Ibn al-Ḥajj berkata: Tidak mengapa mengambil kayu sugi (siwak).”
Dalam fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dalam isu ini menyatakan bahawa: langkah yang lebih berhati-hati ialah agar seseorang yang sedang berihram atau selainnya tidak mengambil kayu sugi (siwak) daripada pokok yang berada di Tanah Haram, atau menceroboh pokok-pokok Tanah Haram yang tumbuh dengan sendiri; sebagai menghormati hak Tanah Haram dan untuk keluar daripada khilaf golongan yang melarang perbuatan tersebut. Namun, jika dia melakukannya, maka tiada apa-apa dikenakan ke atasnya; berdasarkan apa yang telah diputuskan dalam kaedah fiqh iaitu:
أنَّ مَن ابتُلِيَ بِشَيءٍ مِن المُخْتَلَف فِيهِ فَلْيُقَلِّدْ مَن أَجَازَ
Maksudnya: Sesiapa yang diuji dengan sesuatu perkara yang diperselisihkan hukumnya, maka hendaklah dia mengikuti (bertaqlid kepada) pihak yang mengharuskannya.
Justeru, berdasarkan perbincangan, hukum asal bagi pokok-pokok yang tumbuh secara semula jadi di kawasan Tanah Haram termasuk di Mina adalah tidak boleh ditebang atau dipotong, sebagai tanda menghormati kesucian dan kehormatan kawasan tersebut. Namun, dalam hal mengambil ranting untuk tujuan siwak, terdapat kelonggaran berdasarkan sebahagian pandangan yang menganggapnya dibolehkan. Walau bagaimanapun, jalan yang lebih selamat dan berhati-hati ialah meninggalkan perbuatan tersebut bagi mengelakkan daripada terjatuh dalam perkara khilaf, sekaligus menjaga adab terhadap Tanah Haram yang dimuliakan. Jika perbuatan itu tetap dilakukan, maka tidak dikenakan sebarang hukuman ke atasnya, memandangkan wujud pendapat yang membenarkannya dalam kalangan para ulama.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua‘lam