Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum wukuf di Arafah bagi wanita yang haid dan orang yang berjunub? Adakah wukuf mereka di Arafah dalam keadaan tersebut sah dari sudut syarak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Wukuf di Arafah merupakan rukun haji yang paling agung dan paling penting; Nabi SAW telah menafsirkan haji itu sebagai wukuf di Arafah, dan Baginda juga menjadikan kesempurnaan haji itu dengan wukuf di sana.

Terdapat riwayat daripada daripada ‘Abd al-Rahman bin Ya’mar R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الحَجُّ عَرَفَةُ

Maksudnya: “Haji adalah Arafah.

Riwayat al-Tirmizi (814)

Nasiruddin al-Baidhawi menyatakan maksudnya adalah intipati haji atau rukun yang paling utama ialah wukuf di Arafah, kerana haji terbatal dengan ketiadaannya, sedangkan ia tidak terbatal dengan ketiadaan rukun-rukun yang lain. (Lihat Tuhfah al-Abrar Syarh Masabih al-Sunnah, 2/189).

Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin mengatakan, yang dimaksudkan dengan (الحَجُّ عَرَفَةُ) adalah wajib berwukuf di Arafah, jika tidak berwukuf di Arafah maka tiada baginya haji. Oleh yang demikian, para ulama berkata: “Sesiapa yang terlepas berwukuf di Arafah, maka dia telah terlepas haji.” (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn ‘Uthaimin, 24/23).

Begitu juga, umat Islam telah sepakat bahawa wukuf adalah salah satu rukun haji; sebagaimana yang disebut oleh ‘Ala’uddin al-Kasani. (Lihat Bada’i‘ al-Sana’i‘, 2/125).

Wukuf di Arafah bagi Wanita Haid dan Orang yang Junub

Meskipun wukuf di Arafah merupakan rukun haji yang paling utama dan paling agung, namun tidak disyaratkan suci daripada hadas atau najis untuk sahnya wukuf tersebut. Ini termasuklah seseorang jemaah haji yang berada dalam keadaan junub atau wanita yang sedang haid. Hal ini berdasarkan kepada hadith Nabi SAW kepada Ummul Mukminin, Aisyah R.Anha ketika beliau didatangi haid semasa haji, Baginda bersabda:

افْعَلِي مَا يَفْعَلُ الحَاجُّ، غَيْرَ أَنْ لَا تَطُوفِي بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِي

Maksudnya: “Lakukanlah apa yang dilakukan oleh jemaah haji, kecuali janganlah kamu melakukan bertawaf di Baitullah sehingga kamu suci.

Riwayat al-Bukhari (294) dan Muslim (1211)

Para fuqaha telah menyatakan ijma‘ bahawa sesiapa yang wukuf di Arafah dalam keadaan tidak suci (berhadas), maka dia tetap dianggap mendapat (ibadah) haji dan tidak dikenakan apa-apa hukuman ke atasnya. Ini seperti yang disebut oleh Imam Ibn al-Munzir dalam kitab al-Ijma‘ (hlm. 57).

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa wukuf jemaah haji di Arafah dalam keadaan junub, begitu juga wukuf wanita dalam keadaan haid, adalah sah dari sudut syarak, dan tiada apa-apa dikenakan ke atas mereka serta tiada sebarang kesalahan.

Antara amalan yang digalakkan ketika berwukuf bagi wanita haid adalah dengan banyakkan berzikir dan berdoa kepada Allah. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW: Daripada ‘Amr bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya, bahawa Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: “Sebaik-baik perkataan yang diucapkan oleh aku dan para Nabi sebelumku adalah: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ (Tiada Tuhan melainkan Allah, Dia Esa dan tiada sekutu bagi-Nya, Dia memiliki Kerajaan dan segala puji adalah untuk-Nya, dan Allah Maha berkuasa atas segala sesuatu).[2]

Riwayat al-Tirmizi (3585), Ahmad (6961), Malik dalam al-Muwatta’ (726) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan (8391). Dinilai sebagai hasan dalam Sahih al-Tirmizi.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin. Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”