Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum seseorang itu meminta atau menuntut haknya? Sebagai contoh, dia memberikan pinjaman wang ringgit kepada rakannya, tetapi tidak dipulangkan semula. Adakah meminta itu menjadi kesalahan?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Syara‘ mengharuskan seseorang itu untuk menuntut haknya, berusaha dengan pelbagai cara untuk mengecapi hak tersebut, tidak kira sama ada dia sebenarnya memerlukan perkara yang dituntut itu atau tidak, terutamanya apabila dia tahu bahawa rakan yang meminjam wang darinya itu sengaja melewat-lewatkan bayaran semula. Meskipun begitu, sekiranya terbukti kesusahan serta keterdesakan rakannya itu, maka alangkah baiknya jika dia mampu bersabar dan memberikan kemaafan kepada rakannya baik bagi mengurangkan konflik dalam hubungan silaturahim.
Abu Hurairah R.A berkata, seorang lelaki datang bertemu Rasulullah SAW untuk menagih janjinya (hutangnya). Maka para sahabat marah kepadanya, lalu Baginda SAW bersabda:
دَعُوهُ، فَإِنَّ لِصَاحِبِ الحَقِّ مَقَالًا
Maksudnya: “Biarkanlah dia, kerana dia (pemiutang) mempunyai hak dalam menuntut.”
Riwayat al-Bukhari (2390) dan Muslim (1601)
Ibn al-Athir menghuraikan hadith ini seraya berkata, lelaki tersebut mempunyai kebebasan untuk bersuara, keizinan untuk berbicara, dan keluasan untuk menegakkan hujahnya. (Lihat al-Syafi fi Syarh Musnad al-Syafi‘i, 4/153)
Abu al-‘Abbas al-Qurtubi pula berkata, yang dimaksudkan dengan “hak dalam menuntut” adalah hak untuk menuntut, dan kekuatan hujah, namun ia hanya terhadap orang yang melengahkan atau memperlakukan secara buruk. Adapun sesiapa yang berlaku adil terhadap dirinya sendiri — lalu dia memberikan apa yang ada padanya, serta memohon maaf atas apa yang tidak dimilikinya — maka hendaklah diterima keuzurannya, dan tidak dibenarkan memperbesarkan tuntutan terhadapnya atau mengherdiknya. (Lihat al-Mufhim li ma Asykala min Talkhis Kitab Muslim, 4/509)
Maka jelas di sini, seseorang itu memang dibenarkan oleh syara‘ untuk menuntut haknya dari orang lain, dengan mengucapkan kata-kata yang kebiasaannya digunakan dalam menuntut haknya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 11/38)
Maka, kami katakan kepada saudara yang bertanya, menuntut hak yang memang benar-benar milik kita bukanlah satu kesalahan. Akan tetapi, cubalah gunakan bahasa yang baik dan penuh tertib adab agar tidak mengguris perasaan orang yang berhutang tersebut, sehingga akhirnya mencetuskan perbalahan antara dua pihak. Firman-Nya:
فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَأَصْلِحُوا۟ ذَاتَ بَيْنِكُمْ ۖ
Maksudnya: “Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu.”
(Surah al-Anfal: 1)
Kami juga nyatakan, peri pentingnya kita menunaikan amanah yang ditaklifkan kepada kita agar apa yang kita makan dan kita dapat dengan sifat amanah jauh lebih baik kesannya daripada tidak beramanah seperti curi tulang, ponteng kerja, mungkir janji dan lain lain.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ، وَالأَهْوَاءِ، وَالأَسْوَاءِ، وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahu a‘lam