Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum berehat semasa tawaf? Saya seorang lelaki yang telah lanjut usia dan tidak mampu menyempurnakan tawaf secara sekaligus. Maka saya duduk sebentar untuk menarik nafas agar saya mampu meneruskan tawaf. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan tawaf. Secara ringkasnya, tawaf dari segi bahasa bermaksud sesuatu yang berpusing-pusing mengelilingi sesuatu. Manakala dari segi istilah, ia bermaksud beribadah kepada Allah SWT dengan cara mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali pusingan berserta doa. (Lihat al-Ta‘rifat al-Fiqhiyyah, hlm. 138;  al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/120; Mausu‘ah al-Fiqh al-Islami, 3/286).

Di antara dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan tawaf ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَعَهِدْنَا إِلَىٰ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ أَن طَهِّرَا بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْعَاكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ

Maksudnya: “Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): ‘Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjidil Haram daripada segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud.’”

(Surah al-Baqarah: 125)

Ayat di atas menunjukkan kepada pensyariatan ibadah tawaf di Baitullah, dan ia termasuk dalam ibadah kepada Allah yang dikerjakan sejak dahulu lagi. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, 2/172).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, hukum taklifi bagi berehat semasa tawaf menurut para fuqaha bergantung kepada sejauh mana mereka mensyaratkan syarat berturut-turut (muwalah) dalam tawaf dan perkara yang membatalkannya. Maka menurut mazhab Hanafi, Syafi‘i (pada pendapat yang lebih zahir), dan Hanbali (dalam satu riwayat): muwalah adalah termasuk dalam sunat-sunat tawaf. Oleh itu, meninggalkannya tidak menjejaskan kesahan tawaf, walaupun ia menjadikan perbuatan berehat ketika tawaf sebagai sesuatu yang makruh.

Imam al-Nawawi berkata dalam Raudhah al-Talibin (3/84) ketika menyenaraikan kewajipan-kewajipan tawaf: “Kewajipan kelapan: yang diperselisihkan, iaitu muwalah (berturut-turut) antara tujuh pusingan tawaf. Dalam hal ini terdapat dua pendapat: pendapat yang lebih zahir ialah bahawa ia adalah sunat, maka tawaf tidak terbatal dengan pemisahan (antara pusingan) yang panjang.”

Ibn Abi Umar Syams al-Din Ibn Qudamah menyatakan  dalam al-Syarh al-Kabir (3/400): “Berturut-turut (muwalah) dalam tawaf adalah sunat, dan ini merupakan pendapat golongan Ashab al-Ra’yi (ulama Hanafiyyah); berdasarkan qiyas dengan sa’i di antara Safa dan Marwah.”

Begitu juga, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dalam fatwanya berkaitan isu ini menyatakan bahawa: berehat semasa tawaf disebabkan uzur — seperti tidak mampu menyempurnakannya sekaligus — serta rehat yang singkat yang tidak memutuskan muwalah (turutan antara pusingan), tidak menjejaskan kesahihan tawaf. Hal ini tidak menjadi khilaf dalam kalangan para fuqaha kerana rehat tersebut tidak memberi kesan terhadap muwalah.

Adapun rehat yang panjang tanpa sebarang uzur, meskipun ia tidak menjejaskan kesahihan tawaf, namun yang lebih utama adalah meninggalkannya sebagai langkah ihtiyat (berhati-hati), dengan mengambil kira pendapat dalam kalangan fuqaha yang menganggapnya boleh memberi kesan terhadap kesahihan tawaf.

Berdasarkan penjelasan di atas, dapat disimpulkan bahawa berehat seketika semasa tawaf kerana uzur seperti keletihan, terutamanya bagi mereka yang sudah lanjut usia dan tidak mampu menyempurnakan pusingan tawaf secara sekaligus, tidak menjejaskan kesahihan tawaf selagi mana rehat itu tidak terlalu panjang hingga memutuskan turutan pusingan. Rehat dalam keadaan ini dianggap tidak memberi kesan terhadap pelaksanaan tawaf dan tidak menimbulkan sebarang dosa, bahkan dibenarkan atas dasar keuzuran. Walau bagaimanapun, jika rehat dilakukan tanpa sebab yang munasabah dan dalam tempoh yang panjang, maka adalah lebih baik untuk dielakkan sebagai langkah berhati-hati terhadap kesempurnaan ibadah.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ii kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Wallahua‘lam