Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin tahu, adakah benar terdapat hadith sahih yang menyatakan bahawa kita perlu membaca doa “اللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ” sebanyak tujuh kali selepas Subuh dan selepas Maghrib?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Diriwayatkan daripada Nabi SAW, baginda bersabda:

إِذَا صَلَّيْتَ الصُّبْحَ، فَقُلْ قَبْلَ أَنْ تُكَلِّمَ أَحَدًا مِنَ النَّاسِ: “اللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ” سَبْعَ مَرَّاتٍ، فَإِنْ مِتَّ مِنْ يَوْمِكَ ذَلِكَ، كَتَبَ اللَّهُ لَكَ جِوَارًا مِنَ النَّارِ، وَإِذَا صَلَّيْتَ الْمَغْرِبَ، فَقُلْ قَبْلَ أَنْ تُكَلِّمَ أَحَدًا مِنَ النَّاسِ: “اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ، اللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ” سَبْعَ مَرَّاتٍ، فَإِنْ مِتَّ مِنْ لَيْلَتِكَ، كَتَبَ اللَّهُ لَكَ جِوَارًا مِنَ النَّارِ.

Maksudnya: “Apabila kamu menunaikan solat Subuh, maka bacalah sebelum kamu berbicara dengan sesiapa: ‘Ya Allah, lindungilah aku daripada api neraka’ sebanyak tujuh kali. Sekiranya kamu mati pada hari itu, Allah akan menuliskan untukmu perlindungan daripada neraka. Dan apabila kamu menunaikan solat Maghrib, maka bacalah sebelum kamu berbicara dengan sesiapa: ‘Ya Allah, sesungguhnya aku memohon syurga daripada-Mu. Ya Allah, lindungilah aku daripada api neraka’ sebanyak tujuh kali. Sekiranya kamu mati pada malam itu, Allah akan menuliskan untukmu perlindungan daripada api neraka.”

Riwayat Ahmad (17362), Abu Dawud (5079). Hadith ini dinilai dha‘if sebagaimana dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha‘ifah (no. 1624).

Hadith ini dinilai dha‘if oleh sebahagian ulama’ sebagimana yang disebut dalam Silsilah al-Ahadith al-Da‘ifah (no. 1624) kerana terdapat kelemahan dalam sanadnya yang mana adanya perawi majhul (tidak dikenali) dalam jalur periwayatannya.

Namun, sebahagian ulama’ menghasankan hadith ini seperti al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, sebagaimana dinukil oleh Syeikh Nasiruddin al-Albani sendiri dalam al-Silsilah al-Dha’ifah (1624). Al-Munziri juga menyebutkan hadith ini dalam al-Targhib wa al-Tarhib (2/98) tanpa menolaknya, yang menunjukkan ia mempunyai asas dalam fadhail al-a‘mal.

Selain itu, Sayyid Sabiq dalam kitab Fiqh al-Sunnah telah memasukkan zikir ini dalam senarai zikir yang dianjurkan selepas solat Subuh dan Maghrib. Jika ditanya mengenai kelebihan zikir ini dalam menjauhkan seseorang daripada api neraka, maka inilah yang disebut dalam hadith yang diperselisihkan statusnya oleh para ulama. Tambahan pula, hadith ini tidak disepakati sebagai lemah secara mutlak. Justeru, tidak mengapa untuk mengamalkan zikir ini, sekurang-kurangnya sebagai salah satu bentuk memperbanyakkan zikir selepas solat — suatu waktu yang memang disyariatkan untuk memperbanyakkan doa dan zikir kepada Allah SWT dengan syarat tidak menganggap ia adalah zikir yang tetap dan pasti daripada Nabi SAW.

Justeru,  hadith ini boleh digunakan dalam bab Fadhail al-A’mal sebagaimana pegangan majoriti ulama hadis. Hal ini kerana pendapat Jumhur ulama’ hadith menyatakan bahawa hadith dha‘if boleh diamalkan dalam fadhail al-‘amal sahaja, bukan dalam hukum, dengan syarat-syarat berikut:

  • Tidak terlalu lemah.
  • Ada asal dalam agama bagi amalan tersebut.
  • Tidak beriktikad bahawa Nabi SAW melakukannya secara pasti.
  • Hanya diamalkan dalam konteks galakan atau kelebihan amal (fadhail).

Maka hadith “اللهم أجرني من النار” boleh diamalkan dalam konteks fadhail al-‘amal dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Walaupun begitu, terdapat hadith lain yang sahih dan boleh menjadi galakan umum kepada umat Islam untuk berdoa memohon syurga dan berlindung daripada neraka. Ini berdasarkan riwayat daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ سَأَلَ اللَّهَ الْجَنَّةَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، قَالَتِ الْجَنَّةُ: اللَّهُمَّ أَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ، وَمَنْ اسْتَجَارَ مِنَ النَّارِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، قَالَتِ النَّارُ: اللَّهُمَّ أَجِرْهُ مِنَ النَّارِ.

Maksudnya: “Sesiapa yang meminta syurga daripada Allah sebanyak tiga kali, maka syurga akan berkata: Ya Allah, masukkan dia ke dalam syurga. Dan sesiapa yang meminta perlindungan daripada neraka sebanyak tiga kali, maka neraka akan berkata: Ya Allah, lindungilah dia daripada neraka.”

Riwayat al-Tirmizi (2572), Ibn Majah (4340). Hadith ini dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami‘ (6275).

Al-Mulla Ali al-Qari berkata: Sesiapa yang memohon syurga kepada Allah — iaitu dengan berkata: “اللهم إني أسألك الجنة” (Ya Allah, aku memohon kepada-Mu syurga), atau “اللهم أدخلني الجنة” (Ya Allah, masukkan aku ke dalam syurga), dan lafaz yang kedua ini lebih zahir — sebanyak tiga kali, iaitu dia mengulanginya sama ada dalam beberapa majlis ataupun dalam satu majlis secara bersungguh-sungguh dan berulang-ulang, sebagaimana yang telah sabit sebagai antara adab dalam berdoa. Inilah makna zahir yang segera difahami, dan ada juga kemungkinan maksud tiga kali itu ialah pada tiga keadaan yang berbeza: ketika melaksanakan ketaatan, ketika menjauhi maksiat, dan ketika ditimpa musibah. Atau ketika membenarkan, mengaku, dan mengamalkannya.

Lalu syurga berkata, sama ada dengan makna sebenar atau dengan lidah perkhabaran (majaz), kerana Allah SWT berkuasa menjadikan benda-benda mati berbicara. Atau yang dimaksudkan dengan ‘syurga berkata’ ialah para penghuninya seperti bidadari, anak-anak kecil, atau malaikat penjaganya. “Ya Allah, masukkanlah dia ke dalam syurga” — iaitu samada sebagai kemasukan yang segera (awal) ataupun kemasukan yang lambat (akhir).

Dan sesiapa yang memohon perlindungan daripada neraka, iaitu dia meminta dijauhkan daripadanya, dengan berkata: “اللهم أجرني من النار” (Ya Allah, lindungilah aku daripada api neraka), sebanyak tiga kali, maka neraka akan berkata: “Ya Allah, lindungilah dia daripada api neraka”, iaitu: selamatkanlah dia atau peliharalah dia — sama ada daripada memasukinya ataupun daripada kekal di dalamnya. (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 4/1716)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hadith yang menyebutkan kelebihan membaca “اللهم أجرني من النار” sebanyak tujuh kali selepas Subuh dan Maghrib adalah hadith yang diperselisihkan kesahihannya. Ia dinilai dha‘if oleh sebahagian ulama’, namun ada juga yang menghasankannya seperti al-Hafiz Ibn Hajar. Justeru, hadith ini masih boleh diamalkan dalam bab fadhail al-‘amal, bukan dalam menetapkan hukum, dengan mematuhi syarat-syarat yang telah disebutkan oleh jumhur ulama’.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik serta menambahkan semangat untuk memperbanyakkan doa kepada Allah SWT agar dijauhkan dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga-Nya. Amin.

Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلكَ رِضَاكَ وَالجَنَّةَ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ سَخَطِكَ واَلنَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu keredhaan-Mu dan syurga, dan kami berlindung kepada-Mu daripada kemurkaan-Mu dan neraka.”