Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah puasa terbatal disebabkan seseorang membersihkan telinganya di klinik semasa dia berpuasa? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”

(Surah al-Baqarah :187)

Makan dan minumlah sehingga jelas bagimu cahaya fajar dari kegelapan malam, dengan terbitnya fajar sadiq. Kemudian sempurnakanlah puasa dengan menahan diri dari makanan dan minuman hingga masuk waktu malam dengan terbenamnya matahari. (Lihat Tafsir al-Muyassar,1/29)

Hakikat puasa ialah: menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sadiq hingga terbenam matahari beserta niat. Penahanan tersebut tidak dikira sah sekiranya terdapat sesuatu yang mempunyai jisim masuk ke dalam rongga melalui saluran terbuka ke tubuh; jika tidak, maka rukun puasa dianggap tidak wujud, dan menunaikan ibadah tanpa rukunnya adalah sesuatu yang tidak tidak sah.

Dalam menjawab persoalan di atas, isu ini merupakan isu yang diperselisihi dikalangan ulama.  Imam al-Nawawi menyebutkan, sekiranya seseorang menitiskan sesuatu ke dalam telinganya berupa air, minyak atau sebagainya, lalu titisan itu sampai ke bahagian otak, maka terdapat dua pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i. Pendapat pertama yang merupakan pendapat yang paling sahih (asah) menyatakan, ia membatalkan puasa. Ini merupakan pendapat yang diputuskan oleh pengarang al-Muhazzab dan jumhur ulama sebagaimana disebutkan oleh pengarang al-Muhazzab.

Manakala pendapat kedua pula menyatakan, ia tidak membatalkan puasa. Ini merupakan pendapat Abu Ali al-Sinji, al-Qadhi Husain dan al-Furani, serta pendapat ini juga telah disahihkan oleh Imam al-Ghazali bahawa ia sama seperti hukum bercelak. Mereka mendakwa bahawa telinga bukanlah rongga yang sampai terus ke bahagian otak, sebaliknya ia sampai melalui ruang pori-pori sebagaimana bercelak. Hal ini sebagaimana juga sekiranya seseorang menyapu minyak pada perutnya, sesungguhnya pori-pori (liang roma) akan menyerapnya dan ia tidak membatalkan puasa berbeza halnya dengan hidung kerana ubat yang dimasukkan ke hidung sampai darinya ke bahagian otak melalui rongga yang terbuka (manfaz maftuh). (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/314-315).

Dalam isu ini, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah: “Sesungguhnya membersihkan telinga dengan cecair — sama ada dilakukan oleh doktor atau oleh individu itu sendiri — semasa berpuasa: tidak membatalkan puasa selagi mana gegendang telinga berada dalam keadaan baik dan menghalang cecair tersebut daripada sampai terus ke tekak. Maka puasanya adalah sah ketika itu, sama ada terasa kesan titisan tersebut di tekak atau tidak. Inilah pendapat yang dipilih untuk dijadikan fatwa. Namun, sekiranya doktor mengesahkan bahawa terdapat lubang pada gegendang telinga yang membolehkan cecair tersebut sampai terus ke tekak, maka ketika itu ia membatalkan puasa.”

Kesimpulannya, tindakan membersihkan telinga ketika berpuasa bukanlah sesuatu yang secara automatik membatalkan puasa. Selagi tiada bukti kukuh bahawa cecair yang digunakan telah sampai ke bahagian dalam seperti tekak melalui saluran terbuka akibat kecacatan pada gegendang telinga, maka hukum puasanya kekal sah. Ini menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang meraikan keadaan semasa dan tidak membebankan tanpa sebab yang jelas. Maka, sebarang bentuk keraguan berkaitan batalnya puasa perlu dinilai berdasarkan fakta perubatan dan pandangan fuqaha’, bukannya semata-mata andaian atau kebimbangan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam