Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum melakukan sa‘ie bagi wanita yang haid? Terdapat seorang wanita yang telah pergi menunaikan umrah, dan setelah selesai melakukan tawaf serta solat dua rakaat sunat tawaf, sebelum memulakan sa‘ie, dia didatangi haid dan tidak dapat menunggu sehingga suci kerana tarikh perjalanan pulang telah ditetapkan. Maka dia telah menyempurnakan sa‘ienya dalam keadaan tersebut. Soalannya, apakah hukum sa‘ienya dan umrahnya? Adakah dia dikenakan apa-apa kewajipan? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِن شَعَائِرِ اللَّهِ ۖ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَن يَطَّوَّفَ بِهِمَا ۚ وَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَإِنَّ اللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya Safa dan Marwah itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersa‘i (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang mengerjakan amalan kebajikan secara sukarela, maka ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Menghargai amalan hamba-Nya, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Baqarah: 158)
Imam al-Baghawi berkata, ayat ini diturunkan kerana Safa dan Marwah itu dahulunya terdapat dua berhala; Asaf dan Na’ilah. Dikatakan bahawa Asaf ini berada di Safa, manakala Na’ilah berada di Marwah. Orang Jahiliyyah dahulu tawaf di antara Safa dan Marwah bagi mengagungkan dua berhala tersebut sambil menyentuhnya. Apabila Islam datang, berhala-berhala tersebut dihapuskan kerana orang Islam kurang berkenan untuk melakukan sa‘i antara Safa dan Marwah. Lalu, Allah SWT mengizinkan umat Islam melakukan sa‘i dan mengkhabarkan kepada mereka bahawa Safa dan Marwah itu adalah syi‘ar-Nya. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 1/173)
Kami mulakan jawapan kami dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan sa‘ie. Sa‘ie dari segi bahasa bermaksud usaha atau bekerja. Ia juga boleh diertikan sebagai mempercepatkan berjalan tanpa berlari. Seterusnya, bersa‘ie antara Safa dan Marwah pula merujuk kepada perbuatan tawaf antara keduanya sebanyak tujuh kali (pusingan). (Lihat Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’, hlm. 244).
Amalan sa‘ie ini hukumnya adalah wajib mengikut pendapat ulama mazhab Hanafi. Sedangkan ia adalah rukun mengikut pendapat jumhur ulama termasuklah ulama mazhab Syafi‘i. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/180).
Wanita Haid Melakukan Sa‘ie
Berbalik kepada soalan yang diajukan, suci daripada hadas merupakan salah satu sunat sa‘ie yang digalakkan untuk dijaga oleh orang yang sedang berihram, sekiranya dia mampu. Maka disunatkan baginya untuk melakukan sa‘ie antara Safa dan Marwah dalam haji atau umrah dalam keadaan suci. Namun begitu, sa‘ie tetap sah walaupun tanpa suci, kerana para fuqaha’ telah menyatakan bahawa sa‘ie orang yang berhadas, wanita haid, dan orang junub adalah sah selepas mereka menyempurnakan tawaf dengan sempurna, tanpa dikenakan apa-apa kewajipan ke atas mereka.
Maka jika seorang wanita didatangi haid ketika hendak memulakan sa‘ie atau semasa melakukannya, setelah dia menyempurnakan tawaf di Baitullah, dan dia tidak dapat menunggu sehingga suci kerana tidak mahu tertinggal daripada rombongannya, atau kerana kekangan masa dan keperluan untuk pulang, atau kerana alasan lain yang munasabah, lalu dia menyempurnakan sa‘ienya dalam keadaan tidak suci, maka tidak berdosa dan tidak mengapa baginya. Sa‘ienya dan umrahnya adalah sah dari sudut syarak, dan dia tidak wajib membayar apa-apa fidyah atau tanggungan lain; kerana suci bukanlah rukun dan bukan juga syarat sah bagi sa‘ie sama ada dalam umrah mahupun dalam haji. Perkara ini telah disepakati oleh jumhur fuqaha daripada kalangan mazhab Hanafi, Maliki, Syafi‘i dan Hanbali.
Imam Zainuddin Ibn Nujaim al-Hanafi menyebutkan dalam al-Bahr al-Ra’iq (2/357) ketika membincangkan tentang sunat-sunat sa‘ie: “Sunatnya ialah bersambung dengan tawaf, seperti juga bersuci; maka sah sa‘ie bagi wanita yang haid dan orang yang berjunub.”
Kenyataan ini menunjukkan bahawa bersuci (dalam keadaan suci) dikira sebagai salah satu sunat sa‘ie, sama seperti menyambungkan sa‘ie dengan tawaf.
Manakala Imam Abu al-Hasan al-Lakhmi al-Maliki pula menyebutkan, haid menghalang daripada empat jenis ibadah iaitu: solat, puasa, iktikaf – kerana ia mengandungi solat dan puasa – dan tawaf di Baitullah; namun ia tidak menghalang daripada sa‘ie antara Safa dan Marwah, serta wukuf di Arafah. (Lihat al-Tabsirah, 1/216).
Adapun kenyataan Imam Dhiya’uddin Khalil al-Maliki dalam Mukhtasarnya (hlm. 70): “Dan bagi sa‘ie itu syarat-syarat seperti solat,” maka yang dimaksudkan dengannya ialah perkara-perkara sunatnya, sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Syihabuddin al-Nafrawi dalam al-Fawakih al-Dawani (1/360.
Syeikh ‘Illisy juga ada menyebutkan dalam Manh al-Jalil (2/273) bahawa sunat bagi sa‘ie syarat-syarat solat yang boleh dilaksanakan padanya. Maka tidak disunatkan menghadap kiblat kerana tidak dapat dilakukan dalam sa‘ie. Jika seseorang itu batal wuduknya, atau teringat ada najis, atau dalam keadaan janabah, maka disunatkan baginya untuk bersuci, kemudian menyambung semula sa‘ienya.
Imam al-Nawawi al-Syafi‘i turut menyebutkan dalam al-Majmu‘ (8/79) bahawa mazhab kami dan mazhab jumhur ulama mengatakan sesungguhnya sa‘ie adalah sah dilakukan oleh orang yang berhadas, orang junub dan wanita haid.
Demikian juga Imam al-Nawawi dalam kitabnya yang lain ada menyebutkan bahawa di antara perkara-perkara sunat sa‘ie adalah melakukannya dalam keadaan bersuci (daripada hadas) dan menutup aurat. Jika dia melakukan sa‘ie dalam keadaan terdedah auratnya, berhadas, berjunub, haid atau menanggung najis, hukum sa‘ienya tetap dikira sah. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, hlm. 200).
Imam Abu al-Qasim al-Khiraqi al-Hanbali menyatakan dalam Mukhtasarnya (hlm. 58), sesiapa yang melakukan sa‘ie antara Safa dan Marwah dalam keadaan tidak suci, kami memakruhkannya, namun sa‘ienya tetap sah dan memadai (yakni tidak perlu diulang semula).
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah ketika menjelaskan hukum-hakam sa‘ie menyatakan, adapun bersuci (dalam keadaan suci): maka ia disunatkan, namun bukanlah satu syarat; inilah yang dinyatakan secara jelas oleh beliau (pengarang). Maka jika seseorang telah tawaf di Baitullah, kemudian keluar untuk melakukan sa‘ie, lalu dia didatangi haid, maka hendaklah dia teruskan sa‘ienya; sesungguhnya perkara itu tidak memudaratkannya, dan tiada apa-apa kewajipan ke atasnya. (Lihat Syarh al-‘Umdah – Kitab al-Hajj, 2/640).
Ijma‘ tentang sahnya sa‘ie tanpa suci dan bahawa ia mencukupi (sudah memadai) bagi orang yang melakukannya telah dinukilkan oleh ramai ulama, seperti Imam Ibn al-Munzir dalam kitab al-Ijma‘ (hlm. 56) dan Imam Ibn ‘Abd al-Barr dalam al-Istizkar (4/207).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada kenyataan di atas, jelaslah bahawa sesungguhnya suci daripada hadas adalah salah satu daripada sunat-sunat sa‘ie yang digalakkan untuk dijaga oleh orang yang berihram selama mana dia mampu, namun sa‘ie tetap sah dan mencukupi (menggugurkan kewajipan) walaupun tanpa bersuci. Maka, sekiranya seorang wanita didatangi haid ketika hendak melakukan sa‘ie atau semasa melakukannya, selepas dia menyempurnakan tawafnya, maka dia dibolehkan untuk meneruskan sa‘ie, sama ada dalam ibadah haji atau umrah. Sa‘ie wanita yang disebutkan adalah sah dari sudut syarak, tiada dosa ke atasnya, tiada sebarang keaiban, dan dia tidak dikenakan apa-apa fidyah atau bayaran gantian yang lain.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”