Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Seseorang menunaikan haji atau umrah, tetapi dia tidak menziarahi makam Rasulullah SAW. jadi, bagaimanakah status haji atau umrahnya itu? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ
Maksudnya: “Dan sempurnakanlah Ibadat Haji dan Umrah kerana Allah..”
(Surah al-Baqarah :196)
Ayat di atas bermaksud lakukanlah kedua-duanya dengan sempurna. Dalam ayat di atas, digunakan kalimat perintah pada haji dan umrah yang menunjukkan kepada kefardhuan kedua-duanya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/315).
Dalam menjawab persoalan ini, kami katakan bahawa Islam mengajarkan bahawa perjalanan khusus untuk beribadah hanya boleh ditujukan kepada tiga masjid utama, iaitu Masjidil Haram, Masjid Nabawi, dan Masjid al-Aqsa, seperti yang disebutkan dalam hadith. Larangan untuk melakukan perjalanan khusus bagi tujuan mengagungkan atau beribadah di tempat selain daripada tiga masjid utama ini bertujuan untuk mencegah amalan yang boleh membawa kepada pengagungan tempat-tempat lain yang tidak disyariatkan dalam Islam. Hanya tiga masjid ini yang diberi keutamaan khusus, manakala tempat-tempat lain boleh dikunjungi untuk tujuan yang diharuskan seperti menuntut ilmu atau menziarahi dan sebagainya, yang bukan semata-mata untuk beribadah.
Imam al-Nawawi menyatakan, apabila para jemaah haji dan umrah berangkat meninggalkan Makkah, hendaklah mereka menuju ke Madinah, iaitu kota Rasulullah SAW, untuk menziarahi makam baginda SAW. Ini kerana ia termasuk dalam amalan yang paling utama untuk mendekatkan diri kepada Allah dan antara usaha yang paling berjaya. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 447).
Namun, menziarahi makam Nabi SAW bukanlah satu kewajipan dalam agama, dan sesiapa yang tidak menziarahi Baginda tidak boleh dianggap sebagai orang yang menjauhi Rasulullah SAW. Apatah lagi, ziarah ini tidak ada kaitan khusus dengan ibadah haji (atau umrah). Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa, sama ada sebelum atau selepas menunaikan haji. Sebahagian jemaah haji menyangka bahawa ziarah ini mempunyai hubungan langsung dengan ibadah haji, tetapi anggapan ini tidak benar. Namun, bagi mereka yang datang dari tempat yang jauh dan hanya berpeluang menziarahi Madinah semasa musim haji, maka mereka boleh mengambil kesempatan ini kerana lebih mudah bagi mereka berbanding melakukan perjalanan semula pada masa lain.
Demikian juga Dr. Ali Jum‘ah turut menyatakan bahawa menziarahi makam Rasulullah SAW adalah suatu sunat yang diberikan ganjaran besar bagi sesiapa yang melakukannya, namun sesiapa yang meninggalkannya tidak berdosa dan ia tidak menjejaskan kesahihan haji atau umrahnya; kerana ziarah, walaupun sangat mulia kedudukannya, bukanlah daripada rukun-rukun haji mahupun umrah. Namun begitu, berpaling daripadanya (tidak menziarahi Nabi SAW) dianggap suatu bentuk ketandusan adab, sebagaimana yang disebut dalam hadis yang mulia.
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa sekiranya seseorang jemaah haji atau umrah telah menunaikan seluruh manasik haji dengan lengkap beserta syarat-syarat dan rukunnya, maka ibadah tersebut adalah dianggap sah, sekalipun dia tidak menziarahi makam Nabi SAW kerana menziarahinya bukan satu kewajipan dalam Islam dan tidak ada kaitan khusus dengan ibadah haji atau umrah. Namun begitu, ia tetap merupakan amalan yang dianjurkan bagi mereka yang berkesempatan untuk mengunjungi Madinah, bahkan sebahagian ulama berpendapat, sengaja meninggalkannya tanpa sebarang sebab yang munasabah boleh dianggap sebagai suatu bentuk ketandusan adab.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”