Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah dibolehkan untuk seseorang itu memohon kepada Allah agar diberikan semua tingkatan syurga, dari tingkat paling bawah hingga yang paling tinggi? Atau adakah disarankan hanya untuk memohon syurga Firdaus atau darjat tertentu sahaja?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Dalam hal memohon syurga dan kedudukan dalamnya, terdapat hadith sahih yang jelas menunjukkan galakan untuk meminta syurga Firdaus — yang merupakan darjat tertinggi dan paling utama dalam syurga.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ فِي الْجَنَّةِ مِائَةَ دَرَجَةٍ أَعَدَّهَا اللَّهُ لِلْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ، مَا بَيْنَ الدَّرَجَتَيْنِ كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ ، فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَاسْأَلُوهُ الْفِرْدَوْسَ ؛ فَإِنَّهُ أَوْسَطُ الْجَنَّةِ ، وَأَعْلَى الْجَنَّةِ ، أُرَاهُ فَوْقَهُ عَرْشُ الرَّحْمَنِ ، وَمِنْهُ تَفَجَّرُ أَنْهَارُ الْجَنَّةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya dalam syurga terdapat seratus darjat yang disediakan Allah untuk para mujahidin di jalan-Nya. Jarak antara dua darjat seperti jarak antara langit dan bumi. Maka jika kamu memohon kepada Allah, mohonlah syurga Firdaus, kerana ia adalah syurga yang paling tinggi dan paling utama; di atasnya terdapat Arasy ar-Rahman, dan daripadanya mengalir sungai-sungai syurga.”

Riwayat al-Bukhari (2790)

Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan: “Hadith ini menunjukkan bahawa Firdaus terletak di atas seluruh syurga. Oleh itu, Nabi SAW mengajar umatnya dan mendorong mereka agar berazam tinggi dengan meminta syurga Firdaus.” (Lihat Fath al-Bari, 6/11)

Ibn al-Qayyim pula menyatakan: “Syurga Firdaus adalah syurga yang paling tinggi, paling mulia, paling bercahaya dan paling agung kerana kedudukannya paling hampir dengan Arasy.” (Lihat al-Fawa’id, hlm. 27)

Maka syurga al-Firdaus adalah darjat tertinggi di dalam syurga, dan Nabi SAW telah menganjurkan umat Islam agar memohon kepada Allah SWT untuk mendapatkan al-Firdaus serta berdoa agar dianugerahkan darjat yang tinggi ini di syurga. Namun, hal ini tidak akan tercapai melainkan dengan kesungguhan yang bersungguh-sungguh dalam mencapainya, dan dengan mengambil segala sebab yang boleh membawa kepada pencapaian tersebut — bukan sekadar dengan angan-angan dan keinginan semata-mata.

Oleh itu, tidak disyariatkan bagi seorang hamba untuk meminta agar diturunkan ke setiap darjat dalam syurga. Sebaliknya, disyariatkan untuk dia meminta syurga al-Firdaus al-A‘la, kemudian berusaha mencapainya dengan ketakwaan dan amal soleh. Hal ini kerana, apabila seseorang itu mendiami syurga yang paling tinggi, maka dia tidak akan terlepas daripada sebarang kenikmatan yang ada pada darjat-darjat yang lebih rendah daripadanya, maka dia tidak lagi perlu meminta darjat yang lebih rendah.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa Islam menganjurkan umatnya untuk berazam tinggi dalam memohon syurga, khususnya dengan meminta syurga Firdaus — iaitu darjat paling tinggi dalam syurga yang terletak paling hampir dengan ‘Arasy. Tidak terdapat nas yang menganjurkan agar seseorang memohon untuk diberikan semua tingkatan syurga dari bawah ke atas. Bahkan, Nabi SAW sendiri mengajarkan umatnya untuk terus meminta Firdaus sebagai matlamat tertinggi. Maka, memohon kepada Allah akan syurga Firdaus adalah sebaik-baik permintaan dalam soal ganjaran akhirat. Namun permintaan ini perlu diiringi dengan kesungguhan amal soleh dan ketaqwaan sebagai jalan menuju pencapaiannya — bukan semata-mata angan-angan kosong yang tidak disertai usaha.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik serta menambahkan semangat untuk terus beramal demi mendapatkan tempat tertinggi di sisi Allah SWT. Amin. 

Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلكَ رِضَاكَ وَالجَنَّةَ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ سَخَطِكَ واَلنَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu keredhaan-Mu dan syurga, dan kami berlindung kepada-Mu daripada kemurkaan-Mu dan neraka.”