Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, apakah benar terdapat kedudukan tertinggi dalam syurga yang dinamakan al-Wasilah, dan adakah Nabi SAW menganjurkan kita untuk mendoakan agar Baginda mendapat kedudukan tersebut?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Menjawab persoala di atas, benar bahawa terdapat satu kedudukan tertinggi dalam syurga yang dikenali sebagai al-Wasilah, dan Nabi SAW telah menganjurkan umatnya agar memohon kepada Allah supaya Baginda diberikan darjat tersebut. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam hadith sahih sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ ، فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَيَّ ، فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا، ثُمَّ سَلُوا اللهَ لِيَ الْوَسِيلَةَ ، فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِي الْجَنَّةِ ، لَا تَنْبَغِي إِلَّا لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللهِ ، وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ، فَمَنْ سَأَلَ لِي الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ

Maksudnya: “Apabila kamu mendengar muazzin azan, maka ucapkanlah seperti mana yang dia ucapkan. Kemudian berselawatlah ke atasku, kerana sesiapa yang berselawat ke atasku sekali, Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali. Kemudian mohonlah kepada Allah untukku al-Wasilah, sesungguhnya ia adalah satu kedudukan dalam syurga yang tidak layak melainkan untuk seorang hamba daripada hamba-hamba Allah, dan aku berharap bahawa akulah orang itu. Maka sesiapa yang memohon al-Wasilah untukku, maka dia akan mendapat syafaatku.”

Riwayat Muslim (384)

Imam al-Nawawi menyatakan dengan jelas dalam syarahnya terhadap Sahih Muslim: “al-Wasilah adalah satu kedudukan dalam syurga yang tidak layak melainkan untuk seorang hamba, dan Nabi SAW berharap Bagindalah orangnya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 4/86)

Hadith ini turut dikuatkan oleh riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

(سَلُوا اللَّهَ لِيَ الوَسِيلَةَ) ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الوَسِيلَةُ ؟ ، قَالَ : ( أَعْلَى دَرَجَةٍ فِي الجَنَّةِ ؛ لَا يَنَالُهَا إِلَّا رَجُلٌ وَاحِدٌ ، أَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُو َ

Maksudnya: Mohonlah kepada Allah untukku al-Wasilah.” Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah al-Wasilah itu?” Baginda menjawab: “Ia adalah darjat paling tinggi di dalam syurga, yang tidak akan diperoleh kecuali oleh seorang sahaja. Aku berharap bahawa akulah orang itu.”

Riwayat al-Tirmizi (3612)

Begitu juga dengan riwayat Abu Sa‘id al-Khudri R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْوَسِيلَةُ دَرَجَةٌ عِنْدَ اللهِ لَيْسَ فَوْقَهَا دَرَجَةٌ ، فَسَلُوا اللهَ أَنْ يُؤْتِيَنِي الْوَسِيلَةَ

Maksudnya: “Al-Wasilah adalah satu darjat di sisi Allah, yang tiada darjat lain di atasnya. Maka mohonlah kepada Allah agar Dia menganugerahkan kepadaku al-Wasilah.”

Riwayat Ahmad (11783)

Kedua-duanya menegaskan kedudukan al-Wasilah sebagai darjat tertinggi yang hanya layak untuk seorang sahaja daripada kalangan manusia, dan Nabi SAW sangat berharap bahawa Bagindalah yang dimaksudkan.

Maka jelaslah berdasarkan riwayat-riwayat tersebut bahawa al-Wasilah adalah satu darjat dalam syurga, dan ia merupakan darjat yang paling tinggi di dalamnya, tiada darjat lain yang lebih tinggi daripadanya, dan tidak akan diperolehi kecuali oleh seorang lelaki sahaja, iaitu Nabi Muhammad SAW.

Nabi SAW adalah penghulu seluruh anak Adam, yang paling mulia dan paling tinggi darjatnya di sisi Allah, serta yang paling hampir kedudukannya kepada-Nya. Namun begitu, Baginda SAW tidak meminta kepada Allah semua darjat dalam syurga, dari yang paling rendah hingga ke yang tertinggi. Sebaliknya, Baginda hanya meminta satu darjat yang utama.

Maka jelas di sini, bahawa adalah sunnah dan anjuran yang sangat dituntut untuk umat Islam memohon kepada Allah SWT agar mengurniakan al-Wasilah kepada Nabi SAW setiap kali selepas mendengar azan, sebagai bentuk kasih dan penghargaan kepada Baginda.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa al-Wasilah adalah darjat tertinggi dalam syurga yang hanya layak untuk seorang hamba pilihan Allah SWT, dan Nabi SAW sendiri berharap agar Baginda adalah orang yang memperolehnya. Oleh itu, umat Islam dianjurkan untuk sentiasa memohon kepada Allah agar mengurniakan darjat ini kepada Rasulullah SAW setiap kali selepas azan, sebagai tanda cinta dan penghormatan kepada Baginda. Ia juga menjadi sebab untuk memperoleh syafaat Nabi SAW pada hari kiamat, sebagaimana disebut dalam hadith.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita kefahaman yang lebih mendalam tentang sunnah yang besar ini, dan mendorong kita untuk istiqamah melaksanakannya. Amin. 

Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”