Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimanakah cara yang betul untuk menyamakan saf solat antara orang yang solat secara berdiri dengan solat secara duduk di atas kerusi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Syara‘ amat menitikberatkan susunan saf dalam solat berjemaah sebagai manifestasi terhadap syiar solat. Justeru, majoriti fuqaha’ berpendapat bahawa ia adalah suatu perkara yang disunatkan, manakala sebahagian mereka berpandangan bahawa ia adalah wajib, namun kesemua mereka sepakat bahawa solat berjemaah tidak terbatal sekiranya saf tidak disusun dengan sempurna.

Anas R.A mengkhabarkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ، فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلاَةِ

Maksudnya: “Luruskan saf-saf kamu kerana meluruskan saf merupakan syarat kesempurnaan solat.”

Riwayat al-Bukhari (723) dan Muslim (433)

Ibn Battal menyebutkan, hadith ini menunjukkan bahawa meluruskan saf adalah sunat yang dituntut dan bukan suatu kewajipan; kerana sekiranya ia suatu kewajipan, nescaya Baginda SAW tidak akan mengklasifikasikan ia sebagai kesempurnaan solat. Hujjah lain yang membuktikan bahawa ia tidak wajib, kerana keelokan sesuatu perkara adalah tambahan kepada kesempurnaannya, dan ia juga merupakan tambahan kepada kewajipan. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 2/347)

Berbalik kepada persoalan saudara, jemaah yang mempunyai keringanan untuk menunaikan solat di atas kerusi ini mempunyai dua keadaan bagi meluruskan saf bersama orang yang solat secara berdiri:

Pertama: Ketika Dia Mampu untuk Berdiri Semasa Bacaan al-Fatihah

Dalam keadaan seseorang yang mampu berdiri semasa bacaan al-Fatihah, tetapi memerlukan kerusi semasa rukuk dan sujud, maka tumit kaki menjadi parameter untuk meluruskan saf dengan mereka yang solat secara berdiri. Beginilah yang disebutkan oleh fuqaha’ ketika membincangkan masalah ini, sepertimana disebutkan oelh Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari: “Perkara yang diambil kira dalam mendahului (terlebih ke hadapan) saf atau selainnya (terkebelakang) ialah kedudukan orang yang berdiri berdasarkan tumitnya.” (Lihat Asna al-Matalib, 1/222)

Oleh itu, dia perlu menyamakan kedudukan tumitnya dengan orang lain yang solat secara berdiri, dan kedudukan kerusinya terkebelakan sedikit dari saf. Hal ini dibolehkan selama mana diyakini tidak akan mengganggu orang lain yang akan solat di saf belakang.

Terkadang menjadi konflik di beberapa surau atau masjid, apabila kaki kerusi yang digunakannya itu mengganggu saf-saf belakang, sehingga mengakibatkan terputus saf. Maka ketika itu, orang yang bersolat menggunakan kerusi itu tidak perlu menyamakan tumitnya dengan orang lain, sebaliknya dia hanya perlu menyamakan kaki belakang kerusinya dengan tumit orang lain. Ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”

Riwayat Ibn Majah (2341)

Mudharat yang berlaku adalah terputusnya saf di belakang, sedangkan ia boleh disempurnakan dengan menyamakan kaki kerusi tersebut dengan tumit kaki orang sebelah.

Kedua: Ketika Dia Solat Secara Duduk Sepanjang Solat

Sebahagian orang yang diuji tidak mampu untuk mendirikan solat melainkan secara duduk sepanjang solat tersebut. Maka ketika itu, tempat duduknya menjadi parameter untuk meluruskan saf dengan mereka yang solat secara berdiri.

Imam Jalaluddin al-Isnawi berkata: “Sekiranya seseorang itu solat secara duduk, maka yang diambil kira adalah tempat duduknya dia, iaitu pada ilyah (punggung).” (Lihat al-Muhimmat, 3/321)

Segala usaha kita untuk meluruskan dan menjaga kesempurnaan saf ini bersesuaian dengan firman Allah SWT:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun: 16)

Ayat ini diturunkan sebagai keringanan kepada umat Islam supaya beribadah kepada-Nya sesuai dengan kemampuan mereka. Pada ayat ini juga terdapat tiga sudut makna, dan salah satunya ialah kesungguhan seseorang melakukan ibadah. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 8/144; al-Nukat wa al-‘Uyun, 6/26)

Kesimpulan

Merumuskan permasalahan yang diajukan saudara, terdapat dua cara untuk meluruskan saf antara orang yang solat secara berdiri dan solat secara duduk:

  1. Menyamakan antara tumit kaki: Iaitu ketika dia mampu berdiri, tetapi perlu untuk duduk semasa rukuk dan sujud, dengan syarat kerusi yang digunakan itu tidak mengganggu saf di belakangnya.
  2. Menyamakan tempat duduk dengan tumit kaki orang lain: Iaitu ketika dia hanya mampu menyempurnakan solat keseluruhannya secara duduk sahaja, atau ketika diyakini kerusinya akan mengganggu kesempurnaan saf-saf di belakang.

Benar, meluruskan saf ini adalah sunat, akan tetapi tuntutan ini terikat dengan syarat tidak memberi mudarat atau kesempitan kepada para jemaah yang lain. Maka sekiranya dia menyempitkan solat para jemaah disebabkan saiz kerusi yang tidak sesuai dengan keluasan masjid dan jarak antara saf-saf; maka hendaklah dia solat di saf-saf belakang, atau di tempat yang tidak menyempitkan para jemaah, dan tidak menyakiti orang di belakangnya.

Semoga pencerahan ringkas ini dapat mengangkat kekeliruan dari kita semua berkenaan isu ini. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اجْعَلْنَا مُقِيمِي الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِنَا، رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunan kami. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonan kami.”

Wallahu a‘lam