Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, saya menyumbang kepada salah sebuah rumah kebajikan dengan tujuan untuk menaja seorang anak yatim atau anak yang kehilangan penjagaan ibu bapa yang dijaga oleh pertubuhan tersebut. Maka, adakah dibolehkan untuk memperuntukkan jumlah tersebut daripada zakat harta? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Takrif Zakat dan Golongan Penerimanya

Pada asasnya, zakat menurut istilah syarak ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan. Harta yang diberikan kepada golongan tertentu itu dinamakan sebagai zakat. Hal ini kerana pengagihan tersebut dan dengan doa penerimanya akan menyebabkan baki hartanya menjadi subur dan bertambah berkat.

Mengeluarkan zakat juga bererti membersihkan harta daripada sebarang perkara syubhah. Dengan kata lain, ia akan mengeluarkan hak orang lain yang terdapat dalam harta berkenaan, terutamanya hak orang yang benar-benar berhajat dan memerlukannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/11)

Allah SWT telah menyatakan golongan yang berhak diagihkan zakat melalui firman-Nya:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah al-Taubah: 60)

Ibn Abbas R.Anhuma menyatakan bahawa ayat ini merupakan penerangan berkenaan golongan asnaf yang berhak menerima zakat. Mana-mana daripada golongan ini yang telah kamu berikan zakat, maka sudah memadai sebagaimana Allah SWT memerintahkan kita untuk menghadap kiblat iaitu kaabah. Sekiranya kita sudah menghadap sebahagian daripada kaabah, maka sudah dikira menghadap kiblat.” (Lihat al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 2/265)

Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat berkaitan dengan asnaf-asnaf zakat menyebutkan bahawa didahulukan golongan fakir dan miskin disebabkan mereka golongan yang lebih berhak berbanding asnaf yang lain kerana keadaan mereka yang sangat memerlukan dan berhajat kepada bantuan. Justeru itu, harta zakat hendaklah diutamakan dan didahulukan kepada golongan asnaf yang lebih memerlukan seperti fakir dan miskin sebelum dibahagikan kepada asnaf-asnaf yang lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/175)

Bagi menjawab persoalan di atas, Islam sangat menggalakkan usaha menanggung anak yatim, menjaga kebajikan mereka serta berbuat baik kepada mereka. Malah, Islam memberikan berita gembira berupa ganjaran syurga kepada sesiapa yang memelihara dan mengurus urusan anak yatim. Rasulullah SAW bersabda:

من ضَمَّ يتيمًا بينَ أَبَوَيْنِ مسلميْنِ حتى يَستغنيَ فقد وَجَبَتْ لهُ الجنةُ البَتَّةَ

Maksudnya: “Sesiapa yang menanggung seorang anak yatim yang ditinggalkan oleh ibu bapa Muslim sehingga dia mampu berdikari, maka wajiblah baginya syurga. ”

Riwayat al-Tabarani (19/300)

Al-Munawi ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan bahawa: iaitu dengan menanggung nafkahnya dan segala keperluan yang diperlukannya. (Lihat Faidh al-Qadir, 6/174)

Justeru, antara bentuk tanggungjawab dan sumbangan yang boleh dilakukan bagi membantu anak-anak yatim ialah dengan menyalurkan bantuan zakat kepada mereka. Bantuan ini boleh disalurkan secara langsung atau melalui institusi-institusi kebajikan seperti rumah anak yatim yang bertanggungjawab menguruskan kebajikan, pendidikan, dan keperluan harian mereka. Dengan cara ini, umat Islam dapat menunaikan kewajipan zakat mereka, dan merealisasikan galakan syarak untuk memelihara dan membela nasib golongan yang kehilangan tempat bergantung.

Dari sudut hukum, sekiranya seorang anak yatim tergolong dalam kalangan miskin dan memerlukan  iaitu tidak memiliki harta yang mencukupi untuk menampung keperluan hidupnya  maka  layak menerima zakat. Hal yang demikian sebagaimana firman Allah SWT sebagaimana yang telah dinyatakan di atas.

Imam Ibn al-Mulaqqin berkata dalam al-Tawdih li Syarh al-Jami‘ al-Sahih (10/303): Ibn al-Musayyib berkata: “Orang yang paling utama menerima zakat hartaku ialah anak yatim dan sesiapa yang ada pertalian denganku.”

Dalam isu ini, al-‘Allamah Taqiyuddin al-Husni al-Syafi‘i turut menjelaskan dalam Kifayah al-Akhyar: “Jika anak yatim itu seorang miskin, maka dia diberi (zakat) atas dasar ‘bahagian anak yatim’ kerana sifat ‘yatim’ adalah sifat yang kekal, manakala kemiskinan adalah sifat yang boleh berubah” sebagaimana kata al-Mawardi. Namun menurut aku (Taqiyuddin): “Pada hal ini perlu diteliti lagi, kerana sifat yatim itu sebenarnya pasti akan hilang semasa hayat seseorang apabila dia baligh, sedangkan kemiskinan boleh berterusan sehingga mati, kecuali jika sifat wajibnya (menerima zakat) itu hilang ketika itu.”

Begitu juga, menurut Imam al-Hattab al-Ru’ayni al-Maliki berkata dalam : “Telah disebut sebelum ini daripada al-Barzuli bahawa anak yatim perempuan boleh diberikan zakat untuk dibelanjakan pada keperluan mendesak perkahwinan dan perkara-perkara yang dilihat baik oleh qadhi bagi pihak orang yang berada di bawah jagaan (mahjur). Maka berdasarkan hal ini, sesiapa yang tidak memiliki kelengkapan dan perhiasan yang termasuk dalam keperluan asas perkahwinan, maka lebih utama untuk diberi zakat. Renungilah hal ini. (Lihat Mawahib al-Jalil, 2/347)

Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dalam fatwanya turut menyatakan bahawa: Sesungguhnya anak yatim yang tidak memiliki harta mencukupi untuk memenuhi keperluannya tergolong dalam golongan penerima zakat. Maka, dibolehkan untuk diberikan zakat kepadanya sekiranya dia telah baligh, berakal dan mampu mengurus diri. Namun, jika dia masih kecil dan lemah, zakat boleh disalurkan kepada penjaganya yang bertanggungjawab dalam memenuhi keperluannya dari sudut material seperti makanan, minuman, dan pakaian, serta dari sudut rohani seperti pendidikan, pembaikan akhlak dan pemeliharaan adab. Para pengurus rumah anak yatim dan mereka yang bekerja di dalamnya dianggap sebagai wali anak yatim dari sudut penjagaan dan pengurusan.

Oleh itu, adalah dibolehkan untuk menyalurkan zakat kepada rumah kebajikan bagi tujuan menaja anak yatim atau kanak-kanak yang kehilangan penjagaan ibu bapa, dengan syarat hendaklah menetapkan niat ketika memberikan sumbangan itu sebagai zakat, bukan semata-mata sedekah atau derma biasa.

Kesimpulan

Menyalurkan zakat harta kepada rumah kebajikan bagi tujuan menaja anak yatim atau kanak-kanak yang kehilangan penjagaan ibu bapa adalah dibenarkan dari sudut syarak, dengan syarat anak tersebut benar-benar tergolong dalam kalangan yang memerlukan dan tiada harta mencukupi untuk keperluan hidupnya. Dalam hal ini, zakat boleh diberikan sama ada secara langsung kepada anak yatim yang baligh dan berkeupayaan, atau melalui institusi kebajikan yang bertindak sebagai penjaga sah ke atas mereka. Ini kerana golongan tersebut termasuk dalam kategori fakir dan miskin yang disebut dalam al-Quran sebagai penerima utama zakat. Justeru, umat Islam digalakkan untuk memperluaskan bantuan zakat mereka ke arah pemeliharaan dan pendidikan anak-anak yatim sebagai satu bentuk pelaburan akhirat, namun hendaklah disertakan dengan niat zakat yang jelas agar ibadah tersebut sah dan berpahala.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam