#883: Maksud Pintu Syurga Dibuka, Pintu Neraka Ditutup dan Syaitan Dibelenggu

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Boleh jelaskan maksud hadis pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan ditambat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh barakah. Bulan yang diturunkan kitab suci al-Quran. Firman Allah SWT:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

Maksudnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. [1]

Menurut Syeikh Tantawi – sepertimana disebut oleh Ibn Kathir – Allah SWT memuji bulan Ramadhan daripada bulan-bulan lain kerana turunnya kitab Allah SWT.[2]

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang dapat meningkatkan keimanan dan bulan pengampunan dari pada Allah SWT. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Sabda Nabi SAW:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”[3]

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa makna keimanan adalah seseorang itu membenarkan akan fadhilatnya dan makna pengharapan pula adalah seseorang itu berpuasa kerana menginginkan Allah dan tidak melakukannya disebabkan ingin dilihat oleh manusia atau apa yang bertentangan dengan makna ikhlas.[4]

Hadis Pintu Syurga Dibuka, Pintu Neraka Ditutup dan Syaitan Ditambat

Berdasarkan persoalan di atas, disebut dalam hadith bahawa apabila datangnya bulan Ramadhan, maka dibuka pintu syurga seluas-luasnya dan ditutup pintu neraka serta dibelenggu syaitan. Hal ini sepertimana yang diterangkan di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ، وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ

Maksudnya: “Apabila datangnya Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”[5]

Dalam lafaz yang lain, disebutkan:

إِذَا كَانَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الرَّحْمَةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتِ الشَّيَاطِينُ

Maksudnya: “Apabila masuk bulan Ramadhan, pintu-pintu rahmat dibuka, pintu-pintu Jahannam ditutup dan syaitan-syaitan pun dibelenggu.”

Imam Badr al-Din al-‘Aini menjelaskan: “Yang dimaksudkan dengan terbukanya pintu syurga, kerana ketaatan yang banyak pada bulan Ramadhan. Begitu juga Allah SWT membuka pintu ibadah, oleh kerana itulah jalan menuju ke syurga begitu mudah di dalam bulan Ramadhan kerana amal perbuatan kita mudah diterima”.[6]

Syeikh al-Izz bin Abd al-Salam menjelaskan bahawa makna hadith ini adalah dibuka pintu syurga adalah disebabkan banyaknya amalan ketaatan dilakukan pada malam ini. Adapun ditutup pintu neraka pula adalah disebabkan kurangnya orang-orang yang melakukan maksiat pada bulan tersebut dan dibelenggu syaitan pula adalah bebasnya manusia daripada gangguan syaitan.

Secara jelasnya, beliau menyebut: Adapun yang dimaksudkan dengan terbukanya pintu syurga pada bulan Ramadhan adalah satu perumpamaan daripada banyaknya ketaatan, yang dapat menjadi penyebab terbukanya pintu-pintu syurga. Yang dimaksudkan dengan ditutupnya pintu neraka adalah perumpamaan daripada sedikitnya maksiat (pada bulan Ramadhan), yang menjadi penyebab tertutupnya pintu neraka. Sedangkan maksud daripada terbelenggunya syaitan adalah perumpamaan kepada terlepasnya orang-orang yang sedang melakukan puasa daripada bisikan-bisikan syaitan, kerana orang yang berpuasa tidak akan terlalu berkeinginan untuk melakukan maksiat.[7]

Menurut al-Qadhi ‘Iyadh, hadith di atas boleh ditafsir secara zahir dan secara hakikat, di mana pintu-pintu syurga memang dibuka, pintu-pintu neraka memang ditutup dan syaitan-syaitan dirantai sebagai tanda kemuliaan dengan masuknya bulan Ramadan. Di samping syaitan dirantai untuk menegah mereka daripada mengganggu dan memperdaya orang yang beriman.[8]

Menurut beliau, terbukanya pintu syurga, tertutupnya pintu neraka dan terbelenggunya syaitan adalah tanda masuknya bulan Ramadhan, mulianya bulan tersebut dan syaitan juga terhalang daripada mengganggu orang beriman. Ini juga isyarat bahawa pahala dan keampunan daripada Allah SWT begitu banyak pada bulan Ramadhan. Hasutan dan godaan syaitan terhadap manusia juga berkurangan kerana mereka bagaikan para tahanan ketika itu.[9]

Kata al-Qadhi ‘Iyadh lagi: Boleh juga membawa maksud bahawa terbukanya pintu syurga kerana Allah SWT memudahkan pelbagai ketaatan terhadap hamba-Nya pada bulan Ramadhan seperti puasa dan solat malam. Hal ini berbeza dengan bulan-bulan yang lain. Pada bulan Ramadhan, orang akan lebih sibuk melakukan kebaikan daripada melakukan maksiat. Inilah sebab mereka dapat memasuki syurga dan pintunya. Sedangkan tertutupnya pintu neraka dan terbelenggunya syaitan, inilah yang menjadikan seseorang lebih mudah menjauhi maksiat ketika itu.[10]

Ibn Hajar al-Haitami dalam menyebut bahawa diambil daripada hadis ini bahawa pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup mengikut hakikatnya. Ini untuk menggambarkan kepada malaikat dan lainnya berkenaan bulan Ramadan dan pahalanya. Ikatan dan belenggu syaitan pula termasuk hakikat demikian pada kebanyakan masa atau secara majaz kinayah daripada menahan perbuatan jahat dan tipu daya kepada manusiaHal ini ada kebenarannya.[11]

Bagaimana dengan maksud syaitan yang dibelenggu dalam hadith ini?

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan bahawa al-Hulaimi berkata: “Ada kemungkinan bahawa yang dimaksudkan adalah syaitan yang mencuri berita langit. Belenggu ini berlaku pada malam-malam Ramadhan, bukan pada siang harinya, kerana pdaa masa turunnya al-Quran, syaitan-syaitan telah dihalang daripada mencuri berita. Kemudian mereka dibelenggu untuk lebih menjamin keamanan. Ada juga kemungkinan yang dimaksudkan adalah syaitan tidak dapat mengganggu umat Islam kerana mereka sibuk melaksanakan ibadah puasa, di mana dalam puasa tersebut, mereka berusaha untuk mengalahkan nafsu syahwat. Di samping itu, mereka juga sibuk berzikir dan membaca al-Quran.”

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar lagi: “…Berdasarkan sebahagian pandangan, yang dimaksudkan syaitan dalam hadith ini merujuk kepada sebahagiannya, iaitu mereka yang ganas lagi menentang (bukan semua syaitan). Sebab itulah Ibnu Khuzaimah membuat judul bab dalam kitab Sahihnya untuk hadis berkaitan, lalu beliau menyebutkan hadis diriwayatkannya sendiri dan juga diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, an-Nasaa’i, Ibnu Majah, dan al-Hakim… (sebagaimana di atas).”[12]

Jika diteliti, terdapat satu bab dalam Sahih Ibn Khuzaimah yang dinamakan:

بَابُ ذِكْرِ الْبَيَانِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا أَرَادَ بِقَوْلِهِ: «وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ» مَرَدَةُ الْجِنِّ مِنْهُمْ، لَا جَمِيعَ الشَّيَاطِينِ «إِذِ اسْمُ الشَّيَاطِينِ قَدْ يَقَعُ عَلَى بَعْضِهِمْ

Maksudnya: “Bab penjelasan terhadap apa yang dimaksudkan dengan Sabda Nabi SAW: ‘Dan dibelenggulah syaitan-syaitan yang ganas (atau besar).” Bukan merujuk kepada seluruh syaitan kerana sebutan (atau istilah) syaitan-syaitan adakalanya digunakan untuk sebahagian dari mereka.”[13]

Syeikh Anwar al-Kashmiri menyebut: “(Dibelenggu syaitan-syaitan) di sisi riwayat Tirmidzi: Jin yang ganas. Justeru, tidak lazim bahawa dirantai keseluruhannya.”[14]

Menurut Imam al-Qurtubi sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani: “Sesungguhnya gangguan syaitan hanya berkurang terhadap orang-orang berpuasa yang memelihara syarat-syarat puasa dan adab-adabnya. Atau yang dibelenggu hanya sebahagian syaitan sahaja, iaitu yang ganas dari kalangan mereka, bukan semuanya sebagaimana dinyatakan dalam sebahagian riwayat. Atau yang dimaksudkan adalah berkurangnya kejahatan dalam bulan Ramadhan, dan ini merupakan perkara yang dapat dirasakan, di mana kejahatan ketika bulan Ramadhan lebih sedikit jika dibandingkan dengan bulan-bulan selainnya…”[15]

Hal ini juga sepertimana dijelaskan oleh Abu al-‘Abbas al-Qurtubi, dimana dalam menjelaskan hadith di atas, beliau menyebut:

  • Syaitan diikat daripada orang yang mengerjakan puasa dengan menjaga syarat dan adab ketika berpuasa. Adapun bagi mereka yang tidak mengerjakan puasa dengan benar, maka syaitan tidaklah terbelenggu daripadanya.
  • Meskipun seandainya kita mengatakan bahawa syaitan tidak mengganggu orang yang berpuasa, tetap sahaja maksiat boleh berlaku disebabkan faktor lain, iaitu dorongan hawa nafsu yang selalu mengajak kepada kejahatan, adat kebiasaan dan gangguan daripada syaitan manusia.
  • Boleh juga dengan maksud bahawa syaitan yang diikat adalah syaitan secara umum dan yang memiliki pasukan, manakala yang tidak memiliki pasukan tidaklah dibelenggu.

Dasarnya, ia membawa maksud bahawa kejahatan itu berkurangan pada bulan Ramadhan dan hal ini jelas berlaku (pada bulan Ramadhan) berbanding pada bulan-bulan yang lain.[16]

Menurut Dr. Muhammad Uqlah pula, maksud tambatan atau ikatan tersebut adalah dengan kurangnya godaan dan menyakiti mereka. Inilah sepertimana dijelaskannya dalam kitab Ahkam al-Siyam.

Berdasarkan apa yang telah dinyatakan di atas, kami cenderung bahawa maksud syaitan yang dibelenggu itu adalah:

  • Hanya sebahagian syaitan sahaja yang dibelenggu iaitu yang besar atau ganas (مَرَدَةُ الْجِنِّ) manakala selebihnya masih ada.
  • Ia juga membawa maksud syaitan tidak bebas menggoda orang-orang yang beriman berbanding bulan-bulan yang lain.

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada al-Hulaimi yang menyatakan maksud dibelenggu itu mengandungi makna para syaitan tidak dapat sampai memberi ujian/godaan kepada umat Islam sepertimana di luar bulan Ramadhan disebabkan umat Islam menyibukkan diri dengan berpuasa yang berperanan melemahkan syahwat, demikian juga mereka sibuk dengan membaca al-Quran dan berzikir.[17]

Sebagai penutup kepada perbincangan ini, kami nukilkan di sini kisah-kisah para salafus soleh yang bersungguh-sungguh meningkatkan amalan mereka tatkala datangnya bulan Ramadhan. Guru-guru daripada Abu Bakr bin Maryam menyebut: “Apabila tiba bulan Ramadhan, bersemangatlah untuk bersedekah. Ini kerana, bersedekah pada bulan tersebut lebih berlipat ganda pahalanya sepertimana seseorang bersedekah di jalan Allah (fi sabilillah). Pahala bacaan tasbih (zikir subhanallah) adalah lebih afdhal daripada seribu bacaan tasbih pada bulan lain.[18]

Ibrahim al-Nakha’i berkata: “Puasa sehari pada bulan Ramadhan lebih afdhal daripada puasa seribu hari selainnya. Begitu juga bacaan tasbih (zikir subhanallah) pada bulan Ramadhan lebih afdhal daripada seribu bacaan tasbih pada hari lainnya. Begitu juga, pahala satu rakaat solat pada bulan Ramadhan adalah lebih baik daripada seribu rakaat pada bulan lainnya.[19]

Marilah sama-sama kita meningkatkan amalan kita di bulan yang mulia ini dalam usaha mencapai ketakwaan dan meraih keredhaan Allah SWT. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 5 April 2022 bersamaan 3 Ramadhan 1443H

 

[1] (Surah al-Baqarah: 185)

[2] Lihat al-Tafsir al-Wasit li Tantawi, 1/386

[3] Riwayat Muslim (760)

[4] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/39

[5] Riwayat al-Bukhari (1898) dan Muslim (1079)

[6] Lihat Umdah al-Qari Syarah Sahih al-Bukhari, 10/266

[7] Lihat Fawa’id al-Saum, hlm. 38

[8] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/167

[9] Lihat Fath al-Bari, 4/114 dan Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/167

[10] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/167

[11] Lihat Ittihaf Ahl al-Islam bi Khususiyat al-Siyam, hlm. 38

[12] Lihat Fath al-Bari, 4/114

[13] Lihat Sahih Ibn Khuzaimah, 1/188

[14] Lihat Faidh al-Bari ‘ala Sahih al-Bukhari, 3/327

[15] Lihat Fath al-Bari, 4/114

[16] Lihat al-Mufhim li ma Asykala min Talkhis Kitab Muslim, 3/136

[17] Lihat Fath al-Bari, 4/114

[18] Lihat Latha’if al-Ma’arif, hlm. 270

[19] Lihat Latha’if al-Ma’arif, hlm. 270

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *