Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, telah berlaku satu puting beliung di salah sebuah negara Islam, dan akibatnya ramai yang terkorban. Pihak berkuasa segera bertindak mengeluarkan mayat mangsa dari runtuhan. Ada sebahagian mayat yang dijumpai dalam keadaan sempurna, dan ada pula yang hanya dijumpai sebahagian anggotanya sahaja manakala baki tubuhnya tidak ditemui. Maka, adakah bahagian tubuh yang ditemui itu perlu dimandikan dan disolatkan? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syariat Islam telah memuliakan manusia dalam setiap keadaannya, maka Allah Ta‘ala berfirman dalam kitab-Nya yang mulia:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”

(Surah al-Isra‘:70)

Al-Sabuni menjelaskan bahawa Allah SWT telah memuliakan keturunan bani Adam daripada seluruh makhluk-Nya dengan kurniaan akal, ilmu pengetahuan dan pertuturan serta disediakan dengan memberi segala kemudahan yang ada dalam penciptaan alam semula jadi. Allah SWT juga mempermudahkan mereka dengan kenderaan darat dan laut serta menganugerahkan dengan kelazatan makanan dan minuman. Malah Allah SWT telah meninggikan mereka berbanding seluruh makhluk makhluk lain seperti jin, binatang-binatang dan sebagainya. (Lihat Safwah al-Tafasir, 2/170.)

Begitu juga telah ditetapkan dalam syariat bahawa kehormatan seseorang manusia ketika mati adalah sama seperti kehormatannya semasa hidup; berdasarkan hadith Ummul Mukminin Saidatina Aisyah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

إنَّ كَسْرَ عَظْمِ الـمُؤمِنِ مَيِّتًا، مِثلُ كَسْرِه حَيًّا

Maksudnya: “Sesungguhnya mematahkan tulang orang beriman yang telah mati seperti mematahkan tulang orang beriman yang masih hidup.”

Riwayat Ahmad (24308) dan Abu Daud (3207)

Syeikh al-‘Azim Abadi menukilkan pandangan al-Tibi berkenaan hadith tersebut. Al-Tibi menyebutkan, padanya terdapat isyarat bahawa tidak dihina mayat (orang yang telah mati) sebagaimana dia tidak dihinakan ketika masih hidup. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/18).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, apabila sebahagian anggota tubuh manusia ditemukan daripada mangsa tragedi — seperti yang berlaku dalam situasi ini — maka pandangan yang lebih kuat dalam fatwa menyatakan bahawa anggota tersebut tetap perlu dimandikan dan disolatkan sebelum dikebumikan, walaupun hanya satu bahagian kecil. Ini dengan syarat bahawa kematian individu tersebut telah disahkan secara yakin tanpa sebarang keraguan.

Hal ini kerana, dalam syariat Islam, keseluruhan tubuh manusia termasuk anggota-anggotanya mempunyai kehormatan yang sama. Oleh itu, walaupun hanya sebahagian kecil tubuh yang ditemui, ia tetap dikira sebagai sebahagian daripada jasad yang keseluruhannya wajib disolatkan. Maka, anggota tersebut mengambil hukum seluruh jasad dari sudut kewajipan dimandikan, disolatkan dan diniatkan solat jenazah itu bagi seluruh tubuh — sama ada yang dijumpai atau yang tidak. Amalan ini juga selari dengan perbuatan sebahagian sahabat Nabi SAW yang diriwayatkan pernah mensolatkan bahagian tubuh si mati yang dijumpai selepas kematiannya.

Diriwayatkan daripada ‘Amir bahawa beliau berkata:

أَنَّ عُمَرَ صَلَّى عَلَىٰ عِظَامٍ بِالشَّامِ

Maksudnya: “Umar RA telah menunaikan solat jenazah ke atas tulang-belulang (mayat) di wilayah Syam.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (12265)

Imam al-Nawawi al-Syafi‘i berkata dalam kitab al-Majmu(5/253–254): “Telah sepakat nas-nas Imam al-Syafi‘i rahimahullah dan para sahabatnya bahawa jika dijumpai sebahagian tubuh seseorang yang telah dipastikan kematiannya, maka ia hendaklah dimandikan dan disolatkan. Menurut mazhab kami: tidak ada beza antara bahagian yang sedikit atau banyak. Selain itu juga, Para Sahabat kami ada menyatakan bahawa: Apabila disolatkan ke atas anggota tubuh si mati, maka hendaklah diniatkan solat itu ke atas keseluruhan si mati, bukan hanya pada anggota itu sahaja.”

A-Buhuti al-Hanbali turut menyatakan dalam Kassyaf al-Qina‘ (2/146): “Jika dijumpai sebahagian tubuh si mati dengan kepastian — iaitu yakin bahawa ia adalah daripada mayat — selain daripada rambut, kuku dan gigi, maka wajib dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan. Dikecualikan rambut, kuku dan gigi kerana padanya tiada nyawa.”

Dalam isu ini juga Dar al-Ifta’ al-Misriyyah pernah mengeluarkan fatwanya dengan menyatakan: Mengebumikan jasad-jasad umat Islam yang telah meninggal dunia akibat ribut taufan, setelah dimandikan dan disolatkan, adalah wajib secara syarak menurut ijmak ulama. Sekiranya hanya sebahagian anggota tubuh sahaja yang ditemui, maka hendaklah dilakukan ke atas anggota tersebut sebagaimana dilakukan ke atas jasad yang lengkap, iaitu dengan dimandikan dan disolatkan — sama ada jumlah anggota itu sedikit atau banyak — selagi kematian pemiliknya telah dipastikan secara yakin. Ketika solat jenazah itu dilaksanakan, hendaklah diniatkan ia sebagai solat ke atas keseluruhan jasad si mati.

Kesimpulan

Islam sangat menekankan penghormatan terhadap jasad manusia, sama ada ketika hidup mahupun selepas mati. Oleh itu, apabila berlaku bencana seperti puting beliung yang mengakibatkan kematian dan hanya sebahagian anggota tubuh mangsa ditemui, maka anggota tersebut tetap perlu dimandikan dan disolatkan sekiranya kematian pemiliknya telah dipastikan secara yakin. Meskipun bahagian tubuh itu kecil, ia tetap dikira sebahagian daripada jasad penuh dan dikenakan hukum yang sama. Amalan ini menzahirkan prinsip syariat yang menjaga maruah insan dalam setiap keadaan. Justeru, pengurusan jenazah sedemikian perlu dilaksanakan dengan penuh ihsan, dan disarankan agar masyarakat sentiasa mengambil berat terhadap pengurusan jenazah menurut lunas syarak walau dalam situasi luar biasa.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam