Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah maksud kaedah “Setiap yang hidup adalah suci” menurut para ulama mazhab Maliki? Dan apakah dhawabit kehidupan yang dimaksudkan dalam kaedah tersebut? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Taharah

Dari segi bahasa, perkataan taharah bermaksud kebersihan dan kesucian daripada kekotoran. Contohnya, “فَهُمْ قَوْمٌ يَتَطَهَّرُونَ” (Mereka adalah kaum yang menyucikan diri) iaitu mereka menjauhkan diri daripada kekotoran. Perkataan ṭuhr (الطُّهْر) adalah lawan kepada haid, manakala ṭahūr (الطَّهُور) merujuk kepada sesuatu yang digunakan untuk bersuci. (Lihat Mukhtar al-Sihah, hlm. 193).

Manakala dari segi istilah fuqaha, al-Jurjani dalam al-Ta‘rifat (hlm. 142) mendefinisikannya sebagai “Perbuatan membasuh anggota-anggota tertentu dengan cara yang tertentu.” Makna ini juga merupakan intipati definisi yang diberikan oleh para fuqaha dalam kitab-kitab mereka. (Lihat Maraqi al-Falah oleh al-Syarnbulālī, hlm. 18; Mawahib al-Jalil oleh al-Ḥaṭṭāb, 1/43; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab oleh al-Nawawi, 1/79; Kassyaf al-Qina‘ oleh al-Buhuti, 1/24).

Penjelasan tentang maksud “kehidupan” dalam kaedah “Setiap yang hidup adalah suci”

Antara kaedah yang berterusan digunakan dalam mazhab Maliki ialah kaedah:

كُلُّ حَيٍّ طَاهِرٌ

Maksudnya: “Setiap yang hidup adalah suci.

Dalam kaedah di atas, kesucian (الطهارة) dikaitkan dengan kehidupan (الحياة). Kehidupan dari sudut bahasa bermaksud lawan kepada kematian. Maka, setiap yang hidup daripada apa jua jenis makhluk adalah lawan kepada yang mati, dan bentuk jamaknya ialah ahya’ (أحياء). (Lihat al-Qamus al-Muhit, hlm. 1277; al-Muhkam wa al-Muhit  al-A‘zam oleh Ibn Sidah, 3/395; al-Sihah oleh al-Jauhari, 6/2323).

Para fuqaha tidak menyimpang dalam penggunaan istilah ini daripada makna bahasa asalnya; sebagaimana yang disebut oleh al-‘Allamah al-Jurjani dalam al-Ta‘rifat (hlm. 94): “Kehidupan ialah suatu sifat yang menjadikan sesuatu yang disifatkan dengannya mampu untuk mengetahui dan berkuasa.” Makna ini juga merupakan maksud yang terkandung dalam ungkapan al-Manawi dalam al-Tauqif ‘ala Muhimmat al-Ta‘arif (hlm. 150) dan Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtaj (1/287).

Dhawabit (Kriteria) Kaedah “Setiap yang Hidup adalah Suci” menurut Mazhab Maliki

Kaedah ini – Setiap yang hidup adalah suci – merupakan antara ciri istimewa mazhab Maliki, namun mazhab ini bukanlah satu-satunya yang menyatakannya, kerana kaedah ini turut disebut dalam mazhab-mazhab lain. Akan tetapi, yang menjadikan mazhab Maliki berbeza ialah penggunaan kaedah ini secara mutlak tanpa pengecualian atau pengkhususan, dan itulah yang difahami daripada nas-nas mereka.

Al-‘Allamah Abu al-Walid al-Baji menyebutkan dalam al-Muntaqa (1/62) bahawa:

فَكُلُّ حَيٍّ طَاهِرٌ

Maksudnya: “Maka setiap yang hidup adalah suci.”

Begitu juga al-‘Allamah al-Qarafi turut menyatakan dalam al-Zakhirah (1/179) bahawa dalam (kitab) al-Jawahir:

ٱلْحَيُّ كُلُّهُ طَاهِرٌ

Maksudnya: “Yang hidup kesemuanya adalah suci.”

Manakala al-‘Allamah Ibn Rusyd turut ada menyebutkan bahawa:

فَكُلُّ حَيٍّ طَاهِرُ الْعَيْنِ

Maksudnya: “Maka setiap yang hidup adalah suci pada zatnya.” (Lihat Bidayah al-Mujtahid, 1/34).

Antara nas yang menunjukkan pemakaian kaedah ini secara mutlak menurut ulama mazhab Maliki, tanpa mengecualikan sesetengah haiwan, adalah seperti berikut:

Al-‘Allamah al-Nafrawi al-Maliki menyebutkan dalam al-Fawakih al-Dawani (2/287): “(Peringatan) Jangan disangka (atau salah faham) bahawa pengharaman menggunakan anggota-anggota babi menunjukkan ia adalah najis sekalipun ketika hidup; kerana setiap yang hidup adalah suci, walaupun seekor babi atau syaitan. Maka sesiapa yang memikul babi atau syaitan lalu mendirikan solat dengannya (yakni menanggungnya), solatnya tidak batal.”

Al-Qadhi Abu Bakar bin al-‘Arabi juga ada menyebutkan, setiap haiwan menurut pandangan Imam Malik adalah suci pada zatnya, hatta seekor babi. (Lihat Ahkam al-Qur’an, 3/443).

Namun begitu, sebahagian ulama mazhab Maliki mengecualikan beberapa keadaan daripada kaedah ini dengan meraikan perbezaan pendapat ulama lain terhadapnya. Mereka menyatakan bahawa sebab kemakruhannya adalah kerana haiwan-haiwan itu sering bersentuhan dengan najis, bukannya kerana zat haiwan itu najis. Al-‘Allamah al-Baghdadi al-Maliki menyebutkan, setiap haiwan adalah suci pada zatnya dan suci air lebihan minumannya (su’r), kecuali haiwan yang kebiasaannya tidak dapat mengelak daripada najis, seperti anjing dan babi. Maka air lebihan minuman mereka adalah makruh, tetapi dari sudut hukum tetap dianggap suci, kecuali jika telah berubah sifatnya disebabkan terkena najis. (Lihat al-Talqin, 1/25).

Sebab Mazhab Maliki Menjadikan Kaedah “Setiap yang Hidup adalah Suci” Terpakai Secara Umum kepada Semua Jenis Haiwan

Asas mazhab Maliki dalam menjadikan kaedah “Setiap yang hidup adalah suci” terpakai secara umum ialah kerana kehidupan dianggap sebagai sebab (‘illah) kepada kesucian, yang mana hukum itu berlegar bersama kewujudan dan ketiadaannya. Sebagaimana haiwan ternakan (al-an‘ām) adalah suci ketika hidup dan menjadi najis apabila mati, maka ‘illah (sebab hukum) itu perlu berlaku secara konsisten. Oleh itu, menjadi kewajipan untuk meluaskan hukum ini kepada semua haiwan tanpa sebarang pengecualian. Maka, semua haiwan adalah suci semasa hidup tanpa sebarang pengecualian. (Lihat Syarh al-Talqin oleh al-Maziri, 1/230; al-Zakhirah oleh al-Qarafi, 1/179).

Al-‘Allamah Ibn Rusyd al-Maliki pula menyebutkan dalam Bidayah al-Mujtahid (1/34) ketika menjelaskan asas qiyas bagi kaedah ini menurut mereka: “Apabila kematian tanpa sembelihan (menurut syarak) adalah sebab kepada najisnya zat haiwan menurut syarak, maka wajiblah kehidupan menjadi sebab kepada sucinya zat haiwan. Maka apabila ia begitu, setiap yang hidup adalah suci zatnya.

Oleh itu, keistimewaan mazhab Maliki dalam kaedah “Setiap yang hidup adalah suci” ialah mereka menggunakannya secara mutlak tanpa sebarang pengecualian, selain daripada mengaitkan kesucian itu dengan kewujudan atau ketiadaan kehidupan.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan di atas, jelaslah bahawa setiap yang hidup adalah suci menurut para ulama mazhab Maliki tanpa sebarang pengecualian, dan dhawabit (kriteria) kesucian bagi sesuatu yang hidup menurut mereka ialah kehidupan itu sendiri secara mutlak.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.”