Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya hendak bertanya sedikit berkenaan ayat-ayat yang dimansukhkan. Bukankah ini bermakna ada beberapa ayat al-Quran yang akan hilang bacaannya? Tidakkah ini bercanggah dengan ayat yang menyatakan bahawa Allah SWT menjaganya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebelum menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa ini adalah satu bentuk kekeliruan dan syubhah yang tidak sepatutnya ditimbulkan oleh seorang mukmin yang benar-benar mengimani kekuasaan Allah SWT. Firman-Nya cukup jelas menyatakan bahawa Dia-lah yang menurunkan al-Quran itu dan Dia jua yang menjaganya:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا ٱلذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَـٰفِظُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”

(Surah al-Hijr: 9)

Allah SWT yang menurunkan al-Quran itu dan Dia yang memeliharanya dari sebarang perubahan atau penggantian. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/453)

Manakala ayat-ayat yang mansukh seperti yang disebutkan saudara, ia juga memang sabit berdasarkan dalil al-Quran dan juga al-Sunnah. Mengimani perkara ini merupakan salah satu bentuk dari keimanan terhadap firman-Nya:

فَعَّالٌ لِّمَا يُرِيدُ

Maksudnya: “Yang berkuasa melakukan segala yang dikehendakinya.”

(Surah al-Buruj: 16)

Bahkan Allah SWT sendiri telah menyatakan secara jelas bahawa memang akan ada ayat yang dimansukhkan, kemudian didatangkan dengan yang seumpamanya atau lebih baik. Firman-Nya:

 مَا نَنسَخْ مِنْ ءَايَةٍ أَوْ نُنسِهَا نَأْتِ بِخَيْرٍ مِّنْهَآ أَوْ مِثْلِهَآ ۗ أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya:

“Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?”

(Surah al-Baqarah: 106)

Dan nasakh tidaklah membawa implikasi berubahnya salah satu daripada sifat-sifat Allah SWT, dan tidak juga menafikan ilmu Allah bersifat qadim sebagaimana yang didakwa oleh orang-orang Yahudi, iaitu kononnya tampak bagi Allah sesuatu yang sebelumnya tidak Dia ketahui. Bahkan Allah Maha Mengetahui sampai bila sesuatu hukum itu akan berakhir dengan hukum yang pertama, dan Dia juga mengetahui bahawa hukum itu akan dimansukhkan dengan hukum yang kedua. (Lihat al-Muharrar al-Wajiz, 1/190)

Al-Quran itu turun secara berperingkat, sedikit demi sedikit, peringkat demi peringkat selama 23 tahun. Proses nasakh hanya berlaku semasa proses penurunan ini, dan setelah al-Quran sempurna, tidak ada lagi ayat yang dimansukhkan. Proses nasakh itu sendiri berlaku dengan perintah Allah SWT, yang telah berjanji untuk memelihara al-Quran. Maka tidak mungkin berlaku percanggahan apabila ada  ayat yang dinasakhkan dengan ayat yang menyatakan bahawa Allah SWT, kerana Dialah yang berhak melakukan apa yang Dia kehendaki.

Kami mengambil kesempatan ini untuk memberikan sedikit pesanan, janganlah orang-orang Islam terpengaruh dengan syubhat-syubhat golongan munafiq yang sengaja hendak menyelewengkan kefahaman kita, sehinggalah kita benar-benar teguh dalam ilmu dan mampu membezakan antara yang benar dan yang salah, dan antara kebenaran dan kesesatan, serta mampu menjawab syubhat-syubhat tersebut. Semoga Allah SWT memelihara kita dari sebarang kekeliruan. Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”

Wallahu a‘lam