Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Dalam solat berjemaah, apabila imam membaca ayat terakhir surah al-Tin: أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الْحَاكِمِينَ  ada makmum yang menjawab, “Bala” (بَلَى). Adakah amalan ini dibolehkan dalam Islam?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Terdapat beberapa ayat al-Quran yang mempunyai persoalan “أَلَيْسَ” sebagaimana firman-Nya SWT:

أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الْحَاكِمِينَ

Maksudnya: “Bukankah Allah adalah Hakim yang paling adil?”

(Surah al-Tin: 8)

أَلَيْسَ ذَٰلِكَ بِقَادِرٍ عَلَىٰ أَنْ يُحْيِيَ الْمَوْتَىٰ

Maksudnya: “Bukankah (Allah) berkuasa untuk menghidupkan orang yang telah mati?”

(Surah al-Qiyamah: 40)

أَلَيْسَ اللَّهُ بِكَافٍ عَبْدَهُ

 Maksudnya:Bukankah Allah cukup untuk melindungi hamba-Nya?”

(Surah al-Zumar: 36)

Perbuatan menjawab “بَلَى” (Ya, benar) ketika imam membaca ayat seperti firman Allah SWT di atas atau seumpamanya adalah tidak mengapa dan dibenarkan dalam syarak, menurut pandangan kebanyakan ulama, khususnya mazhab Maliki dan Hanbali.

Terdapat riwayat daripada Musa bin Abi ‘Aisyah, katanya:

 كَانَ رَجُلٌ يُصَلِّي فَوْقَ بَيْتِهِ وَكَانَ إِذَا قَرَأَ أَلَيْسَ ذَلِكَ بِقَادِرٍ عَلَى أَنْ يُحْيِيَ الْمَوْتَى قَالَ سُبْحَانَكَ فَبَلَى فَسَأَلُوهُ عَنْ ذَلِكَ فَقَالَ سَمِعْتُهُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: ““Ada seorang lelaki yang solat di atas rumahnya. Apabila dia membaca ayat: (Bukankah [Allah] berkuasa untuk menghidupkan orang yang telah mati?), dia berkata: ‘سُبْحَانَكَ فَبَلَى’ (Maha Suci-Mu, bahkan benar). Maka mereka bertanya kepadanya tentang perbuatan itu, lalu dia menjawab: ‘Aku mendengarnya daripada Rasulullah SAW.’”

Riwayat  Abu Dawud (884)

Namun begitu, Sanad hadith ini adalah lemah, kerana terdapat keterputusan sanad antara Musa dan sahabat Nabi, di mana sekurang-kurangnya seorang perawi telah gugur, seperti yang dijelaskan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitab al-Nukat al-Ziraf (11/210) dan dalam Nata’ij al-Afkar (2/48).

Menurut Mazhab Maliki, “Apabila disebut nama Nabi SAW dalam bacaan imam, maka tidak mengapa bagi makmum untuk berselawat ke atasnya. Begitu juga apabila disebut tentang syurga dan neraka, maka tidak mengapa dia memohon syurga kepada Allah dan berlindung dengan-Nya daripada neraka, dan perkara itu boleh diulang-ulang dari semasa ke semasa. Demikian juga apabila imam membaca ayat: أَلَيْسَ ذَٰلِكَ بِقَادِرٍ عَلَىٰ أَنْ يُحْيِيَ الْمَوْتَى (Bukankah [Allah] berkuasa untuk menghidupkan orang yang telah mati?), maka makmum boleh berkata: ‘بَلَى، إِنَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ’ dan seumpamanya.”  (Lihat Mawahib al-Jalil, 2/253)

Mazhab Hanbali pula menyatakan: “Bagi orang yang sedang solat, dia boleh mengucapkan: سُبْحَانَكَ فَبَلَى’(Maha Suci Engkau, bahkan benar sekali), apabila membaca ayat:  أَلَيْسَ ذَٰلِكَ بِقَادِرٍ عَلَىٰ أَنْ يُحْيِيَ الْمَوْتَى secara jelas (dengan lafaznya), sama ada dalam solat fardhu atau solat sunat, kerana adanya riwayat (yang menyokong hal ini). Adapun ayat: أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الْحَاكِمِينَ, maka terdapat perbincangan pada riwayatnya — sebagaimana yang disebut dalam kitab al-Furu‘.” (Lihat Syarh al-Muntaha, 1/206; Lihat juga al-Furu‘, 1/481; al-Insaf, 2/107).

Imam al-Nawawi pula menyebut disunat kan apabila membaca (أَلَيْسَ اللَّـهُ بِأَحْكَمِ الْحَاكِمِينَ) maka sebutlah:

بَلَى! وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِينَ

Maksudnya: Benar! Dan sesungguhnya aku menyaksikan hal itu. (Lihat al-Azkar li al-Nawawi, 1/119)

Selain itu, di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ismail bin Umayyah RA menyatakan, aku mendengar daripada seorang lelaki badawi menyebut bahawa Abu Hurairah RزA berkata:

مَنْ قَرَأَ سُورَةَ: وَالتِّينِ وَالزَّيْتُونِ فَقَرَأَ: {أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الحَاكِمِينَ} [التين: 8] فَلْيَقُلْ: بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِينَ

Maksudnya: Sesiapa yang membaca surah: wa al-Tin wa al-Zaitun kemudian membaca (أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الحَاكِمِينَ) (al-Tin,8) maka hendaklah ia menyebut (بَلَى وَأَنَا عَلَى ذَلِكَ مِنَ الشَّاهِدِينَ) Benar, dan aku menyaksikan hal itu.

Riwayat Abu Dawud (887), al-Tirmizi (3347) dan Ahmad (7391). Al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi (8/348) menyatakan bahawa hadith ini dhaif. Imam al-Nawawi juga menyatakan ia adalah dhaif sebagaimana dalam kitab al-Majmu’ (3/563)

Al-Khatib al-Syirbini menyatakan bahawa disunatkan bagi yang membaca al-Quran ketika solat atau di luar solat apabila sampai pada ayat Rahmah maka ia meminta kepada Allah SWT akan rahmatnya, atau sekiranya ia baca pada ayat Azab maka mintalah ia perlindungan daripada-Nya atau apabila sampai pada ayat Tasbih maka hendaklah ia bertasbih iaitu memuji-Nya atau ketika ia sampai kepada ayat yang terdapat padanya perumpamaan maka hendaklah ia memikirnya. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/390)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin ketika ditanya: ““Kami mendengar sebahagian makmum apabila imam membaca firman Allah SWT: (أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الْحَاكِمِينَ) maka makmum pun menjawab: ‘ بلى (Bahkan benar!)’. Apakah perkara ini benar?” Beliau menjawab:  “Ya, ini adalah sahih. Jika Allah SWT berfirman: (أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الْحَاكِمِينَ) maka jawablah: بلى (Bahkan benar!). Begitu juga dengan ayat-ayat seumpamanya. Maksudnya: jika datang kepada kita ayat seperti ini, kita menjawab: بلى. Contohnya:

  • (أَلَيْسَ اللَّهُ بِكَافٍ عَبْدَهُ) – [al-Zumar: 36], maka jawablah: بلى.

  • (أَلَيْسَ اللَّهُ بِعَزِيزٍ ذِي انْتِقَامٍ) – [al-Zumar: 37], maka jawablah: بلى.

  • (أَلَيْسَ ذَٰلِكَ بِقَادِرٍ عَلَىٰ أَنْ يُحْيِيَ الْمَوْتَى) – maka jawablah: بلى.

Namun, jika makmum terganggu atau hilang tumpuan untuk mendengar bacaan imam disebabkan perkara ini, maka dia tidak sepatutnya melakukannya. Tetapi jika ia datang pada akhir ayat yang imam berhenti padanya, maka ia tidak mengganggunya. Jadi, apabila imam membaca: (أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الْحَاكِمِينَ),  makmum boleh menjawab: بلى.”(Lihat Liqa’ al-Bab al-Maftuh, 11/81)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa perbuatan menjawab “بَلَى” ketika imam membaca ayat seperti (أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَحْكَمِ الْحَاكِمِينَ) adalah dibolehkan menurut pandangan jumhur ulama, khususnya apabila ia diucapkan dengan perlahan dan tidak mengganggu tumpuan terhadap bacaan imam. Ia disunatkan lebih-lebih lagi apabila ayat tersebut dibaca pada penghujung bacaan imam dan terdapat ruang untuk makmum memberi respons dengan menguatkan pengakuan terhadap kebenaran ayat tersebut. Meskipun hadith yang menjadi asas amalan ini dinilai dhaif, para ulama tetap menerima amalannya kerana ia tergolong dalam bab fadhail al-a‘mal dan tidak bercanggah dengan asas syarak.

Namun begitu, sekiranya makmum terganggu dalam mendengar bacaan imam atau mengganggu kekhusyukan orang lain, maka lebih utama untuk tidak melakukannya. Maka, ia termasuk dalam perkara yang luas dan tidak perlu dipertikaikan jika dilakukan secara tertib dan tidak mengganggu.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita kefahaman yang lebih jelas dalam berinteraksi dengan bacaan al-Quran semasa solat dan juga di luar solat, serta menghayati kebesaran dan kebenaran firman Allah SWT. Semoga kita sentiasa termasuk dalam golongan yang mendengar al-Quran lalu tunduk dan beriman dengannya serta menjadi saksi atas kebenarannya.

Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”