Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, saya telah berpisah dengan isteri saya selepas enam tahun berkahwin, setelah terbukti bahawa dia merupakan anak saudara susuan kepada abang saya. Oleh kerana saya tinggal bersama keluarga saya dalam satu rumah, dia masih tinggal bersama kami atas alasan menjaga anak-anak. Saya tidak mampu mengeluarkannya dari rumah kerana bimbang timbulnya masalah antara saya dan ayah saya. Maka, adakah terdapat nafkah yang wajib saya tanggung terhadapnya? Dan apakah hukum syarak berkenaan keizinan dia untuk terus tinggal di rumah?  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nafkah dari segi bahasa ialah mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan Nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 4/274 )

Di dalam Sunnah, terdapat hadith yang diriwayatkan daripada Mu’awiyah al-Qusyairi RA, bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Maka Rasulullah SAW menjawab:

أن تُطْعِمَها إذا طَعِمتَ ، وتَكْسوها إذا اكتسَيتَ ، أوِ اكتسَبتَ ، ولا تضربِ الوَجهَ ، ولا تُقَبِّح ، ولا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ

Maksudnya: “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah.”

Riwayat Abu Dawud (2142), Ibn Majah (1850) dan Ahmad (20013)

Nabi SAW turut bersabda :

إِنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلِأهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، فَأعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rabbmu mempunyai hak atasmu, dan jiwamu mempunyai hak atasmu, dan isterimu mempunyai hak atasmu, maka berilah setiap hak kepada orang yang berhak”

Riwayat al-Bukhari (2139)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara iaitu, makanan, barang-barang dapur, pakaian, tempat tinggal, alat-alat untuk membersihkan diri, barangan rumah, pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, 10/7349)

Dalam Menjawab bagi persoalan di atas, majoriti fuqaha berpendapat bahawa nafkah dengan segala kandungannya tidak wajib dalam perkahwinan yang fasid (rosak) atau batil (tidak sah).  Perkahwinan yang fasid bukanlah suatu perkahwinan yang hakiki; dan kerana sebab kewajipan nafkah adalah akad nikah yang sah atau penyerahan diri (oleh isteri kepada suami) selepas akad nikah yang sah.

Al-Khatib al-Syarbini al-Syafi‘i berkata dalam Mughni al-Muhtaj (5/105): “Tiada hak tempat tinggal bagi wanita yang sedang dalam ‘iddah akibat persetubuhan syubhah, walaupun dalam perkahwinan yang fasid (tidak sah).”

Imam Ibn Qudamah al-Hanbali menyatakan bahawa: “Tidak wajib nafkah ke atas suami dalam perkahwinan yang fasid (tidak sah), kerana antara mereka berdua tidak wujud akad nikah yang sah. Jika dia menceraikannya atau dipisahkan antara mereka sebelum berlaku persetubuhan, maka wanita itu tidak perlu menjalani ‘iddah. Namun jika berlaku selepas persetubuhan, maka wajib ke atasnya menjalani ‘iddah, dan dia tidak berhak mendapat nafkah serta tempat tinggal jika dia tidak mengandung. Ini kerana jika perkara tersebut tidak diwajibkan sebelum perpisahan, maka lebih utama lagi ia tidak diwajibkan selepas perpisahan.” (Lihat al-Mughni, 8/235)

Dalam isu ini Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyatakan bahawa: Tidak wajib nafkah bagi wanita yang dipisahkan disebabkan kerosakan akad perkahwinan akibat sabitnya penyusuan yang membawa kepada pengharaman (perkahwinan). Namun, selagi mana terdapat anak-anak hasil perkahwinan tersebut yang masih kecil dan tidak mempunyai harta, maka nafkah mereka tetap wajib ditanggung oleh bapa mereka. Ibu mereka pula berhak menjaga (mengasuh) anak-anak tersebut dan berhak tinggal bersama mereka. Dia juga berhak menuntut upah penjagaan (hadhanah). Tiada halangan dari sudut syarak untuk dia membuat persetujuan dengan bapa anak-anaknya atau keluarganya agar dia dan anak-anak tinggal di rumah khas untuk mereka, selagi dia merasa aman terhadap dirinya, anak-anaknya, dan hartanya di rumah tersebut.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat dirumuskan bahawa wanita yang berpisah akibat pembatalan perkahwinan disebabkan oleh penyusuan yang mengharamkan hubungan perkahwinan, tidak lagi berhak menerima nafkah sebagai isteri selepas terbatalnya akad. Namun, sekiranya hasil perkahwinan itu terdapat anak-anak yang masih kecil dan tidak mempunyai kemampuan kewangan, maka menjadi kewajipan kepada si bapa untuk menanggung nafkah mereka. Ibu kepada anak-anak tersebut berhak menjaga mereka dan tinggal bersama mereka, serta berhak menuntut upah penjagaan sekiranya dikehendaki. Jika terdapat kesepakatan antara ibu tersebut dengan bapa anak-anaknya atau keluarga pihak suami mengenai penempatan yang selamat untuk ibu dan anak-anak, maka ia dibenarkan selagi keselamatan dan kesejahteraan mereka terjamin.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam