Soalan

Assalamualaikum Dato’ Seri. Doa yang biasa disebut selepas makan iaitu: الْـحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنَا وَسَقَانَا وَجَعَلَنَا مُسْلِمِينَ – adakah benar ia merupakan hadith yang sahih? Saya pernah dengar ia hadith dhaif, tetapi tiada bukti jelas. Mohon penjelasan dan dalil.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Doa yang disebut dalam soalan ini berasal daripada sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri R.A, katanya:

 كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَكَلَ أَوْ شَرِبَ قَالَ: الْـحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنَا وَسَقَانَا وَجَعَلَنَا مُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Adalah Nabi SAW apabila makan atau minum, Baginda berkata: ‘Segala puji bagi Allah yang memberi makan dan minum kepada kami serta menjadikan kami daripada kalangan orang-orang Islam.’” 

 Riwayat Abu Dawud (3850), al-Tirmizi (3457)

Namun, hadith ini dinilai lemah (dhaif) oleh ramai ulama hadith. Dalam kitab Takhrij al-Kalim al-Tayyib disebutkan: “Isnad hadith ini lemah kerana berlaku kekeliruan dalam periwayatan (idhtirab), seperti dijelaskan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Tahzib, dan sebelumnya oleh al-Hafiz al-Mizzi dalam Tuhfah al-Asyraf (3/353–354), dan juga oleh Imam al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir (1/1/353–354), serta al-Nasa’i dalam Amal al-Yaum wa al-Lailah (288–290). Bahkan al-Tirmizi sendiri tidak menghasankannya walaupun beliau terkenal bersikap agak longgar dalam menilai hadith.”(Lihat Takhrij al-Kalim al-Tayyib, hlm. 189)

Namun begitu, terdapat beberapa hadith sahih lain yang menunjukkan doa selepas makan, antaranya sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Umamah R.A, beliau berkata: “Apabila Nabi SAW selesai daripada makan — dan dalam satu riwayat: apabila Baginda mengangkat hidangannya — Baginda bersabda:

 الْـحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي كَفَانَا، وَأَرْوَانَا، غَيْرَ مَكْفِيٍّ وَلَا مَكْفُورٍ، وَقَالَ مَرَّةً: الْـحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّنَا، غَيْرَ مَكْفِيٍّ، وَلَا مُوَدَّعٍ، وَلَا مُسْتَغْنًى رَبَّنَا.

Maksudnya: ‘Segala puji bagi Allah yang telah mencukupkan kami dan memberi kami minum, tanpa kami perlu membalasnya dan tanpa kami kufur nikmat.’ Dan dalam riwayat lain, Baginda bersabda: ‘Segala puji bagi Allah, Tuhan kami — yang tidak perlu dibalas, tidak ditinggalkan, dan kami tidak boleh merasa cukup tanpa-Nya, wahai Tuhan kami.’”

Riwayat al-Bukhari (5459)

Diriwayatkan juga daripada Abu Ayyub al-Ansari R.A, beliau berkata:

 كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَكَلَ أَوْ شَرِبَ قَالَ:  الْـحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَ وَسَقَى، وَسَوَّغَهُ، وَجَعَلَ لَهُ مَخْرَجًا.

Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW apabila Baginda makan atau minum, Baginda akan bersabda: ‘Segala puji bagi Allah yang telah memberi makan, memberi minum, memudahkan penghadaman, dan menjadikan baginya jalan keluar.’”

Riwayat Abu Dawud (3851), dinilai sahih dalam al-Silsilah al-Sahihah (2061)

Ucapan hamdalah (pujian kepada Allah SWT) selepas makan merupakan manifestasi rasa syukur seorang hamba terhadap nikmat rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT. Ia juga mengandungi maksud permohonan agar Allah SWT terus melimpahkan rezeki dan keberkatan kepada si hamba. Amalan ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

لَئِن شَكَرْتُمْ لأَزِيدَنَّكُمْ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahkan nikmat-Ku kepada kamu.”

(Surah Ibrahim: 7)

Selain itu, para ulama menyebut bahawa disunatkan untuk memperbaharui ucapan hamdalah setiap kali menerima nikmat yang baharu, sebagai tanda kesyukuran yang berterusan terhadap segala kurniaan Allah SWT.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa lafaz “الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي وَرَزَقَنِي وَجَعَلَنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ” adalah hadith yang dhaif sebagaimana penilaian ulama’. Namun demikian, makna doa tersebut adalah benar dan tidak bercanggah dengan akidah, maka tidak mengapa diamalkan sebagai zikir umum atau doa selepas makan

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa lafaz doa lain selepas makan yang sahih dan sabit daripada Nabi SAW yang mengandungi pujian kepada Allah dan pengiktirafan terhadap nikmat makanan dan minuman serta kemudahan penghadaman. Maka, adalah lebih utama untuk mengamalkan lafaz-lafaz yang sahih dalam berzikir dan berdoa selepas makan.

Akhirnya, semoga kita semua diberi taufiq untuk mengamalkan adab-adab sunnah dalam kehidupan seharian termasuklah dalam soal makan dan minum, agar setiap perbuatan harian kita menjadi ibadah yang berpahala di sisi Allah SWT.

Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”