Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, kitab al-Muhazzab dan pengarangnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: “Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Surah al-Taubah (122)

Imam al-Qurtubi berkata: “Ayat ini merupakan asas tentang wajibnya menuntut ilmu. Kerana tidak seharusnya orang beriman itu pergi ke medan perang kesemuanya, sedangkan Nabi SAW tidak, sehingga mereka meninggalkan Baginda sendiri. Mereka membatalkan keinginan mereka setelah mengetahui tidak dibolehkan pergi secara keseluruhan. Beberapa orang daripada tiap-tiap golongan perlu tetap tinggal bersama Nabi SAW untuk mempelajari agama. Sehingga apabila orang-orang yang pergi berperang itu telah kembali, mereka dapat mengkhabarkan dan menyebarkan ilmu pengetahuan mereka. Dalam ayat ini juga terdapat kewajiban untuk memahami al-Kitab dan al-Sunnah. Dan kewajiban tersebut adalah kewajiban kifayah dan bukan wajib “ain. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 8/293)

Menjawab persoalan di atas, pengarang kitab al-Muhazzab ialah Ibrahim bin Ali bin Yusuf bin Abdullah al-Syirazi al-Fairuz Abadi. Lahir pada tahun 393 Hijrah dan berguru dengan ramai ulama, antaranya al-Qadhi Abi al-Tayyib al-Tabari dan lain-lain.

Al-Syirazi terkenal dengan fasahah dan kekuatan berdebat sehingga beliau menjadi ulama terbilang dalam mazhab Syafi‘i sama ada dari segi usul dan furu’. Di samping itu, beliau seorang yang terkenal dengan kesolehannya serta sifat-sifat mahmudah.

Beliau seorang yang fakir lagi bersabar, di samping menghasilkan banyak kitab, antaranya ialah al-Tanbih, al-Tabsirah, al-Luma’, Syarh al-Luma’, Tabaqat al-Fuqaha, al-Nukat, Nushu ahli al-‘Ilmi. Beliau meninggal dunia pada tahun 476 Hijrah di Kota Baghdad.

Kitab Muhazzab telah ditahqiqkan oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili sebanyak 6 jilid dan disyarahkan oleh Imam al-Nawawi dengan dinamakan al-Majmu‘ Syarah al-Muhazzab.

Begitu juga, ramai tokoh ulama al-Syafi‘i yang datang mutakhir ini atau pada masa kini muncul dengan kitab masing-masing.

Antara kelebihan kitab ini ialah:

  • Gaya Penulisan Tertib: Al-Shirazi menyusun kandungan mengikut bab fiqh yang jelas dan konsisten, bermula dengan bab thaharah, solat, zakat, puasa, dan seterusnya.
  • Padat dan Mudah Difahami: Berbanding kitab-kitab fiqh muta’akhirin, al-Muhazzab lebih padat dan tidak terlalu panjang dalam huraian pendapat.
  • Sumber Penting untuk Syarahan: Ia menjadi sumber utama bagi karya besar lain seperti al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab oleh Imam al-Nawawi, yang merupakan antara syarahan fiqh terpenting dalam mazhab ini.

Kami katakan, cukuplah hebat kitab al-Muhazzab ini sehingga Imam al-Nawawi semasa mensyarahkannya, tidak berkesempatan untuk menyelesaikannya. Kemudian disambung oleh seorang ulama’, bernama Imam al-Subki. Juga tidak berkesempatan untuk menyelesaikannya. Dan akhirnya disempurnakan oleh Prof. Dr. Muhammad Najib al-Muti’i, seorang ulama’ Syafi’i terkenal di kota Mesir yang dikenali sebagai kitab Takmilah al-Majmu’ mengandungi dua puluh tiga jilid.

Seorang pensyarah dan profesor terkenal menyatakan bahawa daripada gaya tiga syarahan oleh tiga ulama’ adalah amat berbeza, di mana jelas menunjukkan kepada kita, betapa mendalamnya ilmu dan pengetahuan Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam mensyarahkannya.

Semoga kita semua mendapat manfaat daripada buku al-Muhazzab ini, sementalahan lagi telah ditahqiqkan oleh Prof Dr. Muhammad al-Zuhaili. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”