Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, seorang lelaki telah meninggal dunia, dan ketika jenazahnya sedang dimandikan, hadir orang yang bertugas untuk memandikannya serta mereka yang membantu dalam urusan itu. Kemudian, ada beberapa individu yang ingin masuk hanya untuk menyaksikan proses mandi jenazah tersebut. Maka, adakah dibolehkan bagi mereka yang tidak diperlukan dalam proses tersebut untuk hadir semata-mata untuk melihatnya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَن سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللَّهُ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ
Maksudnya: “Siapa yang menutup aib saudaranya yang Islam maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.”
Riwayat Muslim (2699), Abu Daud (4946), al-Tirmizi (2945), Ibn Majah (225), Ahmad (7427), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (7285)
Syeikh al-Mubarakfuri berkata: “Barangsiapa yang menutupi aib seorang Muslim, sama ada melindungi tubuhnya atau menjaga rahsianya dengan tidak mendedahkan keaibannya dan melindungi maruahnya daripada celaan, maka Allah akan menutupi aibnya di akhirat.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/574)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, dalam Islam, antara matlamat utama dalam pengurusan jenazah ialah menjaga maruah dan aib si mati sebaik mungkin, terutamanya semasa proses menanggalkan pakaian, memandikan, dan mengkafankannya, kerana pada ketika itu terdapat kemungkinan auratnya terdedah atau terbongkar kecacatan yang tidak diketahui semasa hayatnya.
Justeru, adalah disunatkan agar proses mandi jenazah dilakukan dalam suasana tertutup dan hanya dihadiri oleh individu yang bertugas memandikan serta pembantu yang benar-benar diperlukan. Sekiranya pemandi jenazah mampu menguruskan tanpa bantuan, maka itu lebih baik.
Diriwayatkan daripada Umm al-Mukminin Saidatina ‘Aisyah R.Anha berkata: Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ غَسَّلَ مَيِّتًا فَأَدّى فِيه الْأَمانَةَ ولم يُفْشِ عَلَيْهِ ما يكونُ منه عندَ ذَلِكَ خَرَجَ مِنْ ذُنوبِهِ كيومَ ولدَتْهُ أُمُّهُ قال لِيَلِهِ أقْرَبُكُمْ منه إن كان يعلَمُ فإِنْ لا يعلَمُ فمَنْ تَرَوْنَ عندَهُ حظًّا مِنْ وَرَعٍ وأمانَةٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang memandikan jenazah lalu menunaikan amanah dalam urusan itu dan tidak membongkarkan apa-apa yang dilihat padanya ketika itu, dia akan keluar daripada dosa-dosanya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya. Maka, hendaklah orang yang paling hampir dengan si mati menguruskan (mandi jenazah) jika dia mengetahui caranya. Jika dia tidak mengetahui, maka hendaklah dilakukan oleh sesiapa yang kamu lihat memiliki sifat wara‘ dan amanah. ”
Riwayat Ahmad (24881)
Imam Zainuddin al-Munawi berkata dalam al-Taisir bi Sharh al-Jami‘ al-Saghir (2/432): “Sesiapa yang memandikan jenazah lalu menutupinya” — maksudnya: menutup auratnya, atau menutup apa yang kelihatan daripadanya berupa tanda yang buruk — “nescaya Allah akan menutupnya daripada dosa-dosa” iaitu Allah tidak akan mempermalukannya dengan mendedahkan dosa-dosanya pada hari kiamat. Dalam hadith ini terdapat petunjuk bahawa disunatkan bagi orang yang memandikan jenazah agar tidak menceritakan apa-apa yang dibencinya jika terlihat sesuatu yang tidak baik pada si mati.”
Adapun kehadiran individu yang tidak diperlukan semata-mata untuk menyaksikan, tanpa ada keperluan syari’i, adalah tidak digalakkan. Dalam isu ini Imam al-‘Imrani al-Syafi‘i menyatakan bahawa: Disunatkan agar tidak bersama orang yang memandikan jenazah melainkan mereka yang benar-benar diperlukan untuk membantunya. (Lihat al-Bayan, 3/26)
Selain itu, Ibn Qudamah Imam al-Hanbali turut menyebutkan bahawa: tidak hadir bersama orang yang memandikan jenazah melainkan mereka yang membantu dalam urusannya selagi proses memandikan itu berlangsung. Kehadiran orang yang tidak membantu dalam urusannya adalah makruh kerana tidak digalakkan melihat kepada jenazah kecuali jika ada keperluan. Disunatkan bagi yang hadir untuk menundukkan pandangan mereka daripadanya kecuali jika ada keperluan, kerana mungkin jenazah itu mempunyai kecacatan yang semasa hidupnya dia sembunyikan. (Lihat al-Mughni, 2/339)
Menegaskan hal yang sama, Dar al-Ifta al-Misriyyah dalam fatwanya menyatakan: Disunatkan ketika memandikan jenazah agar tempat yang digunakan untuk memandikan itu ditutup (terjaga daripada pandangan umum), dan proses itu dihadkan hanya kepada orang yang memandikan serta sesiapa yang membantu jika diperlukan. Jika tidak diperlukan bantuan sesiapa, maka itu adalah lebih utama. Oleh itu, adalah makruh kehadiran sesiapa yang tidak diperlukan, kecuali wali (penjaga sah) si mati — maka dibolehkan baginya untuk hadir sekalipun tiada keperluan.
Kesimpulannya, dalam pengurusan jenazah, Islam menitikberatkan penghormatan terhadap si mati dengan menjaga aurat dan aibnya sebaik mungkin. Oleh itu, adalah disarankan agar proses mandi jenazah dijalankan dalam suasana tertutup dan hanya dihadiri oleh mereka yang terlibat secara langsung serta benar-benar diperlukan. Kehadiran individu lain yang tidak mempunyai peranan dalam proses tersebut adalah tidak digalakkan dan dianggap tidak wajar, kerana ia boleh membuka ruang kepada perkara yang tidak selari dengan adab dan etika pengurusan jenazah dalam Islam. Sebaiknya, kehadiran dihadkan kepada pihak yang mempunyai tanggungjawab syari‘i seperti wali atau mereka yang membantu secara khusus, manakala yang lainnya hendaklah menjaga adab dan tidak hadir tanpa keperluan.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ
Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”
Wallahua‘lam