Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh ustaz kongsikan dengan di antara keprihatinan syariah dalam memelihara air? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan ini, termasuk dalam adab-adab adalah memelihara air, kerana Allah SWT telah menjadikan air sebagai asal kepada kehidupan. Firman Allah SWT:
وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ ۖ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ
Maksudnya: “Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?”
(Surah al-Anbiya’: 30)
Allah SWT juga telah menundukkan air untuk kegunaan manusia. Firman-Nya:
اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَأَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَّكُمْ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ الْفُلْكَ لِتَجْرِيَ فِي الْبَحْرِ بِأَمْرِهِ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ الْأَنْهَارَ
Maksudnya: “Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya).”
(Surah Ibrahim: 32)
Dan firman-Nya lagi:
وَمَا أَنْزَلَ اللهُ مِنَ السَّمَاءِ مِنْ مَاءٍ فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِنْ كُلِّ دَابَّةٍ
Maksudnya: “Demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Dia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang.”
(Surah al-Baqarah: 164)
Syariat Islam begitu menekankan penjagaan air sehingga Nabi SAW memerintahkan agar minuman dijaga pada waktu malam, Baginda bersabda:
غَطُّوا الْإِنَاءَ، وَأَوْكُوا السِّقَاءَ، وَأَغْلِقُوا الْبَابَ، وَأَطْفِئُوا السِّرَاجَ، فَإِنَّ الشَّيْطَانَ لَا يَحُلُّ سِقَاءً، وَلَا يَفْتَحُ بَابًا، وَلَا يَكْشِفُ إِنَاءً، فَإِنْ لَمْ يَجِدْ أَحَدُكُمْ إِلَّا أَنْ يَعْرُضَ عَلَى إِنَائِهِ عُودًا، وَيَذْكُرَ اسْمَ اللهِ، فَلْيَفْعَلْ، فَإِنَّ الْفُوَيْسِقَةَ تُضْرِمُ عَلَى أَهْلِ الْبَيْتِ بَيْتَهُمْ
Maksudnya: “Tutuplah bekas air, ikatlah tempat simpanan air, tutuplah pintu, dan padamkan lampu; kerana syaitan tidak membuka ikatan tempat air, tidak membuka pintu, dan tidak menyingkap bekas air. Jika salah seorang daripada kamu tidak mendapati apa-apa kecuali sekadar meletakkan sebatang kayu di atas bekas airnya sambil menyebut nama Allah, maka hendaklah dia melakukannya. Sesungguhnya tikus kecil boleh menyebabkan rumah terbakar ke atas penghuninya.”
Riwayat Muslim (2012)
Maksud “أَوْكُوا السِّقَاءَ” ialah: ikatlah tempat air itu, supaya tidak masuk sesuatu yang boleh mudaratkan manusia atau menjejaskan kesihatannya.
Nabi SAW juga melarang seseorang yang sedang minum daripada bernafas dalam bekas air atau meniup ke dalamnya, dan hikmahnya ialah untuk melindungi air atau makanan daripada tercemar dengan kotoran yang keluar dari dalam badan.
Antara adab Nabi SAW ialah Baginda minum dalam tiga kali nafas, dan tidak meneguk air sekali gus dalam satu tegukan besar ke dalam perutnya. Baginda bersabda:
إِنَّهُ أَرْوَى وَأَبْرَأُ وَأَمْرَأُ
Maksudnya: “Sesungguhnya (cara ini) lebih menghilangkan dahaga, lebih menyihatkan, dan lebih menyenangkan.”
Riwayat Muslim (2028)
Nabi SAW juga melarang pembaziran dalam penggunaan air. Baginda pernah melewati Sa‘d R.A ketika beliau sedang berwuduk, lalu Baginda bersabda: “Apakah ini pembaziran?” Lalu Sa‘d bertanya: “Adakah dalam wuduk juga ada pembaziran?” Baginda menjawab: “Ya, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir.”
Riwayat Ibn Majah (425) dan Ahmad (7065)
Di antara adab yang diajarkan oleh Islam juga ialah larangan mencemarkan air. Nabi SAW memberi amaran daripada mencemarkan air dan melarang membuang air kecil di dalam air yang bertakung. Hikmah larangan ini ialah bagi melindungi air daripada menjadi punca penyakit dan wabak.
Hikmah ini juga terpakai dalam larangan membuang sisa seperti sampah dan bangkai haiwan ke dalam air sungai dan terusan yang digunakan oleh manusia untuk menyiram tanaman dan memberi minum haiwan ternakan mereka, kerana sisa-sisa ini boleh mengubah air tersebut menjadi persekitaran yang menyuburkan kuman, penyakit dan wabak.
Kesimpulannya
Jelaslah bahawa syariat Islam sangat menekankan penjagaan dan pemeliharaan air sebagai asas kehidupan yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk kesejahteraan manusia dan makhluk seluruhnya. Al-Quran dan Sunnah menunjukkan betapa mulianya kedudukan air, bukan sahaja sebagai sumber kehidupan tetapi juga sebagai amanah yang perlu dijaga daripada pencemaran, pembaziran, dan penyalahgunaan. Larangan-larangan seperti meniup ke dalam air, membuang najis ke dalam air bertakung, dan membazir ketika berwuduk, serta galakan menutup dan menjaga bekas air menunjukkan betapa Islam menyeru kepada adab penggunaan air yang bersih dan bertanggungjawab. Maka menjadi kewajipan setiap individu Muslim untuk memelihara sumber air demi kesihatan, kebersihan dan kelestarian hidup sejagat, selaras dengan tuntutan agama yang syumul dan rahmat bagi seluruh alam.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”