Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, adakah wanita mendapat pahala atas kerja dan tugas-tugas rumah tangga yang diminta oleh suami yang dilakukannya pada bulan Ramadhan? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ
Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.”
(Surah al-Taubah: 105)
Ibn Kathir menukilkan bahawa Mujahid berkata: “Ayat ini membawa peringatan dari Allah kepada mereka yang menentang perintah-Nya. Perbuatan mereka akan ditampilkan kepada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang beriman. Hal ini merupakan sesuatu yang pasti berlaku pada Hari Kiamat.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/577)
Syariah Islam telah membimbing para wanita ke arah segala perkara yang dapat merealisasikan ketenangan, kasih sayang, kebahagiaan dan ketenteraman buat mereka. Asas dan tonggaknya ialah keseimbangan antara tuntutan syarak yang berkaitan dengan ketaatan kepada Tuhannya dan ketaatan kepada suaminya dalam perkara yang makruf. Oleh itu, sunnah yang suci telah menyebut dengan lafaz yang paling jelas bagi mendorong wanita ke arah hal tersebut. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا، قِيْلَ لَهَا أُدْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ
Maksudnya: “Jika wanita mengerjakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, mentaati suaminya, maka dikatakan kepadanya (pada hari Kiamat): ‘Masuklah ke dalam Syurga dari pintu mana pun yang kamu mahu.”
Riwayat Ahmad (1664), Ibn Hibban (1296) dan al-Bazzar (7480). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan hadis ini sahih dalam takhrij Sahih Ibn Hibban (4163)
Al-Mula ‘Ali al-Qari menyatakan bahawa: Seorang wanita yang menunaikan solat lima waktu dalam keadaan suci, berpuasa pada bulan Ramadhan — sama ada secara tunai pada waktunya atau secara qadha — menjaga kehormatannya dengan menjauhkan diri daripada perbuatan keji dan maksiat seperti zina, serta mentaati suaminya dalam perkara-perkara yang diwajibkan oleh syarak, maka dia diberikan keistimewaan untuk memilih dan memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dikehendakinya. (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 5/2125)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas, sekiranya sesuatu pekerjaan itu sememangnya beroleh ganjaran buat wanita secara umum, maka ganjarannya akan menjadi lebih besar dan lebih bernilai apabila ia dilaksanakan dalam keadaan berpuasa — khususnya apabila terdapat kesukaran padanya. Bahkan, balasan pahala tersebut akan digandakan lagi pada bulan Ramadhan disebabkan kemuliaan dan keistimewaan bulan itu, sebagaimana yang telah dijelaskan dan dipersetujui oleh para ulama. Allah SWT berfirman:
مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا وَمَنْ جَاءَ بِالسَّيِّئَةِ فَلَا يُجْزَى إِلَّا مِثْلَهَا وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ
Maksudnya: “Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).”
(Surah al-An’am: 160)
Ibn Kathir berkata: “Allah mengkhabarkan bahawa Dia memberi pahala bagi setiap orang yang mengerjakan amal kebaikan dengan sepuluh kali ganda untuk satu amal kebaikan. Adapun sesiapa yang melakukan kejahatan, maka dia hanya akan dibalas sesuai dengan amal kejahatannya itu. Allah tidak akan pernah menzalimi sesiapa pun. Seperti mengurangkan kebaikan seseorang atau menambahkan kejahatan seseorang.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/192)
Menurut Imam al-Ruhaibani menyatakan bahawa: Kebaikan dan keburukan akan digandakan ganjaran atau balasannya apabila berlaku di tempat yang mulia, seperti di Makkah, Madinah, Baitulmaqdis, dan di dalam masjid-masjid. Ia juga digandakan pada waktu yang mulia seperti hari Jumaat, bulan-bulan haram, dan bulan Ramadan. Adapun gandaan bagi kebaikan, maka perkara ini tidak diperselisihkan. (Lihat Matalib ‘Uli al-Nuha, 2/385)
Dalam isu ini juga Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyatakan mengeluarkan fatawanya menyatakan: Sesungguhnya wanita akan diberikan ganjaran atas kerja-kerja dan tugas-tugas rumah tangga yang dilakukannya, sama ada dalam bulan Ramadhan atau di luar Ramadhan. Namun, ganjarannya dalam bulan Ramadhan adalah berlipat ganda kerana dia melakukannya dalam keadaan menanggung kepayahan berpuasa. Disunatkan juga baginya untuk meniatkan segala amalannya itu – sama ada semasa berpuasa atau tidak — semata-mata kerana Allah Ta‘ala, kerana hal tersebut lebih meneguhkan harapan untuk memperoleh ganjaran pahala yang besar.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa wanita yang melaksanakan tugas-tugas rumah tangga — termasuk yang diminta oleh suami — tetap diberikan ganjaran pahala oleh Allah SWT, lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan dalam bulan Ramadhan. Kesungguhan dan kesabaran wanita dalam melaksanakan tanggungjawab ini dalam keadaan berpuasa menambahkan lagi nilai ibadah tersebut. Hal ini kerana bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan dan peluang untuk menggandakan ganjaran. Oleh itu, wanita digalakkan untuk meniatkan segala amal dan khidmatnya dalam rumah tangga semata-mata kerana Allah, agar segala kepayahan dan pengorbanan yang dilakukan, khususnya dalam bulan Ramadhan, menjadi sebab meraih pahala yang besar dan ganjaran syurga di sisi-Nya.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”
Wallahua‘lam